12

44 1 0
                                    


"Allahu akbar!" Tufail menjerit kesakitan apabila tubuhnya ditendang oleh seorang pengawal yang berbadan gempal. Tangannya kini telah digari yang diperbuat daripada logam paling keras dan hanya boleh didapati daripada kaum Metalia. Seandainya tangannya tidak digari, sudah lama pengawal bertubuh gempal itu dikerjakannya habis-habisan. Setelah itu, seorang pengawal yang lain pula menumbuknya di pipi sehingga darah terpancul keluar daripada mulut putera raja itu.


"Berhenti!" Maria muncul secara tiba-tiba di penjara bawah tanah itu. "Ayahku mengirimkan pesanan buatnya," tambahnya lagi. Dua orang pengawal itu berundur dan keluar dari penjara, memerhatikan mereka berdua dari luar. Tufail menoleh ke arah lain, geram menyelubungi dirinya kerana telah ditipu hidup-hidup oleh anak kepada ketua kaum Metalia itu. Maria sedikit menunduk, mendekatkan bibirnya kepada telinga Tufail.


"Dengar sini, Tufail. Jangan bicara walau sepatah pun. Aku meminta maaf kerana tidak memberitahumu tentang kedudukanku. Aku tidak mahu kamu membenciku. Semua yang telah kukatakan kepadamu sebelum ini benar, aku tidak membohongimu. Aku memang merindukan nur Islam daripadamu. Aku sedang mencari cara untuk membebaskanmu," bisik Maria."Cik Maria?" pengawal berbadan gempal itu memanggilnya dari luar, mungkin kehairanan melihat Maria dalam keadaan berbisik.


"Patuhi arahanku. Sekarang kau berpura-pura menjerit kesakitan, supaya mereka tidak berprasangka buruk terhadapku," pinta Maria. Tufail cuba menghadam kata-kata Maria meskipun dia masih lagi berada dalam keadaan terkejut dan terbelenggu. Maria berundur dua tapak ke belakang, seraya menghalang pengawal-pengawal daripada melihat apa yang dilakukannya terhadap Tufail.


"Dasar lelaki tidak guna! Rasakan!" kata Maria berpura-pura sedang menyakiti Tufail. Tufail menjerit kesakitan, meskipun tidak ada sebahagian pun daripada tubuhnya yang disentuh Maria. Taktik mereka berkesan kerana pengawal-pengawal itu ketawa terbahak-bahak dari luar penjara. "Malam ini aku akan membebaskanmu," bisik Maria untuk kali kedua sebelum bergerak pergi, meninggalkan Tufail dan pengawal-pengawal yang sudah bersedia untuk membelasahnya lagi.


Pada malam itu, seperti yang dijanjikan, Maria perlahan-lahan berjalan menuju ke arah penjara ketika dua orang pengawal itu sedang tidur. Meskipun diselubungi perasaan takut, wanita itu tetap memberanikan diri demi menebus kesalahannya. Dia melihat Tufail sedang tertidur di atas sebuah kerusi dalam keadaan tangan tergari di belakang kerusi. Mulut Tufail juga disumbat menggunakan kain. Maria sempat menitiskan air matanya melihat lelaki itu diseksa sedemikian rupa.


'Mengapa aku menangis?' soalnya di dalam hati. Maria cuba mengambil kunci yang dipegang oleh salah seorang pengawal botak yang sedang tidur. Tangannya perlahan-lahan dihulurkan. Dengan kuasa Tuhan yang Maha Adil, tangannya berjaya mengambil gugusan kunci tersebut. Maria berusaha sedaya-upaya untuk membuka pintu penjara. Ketika itulah, Tufail terjaga daripada tidurnya. Maria pantas menarik keluar kain yang menyumbat mulut Tufail.


"Maria, buat apa kamu ke sini? Bahaya, tahu?" Tufail separuh berbisik. Dia tidak mahu wanita itu tercedera kerananya. Maria menggeleng. "Justeru kamu yang berada dalam bahaya, Tufail. Bila-bila masa ayahku akan menjatuhkan hukuman bunuh ke atasmu. Kamu masih belum dibunuh kerana helah-helahku. Aku bersalah terhadapmu," Maria juga ikut memperlahankan suaranya. Maria cuma mencari kunci gari itu dengan pantas sebelum ada yang terjada. Terdapat banyak kunci dalam tangannya maka dia perlu mencuba satu demi satu.


Disebabkan terlalu gelisah, gugusan kunci itu tiba-tiba terlepas dari tangannya dan terjatuh ke bawah. Bunyi bising itu telah mengejutkan salah seorang pengawal yang terpinga-pinga. Maria segera mengutip kembali kunci dan terus mencuba sehinggalah akhirnya gari itu terbuka. Namun, pengawal yang terjaga itu telah menyedari helah mereka. Dia mengejutkan pengawal yang lain. Maria menghunuskan pedangnya dan bersiap sedia untuk melawan. Namun, Tufail bergerak ke hadapan Maria. Maria terpana.


"Tidak, Maria. Ini adalah pertarunganku. Mana pedangku?" soal Tufail serius. Maria mendapatkan pedang Tufail yang terletak berhampiran dengan segera dan menyerahkannya kepada lelaki itu. Jauh di sudut hatinya, dia begitu khuatir kerana dia menyangka Tufail tidak tahu bertarung.Pengawal yang berbadan gempal itu langsung menyerang dengan pedangnya. Tufail segera membalas. Pedangnya digerakkan dengan penuh seni kerana dia sudah dilatih dengan seni pertarungan semenjak kecil. Tufail menahan semua serangan pengawal itu dengan cekap. Kini, gilirannya pula untuk menyerang. Tufail menunduk dan menendang kekuda pengawal itu sehingga terjatuh. Cukup dengan satu tumbukan yang padu di bahagian pipi, pengawal itu langsung pengsan tidak menyedarkan diri. Tufail berpegang dengan prinsip untuk tidak membunuh kecuali dalam keadaan yang sangat mendesak. Pengawal-pengawal yang lain pula datang untuk menyerang. Dengan kehandalan yang dimiliki Tufail, dia mampu menewaskan semua pengawal yang ada. Maria tidak terkata-kata.

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now