"Aku yakin putera raja itu sudah sedia maklum tentang keadaan masyarakat kita sekarang. Semenjak Raja Al-Junaid yang terhormat itu dipanggil oleh Tuhan untuk menghadapnya, Kota Tuhama sudah tiada tali pegangan. Mereka memerlukan seseorang yang berilmu dan kuat seperti almarhum raja untuk memerintah kerajaan. Permaisuri Zafirah terlalu lembut dan baik hati untuk memerintah. Tuan Putera yang bijak dan handal itu pula sekadar mendiamkan diri dan membiarkan pemberontak berleluasa. Aku sangat berharap dia boleh mengubah keadaan kita suatu hari nanti," jelas Pak Syaqiq bersungguh-sungguh.
Tufail tertunduk kesal dan menyedari kesalahannya selama ini. Dia terkesima apabila mendengar luahan daripada seorang rakyat jelata. Sepatutnya, sudah lama Tufail bangkit menentang pemberontak. "Kamu memang baik hati, Pak Syaqiq. Aku doakan perusahaan rotimu mendapat untung dua kali ganda daripada Pemberi Rezeki."
Akhirnya Tufail dan Pak Syaqiq tiba di sebuah masjid yang sangat cantik. Ukirannya cukup indah bagi sebuah masjid yang terletak di padang pasir. Tufail mengikat untanya di luar masjid dan mendirikan sembahyang berjemaah bersama-sama rakyat jelatanya. Kali ini, Tufail menangis dalam solatnya kerana kini dia mengetahui apa yang dirasakan oleh penduduk Kota Tuhama. Tufail menunggu sehingga solat Isyak kemudian barulah meneruskan perjalanannya.
Ketika putera raja itu sedang meleraikan ikatan untanya, Pak Syaqiq menahannya. "Tufail, boleh Pak Syaqiq tanya sedikit?"
"Silakan, Pak Syaqiq," Tufail mengukir senyum.
"Kamu kelihatan seperti bukan orang sini. Sebenarnya kamu mahu ke mana, kalau boleh aku tahu?" soal lelaki separuh abad itu.
"Aku ingin pergi ke kawasan pedalaman."
Pak Syaqiq hampir melompat mendengar jawapan Tufail itu. "Kamu mahu ke kawasan Metalia? Buat apa? Aku pasti kamu sudah tahu bahawa kaum Metalia sangat memusuhi penganut Islam seperti kita. Tersilap langkah, kamu mungkin dibunuh mereka! Buat apa kamu ke sana?"
Tufail memegang bahu kiri Pak Syaqiq. "Pak Syaqiq, ibuku terkena racun orang. Dan satu-satunya cara untuk menyembuhkan ibuku adalah dengan mendapatkan kaktus tidak berduri yang dijaga oleh mereka. Aku sanggup melalui apa jua rintangan, asalkan aku dapat berbakti kepada ibuku."
"Kamu memang anak yang berjasa, jika kamu sudah berkata demikian, aku tidak dapat menghalang. Kamu anak yang berani, aku doakan perjalananmu selamat. Beginilah, biarkan aku memanggil pembantuku untuk membawamu ke sana. Tetapi kamu harus segera pulang sebelum musim bunga ya."
"Semoga Tuhan merahmatimu, wahai hamba Allah yang mulia," Tufail memeluk Pak Syaqiq kerana terharu. Dia tidak menyangka Pak Syaqiq sanggup membantunya meskipun hari sudah lewat malam.
Pak Syaqiq mengutuskan pembantunya Ibnu Sulaiman untuk menunjukkan arah kepada Tufail. Maka Tufail dan Ibnu Sulaiman menunggang unta masing-masing dan meneruskan perjalanan sehingga ke pintu gerbang kawasan penduduk Metalia tinggal selama beberapa hari. Ibnu Sulaiman menghentikan perjalanan mereka di situ. "Mengapa kamu berhenti, sahabatku Ibnu Sulaiman?"
Ibnu Sulaiman memandang wajah Tufail dengan perasaan bersalah. "Maafkan aku, Tufail. Aku cuma boleh memandumu sehingga tahap ini. Aku tidak mempunyai keberanian sepertimu untuk masuk ke dalam kehidupan kaum Metalia yang sangat membenci agamaku. Khabarnya, mereka cuba memurtadkan orang Islam yang ditemui. Jika mereka ingkar, mereka akan langsung dibunuh."
"Astaghfirullah. Separah itu? Tidak mengapalah Ibnu Sulaiman. Kamu telah banyak membantuku selama ini. Terimalah sedikit wang pemberianku sebagai tanda penghargaanku untukmu," Tufail mengeluarkan sekantung wang daripada saku jubahnya, namun Ibnu Sulaiman menolak lembut tangannya."Maafkan aku, sahabat. Bukannya aku tidak mahu menerima pemberianmu ini, tetapi aku melakukan semuanya ikhlas untuk membantumu. Simpanlah wangmu di tempat yang aman supaya tidak dirampas oleh pemberontak Metalia dalam perjalananmu nanti," pesan Ibnu Sulaiman. Setelah meminta izin untuk mengundur diri, Ibnu Sulaiman membawa untanya pergi, perlahan-lahan hilang daripada pandangan Tufail. Tufail kemudian memerhatikan kawasan sekitarnya. Angin panas padang pasir meniup lembut wajahnya. Tufail menunggang untanya perlahan-lahan.
YOU ARE READING
Kaktus Tidak Berduri
Short Story"Masih mempersoalkan nikmat Tuhan yang telah diberikan kepadamu, wahai anak muda?" satu suara yang cukup dikenali oleh Tufail kedengaran dari belakang. Tufail bangun dan berpusing 90 darjah. Kali ini, matanya bertembung dengan anak mata tua seorang...