4

89 1 0
                                    


Sudah tiga hari Tufail menunggang unta merentasi padang pasir yang terik. Penduduk Kota Tumaha yang melihatnya cuma menganggapnya sebagai musafir kerana Tufail berpakaian seperti orang biasa. Tidak ada seorang pun askar pelindung yang dibawanya bersama untuk menyembunyikan identitinya. Tufail cuma membawa bersama pakaian persalinan, makanan yang telah dibungkuskan oleh adiknya, wang perbelanjaan serta pedang keselamatan.


'Mengikut peta yang dilakar oleh Saefullah, aku sudah hampir tiba di pedalaman Kota Tumaha. Namun di mana harus aku mendapatkan kaktus tidak berduri itu?' getus putera raja itu sendirian di dalam hati. Hari sudah Maghrib dan dia perlu mencari masjid atau tempat persinggahan untuk solat. Tufail turun daripada untanya dan memimpinnya menggunakan tali. Matanya meliar-liar mencari seseorang yang boleh membantunya menunjukkan arah masjid. Tidak lama kemudian, matanya menangkap figura seorang lelaki tua yang sedang membungkuskan roti-roti jualannya. Pada pendapat Tufail, pasti lelaki tua itu mungkin sudah mahu pulang ke rumah.


"Assalamualaikum, pak," sapa Tufail sambil mendekati lelaki itu. Lelaki itu memerhatikan Tufail untuk seketika sebelum menjawab salamnya.


"Pak, aku ini musafir dan masih baru di kawasan ini. Sebentar lagi akan masuk waktu Maghrib, oleh itu aku perlu mencari masjid untuk mendirikan solat. Adakah kamu boleh membantuku menunjukkan arah masjid?"


Lelaki tua itu memerhatikan wajah Tufail agak lama. "Siapa namamu, nak?"


"Namaku Ibnu... Maksudku namaku Tufail!" Tufail menarik nafas lega. Hampir sahaja dia membocorkan identitnya sebagai Putera Ibnu Al-Junaid, iaitu nama gelarannya yang sudah dikenali seluruh penduduk Kota Tuhama. Mereka tidak mengenali namanya sebagai Tufail melainkan keluarga dan orang-orang terdekat.


"Ah, sangkaku kamu Putera Ibnu Al-Junaid, putera raja Kota Tuhama. Wajahmu mirip sekali dengannya," lelaki itu tersenyum. "Namaku Syaqiq Al-Balkhi. Kamu boleh memanggilku Pak Syaqiq. Kebetulan aku memang hendak ke masjid, marilah kita bergerak beriringan. Masjid terletak tidak jauh dari sini."


"Pak Syaqiq pernah jumpa Putera Ibnu Al-Junaid? Bukankah Ibnu Al-Junaid jarang keluar dari istana?" soal Tufail sambil menarik untanya, berjalan bersama-sama lelaki yang bergelar Pak Syaqiq itu. Dia berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut.


"Pihak istana sering membeli roti-roti yang dibuat oleh isteriku. Kata mereka, Tuan Puteri Bintu Al-Junaid sangat menggemari roti-roti buatan isteriku sehingga tidak mahu membelinya daripada penjual yang lain. Oleh itu, aku sering mengutuskan pembantuku untuk menghantar bekalan ke istana. Kadangkala, aku sendiri yang akan pergi ke sana."


Tufail teringat memang Taqiah sangat menggemari roti yang khusus daripada pembuat yang sama sehingga tidak mahu membeli yang lain. Ternyata isteri Pak Syaqiq inilah yang banyak berjasa kepada pihak istana. Pak Syaqiq menyambung ceritanya lagi. "Pada suatu hari, aku terlihat Tuan Putera Ibnu Al-Junaid sedang berlatih pedang di halaman istana. Teknik bermain pedangnya begitu hebat untuk anak muda sepertinya. Aku jadi kagum dengan kehebatannya. Sayang sekali, dia tidak memanfaatkan kelebihannya itu untuk membantu kita.""Maksud Pak Syaqiq?" Tufail terkejut apabila dikhabarkan sedemikian rupa.

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now