"Tufail, kamu telah meletakkan dirimu dalam posisi yang sangat bahaya. Namun aku menyanjungi keberanianmu masuk ke dalam kawasan kami. Di sini, kami semua adalah Mulhid, iaitu tidak mempercayai sebarang Tuhan. Dahulu memang Islam meluas di sini, namun semenjak raja telah mangkat sepuluh tahun yang lalu, kepercayaan Islam telah mulai dikikis. Aku sempat belajar tentang Islam sehinggalah usiaku 14 tahun. Setelah itu, orang tuaku mengatakan bahawa Tuhan itu tidak wujud dan aku mempercayainya sehingga kini.
Namun jauh di sudut hatiku, aku masih ingin mencari kebenaran tentang Islam. Mereka fikir aku memakai tudung kerana aku termasuk golongan munafik, tetapi aku bertudung kerana aku masih terkesan dengan ajaran Islam. Setelah aku memerhatikan dirimu, aku berminat untuk menyelamatkanmu untuk belajar tentang Islam," jelas Maria.
"Kalau kamu percaya dengan ajaran Islam, mengapa kamu tidak mempercayai Tuhan?" balas Tufail.
"Aku ragu-ragu. Kalau benar Tuhan itu wujud, apa buktinya? Di manakah Tuhan sekarang? Mengapa Dia tidak muncul ketika ratusan penganut Islam dibunuh di sini dahulu? Tiada siapa yang mampu menjawab persoalanku itu. Maka, aku memutuskan untuk mempercayai ajaranku."
Kali ini, Tufail pula yang berhenti berjalan. Putera raja itu tersenyum. "Cuba lihat untaku ini." Maria mengikuti permintaan Tufail. "Semenjak tadi, untaku memakan rumput-rumput di sini dengan tidak berhenti. Apakah kamu dapat menunjukkan dengan tepat posisi rumput yang dimakan oleh untaku tadi?" Maria mengangkat kening sebelah. "Adakah kamu sudah gila? Sudah pastilah aku tidak boleh melakukan hal yang demikian. Cebisan rumput itu ada di mana-mana sahaja di dalam tubuhnya!"
"Begitulah juga dengan Tuhan. Tuhan itu memang wujud dan Dia boleh berada di mana-mana sahaja. Tidak ada tempat yang spesifik untukNya. Tuhan bebas menghadapkan wajahnya ke mana pun arah yang dimahukanNya. Sekarang aku hendak bertanya satu lagi soalan, sekiranya rumput yang dimakan oleh untaku itu beracun, apa yang akan terjadi?"
"Sudah pastilah untamu akan mati keracunan!"
"Ya betul. Namun sesudah itu, aku boleh mengorbankan untaku, dan memakan dagingnya untuk tempoh yang agak lama. Bahkan, aku boleh mengagihkan dagingnya kepada orang ramai. Begitu juga dengan Tuhan. Tuhan sengaja menurunkan musibah kepada hambaNya, namun banyak hikmah yang terselindung di balik musibahnya itu. Terpulang kepada kita untuk melihatnya atau tidak."Maria diam. Dia mulai memikirkan kebenaran kata-kata Tufail. "Ternyata kamu bukan sahaja tampan malah pintar," Maria melangkah dengan lebih laju.
YOU ARE READING
Kaktus Tidak Berduri
Short Story"Masih mempersoalkan nikmat Tuhan yang telah diberikan kepadamu, wahai anak muda?" satu suara yang cukup dikenali oleh Tufail kedengaran dari belakang. Tufail bangun dan berpusing 90 darjah. Kali ini, matanya bertembung dengan anak mata tua seorang...