10

62 1 1
                                    

Tufail segera menanyakan soalan itu. Tanpa diduga, Pak Hiwari bertindak mencekik Tufail tanpa perlu melihatnya. Maria terkejut dengan tindakan itu. "Wahai anak muda, aku tahu kamu seorang Muslim. Seandainya kamu mampu menjawab pertanyaanku, aku berjanji akan merahsiakan kedatanganmu. Sekiranya tidak, lebih baik kamu bersiap sedia menempah ajalmu!" Pak Hiwari melepaskan pegangannya supaya Tufail boleh bernafas. Tufail dan Maria berpandangan terkejut.


Pak Hiwari meneruskan soalannya. "Kamu mengakui kamu mempunyai satu Tuhan. Jadi bagaimana untuk menjadi lebih kaya-raya daripada Tuhanmu itu?" "Pak, tidak mungkin kami mampu menjawab soalanmu itu," Maria segera mencantas, namun Pak Hiwari tidak mahu mengubah soalannya.


Tufail berfikir sejenak, kemudian bibirnya menarik senyum. Dia membacakan surah al-Ikhlas. Semacam satu rasa menyerang jiwa Maria apabila mendengar bacaan Tufail.


"Tuhan tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Jawapanku, untuk menjadi lebih kaya-raya daripada Tuhan, seseorang itu cuma perlu mempunyai ramai anak. Ramai anak itu tandanya banyak rezeki."


"Ah, kamu benar!" Ketika itu, Pak Hiwari menggelupur di atas bumi seolah-olah kepanasan. Dia memegang kepalanya yang sakit.


Pada saat itu jugalah Tufail dan Maria melalui kebun buah-buahan itu tanpa banyak bicara. Akhirnya, mereka tiba di Taman Kaktus Larangan. "Subhanallah!" ucap Tufail apabila terpandang sebuah pohon kaktus yang hijau dan licin tanpa berduri. Tufail mengeluarkan pedang yang tersarung di dalam bungkusan yang dibawanya bersama. "Kamu bertarung?" Maria terperanjat. Menyedari reaksi Maria, Tufail cuba berselindung. "Aku sentiasa membawa pedang ini bersamaku," Tufail cuba memotong sebahagian daripada pohon kaktus itu."Tangkap dia!" Satu suara yang garau menyeru. Tufail menoleh ke belakang dan memerhatikan banyak orang yang berpakaian seragam muncul entah dari mana. "Maria, hati-hati!" pesannya. Namun, orang yang berpakaian seragam langsung tidak mengendahkan Maria, sebaliknya bertindak mendapatkan dirinya.


"Bodoh! Kamu, orang Islam cuba merampas kaktus tidak berduri yang telah lama kami jaga secara rapi. Adakah kamu fikir kamu akan berhasil menewaskan kaum Metalia yang gagah perkasa? Senjata kami semuanya dilentur daripada besi yang diciptakan khas untuk menewaskan penganut Islam sepertimu," seorang lelaki yang paling besar di antara mereka dan berpakaian kemas bersuara. Pada saat itu, orang-orang yang berpakaian seragam sudah menangkap lengan Tufail sehingga membataskan pergerakannya.


"Ayah, bagaimana kamu boleh berada di sini?" soal Maria tidak percaya. Dia tidak menyangka Tuan Zeiger akan berada di situ. "Ayah??" Tufail diserang kejutan. Adakah selama ini dia cuma dipermainkan oleh Maria?


Tuan Zeiger bertentangan mata dengan Maria. Dia menarik keras tubuh Maria. "Seluruh kaum Metalia sudah menghidu pergerakanmu bersama Muslim ini! Sekarang ingin aku menyoalmu, anakku, adakah kamu ikhlas membantunya ataupun kamu sekadar ingin menghancurkannya?!" soal Tuan Zeiger dengan garang. Maria mengetap bibirnya. Dia memandang Tufail yang sedang ditahan.


"Aku... aku sengaja menipunya untuk dihadiahkan kepadamu, ayah," Maria bersuara lemah. Tufail membulatkan kedua biji matanya. Orang-orang suruhan Tuan Zeiger menariknya dan membawanya pergi. "Kamu pembohong, Maria! Aku tidak menyangka bahawa aku telah mempercayaimu selama ini. Ternyata, kamu sama sahaja seperti kaum Metalia yang lain!"


Maria menolehkan pandangannya daripada melihat Tufail. Namun, air matanya sedikit tumpah.

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now