"Hani!"
Kaki yang sedang diayun terus terhenti melangkah. Tubuh dipusingkan sedang mata liar memandang sekeliling mencari gerangan pemilik suara yang memanggil namanya tadi.
"Sinilah!"
Suara nyaring itu menyapa lagi. Pandangan terus dikalihkan ke kiri. Sebaik terpandangkan kak Zaimah, bibir mula menguntum senyum. "Kak Zai," panggilnya ramah.
"Nak pergi mana?" Kak Zaimah terus bertanya sebaik Hani dihampiri. Nafasnya dibetulkan rentaknya. Penat dia berlari menuruni mata tangga mengejar Quantity Surveyor cantik itu. Sudahlah pejabat mereka diubahsuai daripada banglo tiga tingkat sebagai pejabat operasi, jadi bayangkan wanita berisi seperti dia yang terpaksa berlari-lari menuruni mata tangga dari tingkat yang atas sekali. Lelah tahu tak!
"Lunch kak. Ada apa-apa ke?" Dahi dikerutkan.
"Hai...nasib baik sempat kejar," ucapnya sambil termengah. Nafasnya dihela dalam-dalam.
"Sempat apa kak?" Wanita yang berumur hampir pertengahan empat puluhan yang masih termengah-mengah itu dipandang simpati.
"Macam ni, Tan Sri pesan suruh Hani standby untuk meeting pukul dua nanti." Beritahu kak Zaimah apabila nafasnya sedikit reda.
Dahi berkerut semakin dalam. "Meeting? Meeting apa tu?" Dia tidak tahu menahu pun tentang apa-apa mesyuarat untuk hari itu. Biasanya kalau ada mesyuarat penting pasti dia akan dimaklumkan lebih awal.
"Meeting dengan Encik Fahim, Jurutera Perunding untuk projek yang Tan Sri suruh Hani uruskan tu," beritahu kak Zaimah lagi.
"Tiba-tiba aje?"
"Encik Fahim yang minta adakan meeting hari ni sebab dia akan ke Abu Dhabi sebulan. Katanya projek yang dia uruskan dekat sana ada problem," terang kak Zaimah pula.
"Oh!" Hani mengangguk mengerti. Jam di tangannya dikerling. Melihat waktu yang sudah menjengah ke pukul satu lima belas minit petang, Kak Zaimah dipandang semula. "Kalau macam tu, Hani stay dekat office ajelah. Kalau keluar takut lambat masuk." Putusnya.
"Habis tu tak lunch ke?"
Kepala digeleng perlahan. "Tak apa, setakat tak makan tengahari rasanya Hani masih boleh survive lagi," selorohnya.
Kak Zaimah mengeluh kecil. Kasihan pula rasanya. "Okey macam ni, nanti kak Zai call Nazmi dan suruh dia tapaukan nasi untuk Hani."
Laju Hani gelengkan kepala. "Eh! Tak apa kak Zai, tak payah susah-susah," tolak Hani berbahasa. Dia kalau boleh tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana tidak mahu terhutang budi lebih-lebih lagi dengan Nazmi. "Hani boleh makan biskut untuk alas perut. Lagipun pagi tadi Hani dah breakfast nasi lemak," sambungnya.
Akur, akhirnya kak Zaimah mengangguk sahaja. Kalau sudah itu yang Hani putuskan, apa lagi yang boleh dia katakan? "Okeylah kalau macam tu. So, kak Zai naik dululah ya. Nanti Encik Fahmi dah sampai kak Zai roger," ucapnya.
"Okey kak Zai. Thank you,"
Kak Zaimah angkat tangan dan terkedek-kedek berlari naik ke atas semula. Melihat perlakuan wanita yang sudah berusia awal empat puluhan dan merupakan pembantu peribadi Tan Sri Mokhtar itu, senyumnya melebar dan dia terus buka langkah untuk kembali ke pejabatnya.
"Tak jadi keluar lunch ke?" Maziah angkat kepala. Berkerut dahi dia apabila melihat Hani masuk semula. Pelan lukisan yang sedang dipegangnya diletakkan kembali ke atas meja.
Kepala digeleng. "Pukul dua nanti ada meeting dengan consultant sebab tu malas nak keluar. Nanti dibuatnya lambat masuk mulalah kalut," jawabnya dan sahabatnya itu dihampiri.
YOU ARE READING
ANDAI MAMPU KUGAPAI SYURGA
RomanceHani, dia cantik dan bekerjaya tetapi sayangnya dia keseorangan. Kerana pernah terluka, pintu hatinya ditutup rapat dari mencintai atau dicintai. Fahim, seorang duda yang kematian isteri. Sangkanya, cintanya telah terkubur bersama jasad sang isteri...