Pak Syibli kembali meletakkan minuman ke atas dulang. Debu-debu pepasir terbang masuk ke dalam mata tuanya namun tidak dihiraukannya. "Benar, mereka bukan saudara seagama kita. Tetapi jika Tuan Muda telah ditabalkan menjadi raja kelak, mereka itu semuanya rakyat kamu. Allah mengamanahkan mereka ke atasmu. Tuan Muda tidak boleh berbuat sesuka hati terhadap rakyatmu sendiri."
"Sudahlah Pak Syibli. Pak Syibli berterus-terang sahaja tujuan Pak Syibli ke mari," Tufail mengubah topik. Dia tidak senang apabila topik tentang dirinya menjadi raja dibangkitkan. Dia masih risau sekiranya ada tanggapan rakyat jelata yang mengatakan dia mahu merampas takhta bondanya. Dia juga masih berasa dirinya belum layak untuk mengganti posisi almarhum Raja Al-Junaid. Paling penting, dia masih belum memiliki seorang isteri yang membolehkan dia menyandang jawatan raja.
Pak Syibli cuma tersenyum penuh makna. "Tuan Muda, segala penyakit di dunia ini pasti mempunyai penawarnya kecuali maut. Begitu juga bondamu. Penawar kepada penyakit racunnya itu adalah ramuan daripada pokok kaktus tidak berduri yang hanya boleh kamu dapatkan di pedalaman Kota Tuhama, tempat kaum Metalia yang mengusahakan perusahaan besi. Cuma terdapat satu sahaja kaktus tidak berduri dan di situlah Tuan Muda boleh mendapatkannya. Ini adalah kaedah terakhir untuk membantunya, selain berdoa. Tetapi kamu harus segera ke sana sebelum durinya tumbuh pada musim bunga. Jika tidak, kita terpaksa menunggu musim bunga berakhir untuk mendapatkannya. Pak Syibli khuatir, ibumu tidak mampu bertahan selama itu."
"Aku yang harus ke sana, Pak Syibli? Pak Syibli sendiri tahu bukan aku tidak suka keluar dari istana untuk bertemu orang ramai. Setiap kali jika ada rakyat mengenaliku sebagai anakanda Permaisuri Zafirah ketika hendak ke masjid, mereka langsung bersujud kepadaku. Aku tidak suka diperlakukan demikian. Aku bukannya Tuhan, Pak Syibli. Lebih baik Pak Syibli hantarkan sahaja adindaku Taqiah untuk mendapatkan kaktus itu," Tufail mengeluh panjang. Dia memang tidak suka dengan sikap rakyat Kota Tuhama yang terlalu menyanjunginya. Pak Syibli ketawa. "Kenapa Pak Syibli ketawa?"
"Kamu mahu menyuruh adikmu yang perempuan itu keluar? Tuan Muda memang lucu," Pak Syibli menggeleng kepala. Tufail sekadar berdiam diri.
"Tuan Muda Tufail, Pak Syibli akui penduduk Kota Tuhama sudah kehilangan nur mereka semenjak kepergian kanda iparku. Raja Al-Junaid seorang yang sangat warak dan berhemah dalam menyampaikan risalah Rasulullah kepada penduduk kita. Beliau sangat disanjungi dan dihormati oleh semua orang. Pak Syibli sendiri pun sangat menghormatinya. Nur Islam kita semakin hari semakin pudar di sini. Pak Syibli sudah tua, tidak larat untuk aktif berdakwah. Para ulama kita pun semakin hari semakin berkurangan. Golongan muda lepas tangan. Kini giliran kamu pula untuk menggalas tanggungjawab untuk membetulkan segala yang salah.
Setelah Tuan Muda dapatkan kaktus tidak berduri itu, segeralah menikah dan mengadakan pertabalan raja. Tuan Muda tidak kasihankah kepada Permaisuri Zafirah? Beliau isteri kepada ayahandamu. Sudah pastilah beban yang ditanggungnya lebih berat daripada kalian berdua. Adindamu Puteri Taqiah juga memerlukan seorang kakak untuk curahan memandangkan dia sudah hampir meningkat remaja," Pak Syibli sedaya upaya memujuk.
Tufail masih berdiam diri. Pak Syibli menyambung lagi. "Tuan Muda tidak rasakah kelebihan tuan untuk mengubah warna tanaman itu ditakdirkan Pencipta Tanaman untuk sesuatu yang lebih besar?"
"Maksud Pak Syibli?" Ketika itu, seorang pembantu lelaki muncul di hadapan mereka berdua dalam keadaan tercungap-cungap. Pastinya dia telah berlari dari dalam istana untuk mendapatkan mereka. "Ada apa Saefullah? Kenapa kamu tercungap-cungap begini?" Tufail pantas menyoal apabila melihat keadaan pembantunya itu."Tuan Putera Ibnu Al-Junaid, Tuan Syeikh Al-Syibli, patik baru mendapat khabar daripada dayang istana. Keadaan Permaisuri Zafirah sudah semakin serius. Permaisuri batuk berdarah. Patik sarankan, Tuan Putera segera ke kamar permaisuri untuk menjenguknya," lelaki bergelar Saefullah itu menunduk tanda hormat. Tanpa membuang masa, Tufail segera bangkit dan bergerak ke kamar ibunya, meninggalkan Pak Syibli bersama pelayan-pelayan istana di luar.
YOU ARE READING
Kaktus Tidak Berduri
Short Story"Masih mempersoalkan nikmat Tuhan yang telah diberikan kepadamu, wahai anak muda?" satu suara yang cukup dikenali oleh Tufail kedengaran dari belakang. Tufail bangun dan berpusing 90 darjah. Kali ini, matanya bertembung dengan anak mata tua seorang...