Bab 3

543 13 0
                                    

Masuk sahaja ke halaman rumah, hati terus membentak geram. Kain yang masih bersidai diampaian dipandang geram. Pintu rumah yang tertutup rapat dipandang pula dengan muka yang semakin tegang. Kamariah hayun langkah semakin laju. Kain-kain yang sudah sejuk kembali itu terus diangkat dengan mulut terkumat kamit membebel. Habis semua kain-kain itu diangkat, langkah dibuka kembali dan dia terus masuk ke dalam rumah.  

Terpandangkan Salihin yang sedang terbongkang di hadapan televisyen, darahnya semakin mendidih. Salihin dihampiri. Dengan riak menyinga, kain yang baru diangkat terus dilemparkan ke atas tubuh suaminya yang sedang lena ketika itu. Setiap kali melihat keadaan lelaki itu yang hidupnya hanya bersenang lenang, hatinya jadi sakit. Apa tidaknya, dia yang terpaksa bertungkus lumus bekerja mencari rezeki untuk kehidupan mereka sedang Salihin langsung tidak berbuat apa-apa. Bukan baru setahun dua tetapi sudah lebih sepuluh tahun dia terpaksa menanggung seksa begitu.

Terkejut dengan serangan yang tiba-tiba itu, Salihin tersentak dan bingkas duduk. Isteri yang sedang berdiri sambil bercekak pinggang di sebelah direnung dengan mata terbelalak. "Kau ni kenapa? Tak ada tempat lain nak letak kain baju ni?" Marahnya dengan muka berkerut-kerut geram. Berang kerana tidurnya diganggu. Itu pula bukan pertama kali Kamariah memperlakukan dia sebegitu tetapi sudah selalu. Cuba menunjukkan marahnya, kain baju yang berlonggok di kakinya dicampakkan ke sebelah.

"Marah? Habis tu kau ingat aku tak tahu nak marah? Aku kerja cari duit, kau dekat rumah membuta! Hidup kau tahunya makan, tidur, makan, tidur! Itu ajelah yang kau buat hari-hari," bentak Kamariah berang. Salihin ingat dia tak tahu marah? Salihin ingat dia lembu yang hanya mengikut kata?

Salihin mendengus dan terus berdiri. "Kau ni kalau balik tahunya membebel aje. Serabut kepala otak aku ni. Tahu tak?!"

"Oh! Serabut kepala otak. Habis tu kepala otak aku yang serabut ni kau tak fikir pulak? Pagi-pagi dah keluar kerja cari rezeki, bila balik rumah bersepah, kain tak angkat. Kau ingat aku tak reti penat? Kau ingat aku ni hamba abdi kau?" semburnya dengan semahu hatinya. Rasa penat bekerja tidak hilang lagi ditambah pula dengan perangai suami yang menyakitkan hati.

"Mengungkit! Kau pun tahu kan aku tak boleh kerja. Aku ni sakit."

"Sakit? Hurmmm...Itu bukan sakit tapi pemalas namanya!"

Terpukul mendengar kata-kata isterinya, Salihin terus angkat tangan. "Mulut kau ni kan!" marahnya dan tangannya terus dihayun tetapi pantas ditepis oleh Kamariah dengan sekuat hati sehingga tubuhnya beranjak ke belakang sedikit dan hampir hendak terjatuh.

"Jangan ingat aku akan biar kau pukul aku lagi. Cukuplah selama ni aku jadi bodoh sebab menanggung biawak hidup macam kau ni. Aku dah tahan dah!" Lantang Kamariah bersuara.

"Kau cakap aku apa? Biawak hidup?" Berang dengan kata-kata lantang isterinya itu, Kamariah dihampiri semula dengan muka menyinga lalu satu tamparan kuat dilayangkan ke pipi tua itu.

Disebabkan oleh serangan tiba-tiba itu, Kamariah tidak sempat mengelak dan terus jatuh terjelepok di atas lantai. Pipinya yang terasa perit diusap dan suaminya itu direnung dengan muka yang semakin bengis.  

Melihat keadaan isterinya itu, Salihin tergelak sinis. Nak lawan dia konon. Dia baru bagi sikit pun dah terduduk. Ejeknya. "Kenapa kau pandang aku macam tu? Lawanlah kalau kau berani!" cabarnya pula dengan suara yang semakin lantang.

Panas hati kerana dicabar begitu, Kamariah bingkas bangun. Tidak terus menyerang Salihin, dia terus berlari ke dapur. Pisau dicapai kemudian dia berlari ke ruang tamu semula.

"Kau ingat aku tak berani? Kalau kau mati sekalipun aku tak kisah asal hati aku puas," pisau di tangannya terus dilayangkan ke arah suaminya tetapi Salihin lebih pantas bertindak dengan menepis tangannya sehingga pisau digenggaman terpelanting jauh. Tidak cukup dengan itu, perutnya ditumbuk pula dan sekali lagi dia jatuh terjelepuk. Perutnya yang terasa senak ditumbuk digosok sambil menyeringai menahan sakit.  

ANDAI MAMPU KUGAPAI SYURGAWhere stories live. Discover now