6

75 2 0
                                    


'Bismillahirrahmanirrahim. Duhai Tuhanku yang Maha Berkuasa, demi menyebarkan risalah kekasihmu Muhammad di atas muka bumi ini, Engkau lindungilah aku daripada anasir jahat. Engkau peliharalah imanku. Engkau sihatkanlah tubuh badanku seandainya aku ditakdirkan untuk bertarung kelak. Duhai Tuhan yang Maha Menciptakan, seandainya aku ditakdirkan untuk menghadap ajalku di sini, Engkau matikanlah aku dalam keimanan,' doa Tufail sebelum meneruskan perjalanannya.


Penduduk Metalia memandang Tufail dengan pandangan pesimis. Jantung Tufail berdegup agak laju daripada biasa. Dia melalui kawasan pasar untuk ke Taman Kaktus Larangan demi mendapatkan kaktusnya. Pasar di kawasan itu tidak sama dengan pasar-pasar yang pernah dilaluinya di kawasan-kawasan sebelum ini. Pasar itu lebih panjang daripada biasa. Tufail ternampak buah prawsa yang sangat digemarinya. Buah prawsa adalah buah yang sangat manis dan lembut isinya. Biji buah prawsa juga boleh dikunyah dan ditelan kerana tidak terlalu keras. Lelaki itu segera turun daripada tunggangannya untuk membeli buah kegemarannya itu.


Namun Tufail menjadi sedikit aneh kerana rata-rata dalam kalangan penjual di situ ada yang memakai tudung. Bukankah kaum Metalia tidak suka dengan orang Islam? Tufail membelek-belek buah-buahan dan mencari buah yang paling baik. Dia tidak dapat terlepas daripada mendengar perbualan wanita-wanita yang menjual itu.


"Basyirah, sampai bila kita mahu bertudung begini? Aku sudah bosan terpaksa mengamalkan cara hidup Islam!" wanita yang bertudung biru melontarkan perasaan kesalnya terhadap satu lagi wanita.


"Sabar sahajalah Silvia, kita ini bukannya Islam pun. Kita ini golongan munafik. Kita cuma pura-pura sahaja supaya boleh mendapatkan manfaat daripada penganut Islam. Penganut Islam di luar kawasan kita masih mampu berkuasa kerana dilindungi oleh Permaisuri Zafirah dan Putera Ibnu Al-Junaid. Apabila kaum Metalia sudah berjaya memberontak dan menguasai Kota Tuhama, kita tidak perlu berpura-pura lagi. Kita boleh merampas buah-buahan yang ditanam di kawasan penganut Islam dengan mudah. Kita tidak perlu berurus niaga lagi dengan menipu mereka melalui pemakaian kita. Kamu harus bersabar sedikit lagi. Jangan tergopoh-gapah!"


"Masalahnya Basyirah, bukannya ada orang Islam pun di sini!" wanita yang bernama Silvia itu langsung membuka tudungnya. Dia mengelus rambutnya yang panjang dan berwarna perang itu. Tufail menunduk sambil beristighfar.


"Itulah kamu! Pihak berkuasa kan sudah pesan, kita perlu biasakan memakai tudung supaya tidak janggal ketika keluar kawasan kelak. Kamu ini, di pasar pun tidak boleh memakai tudung, bagaimana pula dalam perjalanan ke kawasan penganut Islam nanti? Kamu tidak takut akan dilarang untuk berniaga dengan orang Islam nanti? Pihak berkuasa ada di mana-mana, tahu?" Basyirah terus memarahi rakan penjualnya itu. Silvia kelihatan sedikit tidak berpuas hati, namun dia tetap menyarungkan kembali tudungnya.


Tufail mengambil beberapa biji buah prawsa dan memasukkannya ke dalam plastik lalu menghulurkannya kepada Basyirah sambil berpura-pura tidak mendengar perbualan mereka. "Berapa ini?"


Basyirah dan Silvia berpandangan sesama sendiri agak lama. Tufail menelan liur, bimbang jika identitnya telah terbongkar.


"Wah, kamu ini memang pemuda yang tampan! Silvia belum pernah melihatmu sebelum ini, kamu jarang keluar rumah ya?" Silvia segera memegang tangan Tufail. Tufail segera menarik tangannya. Dia tahu memegang tangan wanita yang bukan mahram adalah berdosa besar.Basyirah kemudiannya menolak Silvia sehingga wanita itu terjatuh menyembah bumi. Silvia mencebik kepada Basyirah. "Silvia, lelaki ini membeli buah denganku, bukan denganmu. Jadi pastilah dia lebih tertarik denganku bukan denganmu!" Basyirah menjeling tajam kepada Silvia sebelum memandang Tufail kembali dengan senyuman paling manis yang pernah dimiliknya."Siapa namamu?" Basyirah menyoal penuh menggoda.


"Namaku Tufail. Berapa harga buah-buahan ini?" Tufail tidak mahu berlama-lama di situ.


"Aku sanggup memberikanmu buah-buahan ini secara percuma, asal kamu mahu datang ke rumahku malam ini. Bagaimana?" Basyirah mengenyitkan matanya. Tufail beristighfar panjang di dalam hati.


"Maaf, aku ada urusan. Sebutkan sahaja harganya, aku mampu membayarnya," Tufail mengeluarkan kantung wang daripada sakunya. Basyirah menarik muncung yang agak panjang.

 "Baiklah, jangan menyesal kamu menolak pelawaanku. Harganya 500."

Belum sempat Tufail mengeluarkan wangnya, kantung wang tersebut dirampas oleh seseorang. Tufail terkejut dengan perbuatan lelaki berbadan tegap itu. Namun dia tidak serta-merta bertindak kerana tidak mahu rahsianya terbongkar. Sekiranya Tufail bertarung, pastilah penduduk Metalia mengesyaki sesuatu dengan dirinya. Basyirah dan Silvia bergerak agak jauh, tidak mahu terlibat dalam masalah. Ketika itu barulah mereka sedar Tufail membawa seekor unta bersamanya, yang menandakan dia adalah orang luar. Sudah menjadi kebiasaan di situ untuk merompak wang musafir yang datang, kecuali mereka yang telah dimaklumkan oleh pihak kerajaan.

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now