Bab 4

526 13 1
                                    

"Hari tu kau kata, kau ke Abu Dhabi sebulan kan? Ni baru dua minggu dah balik. Ada something urgent ke?" Fahim yang sedang leka menikmati nasi lemak kegemarannya itu dipandang.

"Rindu dengan nasi lemak ni sebab tu aku balik," selorohnya dan terus menyambung suapannya.

Chen tergelak dan kepala digeleng. "Kalau sebab nasi lemak dua ringgit lima puluh sen ni kau balik memang mengarut sangatlah tu. Kau ingat aku budak kecik yang senang percaya dengan sembang kambing boleh terbang kau tu?" Ejeknya dengan bahasa melayu yang sangat fasih. Fahim ingat dia tak tahu betapa komitednya Fahim terhadap kerjanya dan tak mungkin Fahim meninggalkan kerjanya hanya kerana nasi lemak! Walau pun dia tahu Fahim memang ketagih dengan nasi lemak warung kak Dah itu.

Fahim tergelak. Tidak mengendahkan riak yang penuh tanda tanya di hadapannya itu, dia terus menyambung makannya. Hanya dia yang tahu betapa nikmatnya dapat makan nasi lemak selepas dua minggu makan roti atau nasi berlauk kari ditempat orang.

Melihat Fahim yang malas hendak bercerita, Chen terus diam. Kalau dia tanya berpuluh kali sekali pun tetapi Fahim tetap tidak mahu berbicara tentang itu pertanyaannya cuma sia-sia.

Suasana antara mereka tiba-tiba menjadi sepi. Fahim asyik dengan hidangan minum petangnya manakala Chen pula leka mengunyah pisang goreng cicah sambal kicap kegemarannya.

Setelah habis dua bungkus nasi lemak dua ringgit lima puluh sen yang selalu disebut Chen, Fahim tegakkan tubuh. Daun pisang yang digunakan untuk membungkus nasi lemak dilipat-lipat kemudian diikat dengan getah lalu diletakkan di tengah meja. Biar mudah kak Dah mengutipnya nanti. Mungkin sudah terbiasa diajar sejak kecil, dia memang agak tertib dalam bab-bab kebersihan seperti itu. Lagipun dia berpegang kuat kepada kata-kata, kita mudahkan kerja orang nanti orang juga akan permudahkan kerja kita. Mungkin sebab itulah dia jarang sangat berdepan masalah dengan orang-orang di sekelilingnya.

Gelas air teh tarik dicapai dan dihirup kemudian diletakkan semula ke atas meja. Pandangan dibuangkan ke atas meja semula. Melihat pinggan pisang goreng yang sudah licin, mata terus beralih ke arah Chen di hadapannya semula.

"Aku tahulah kau hantu pisang goreng tapi kalau sepinggan pisang goreng kau hadap sorang itu memang dah lebih. Bukan sikit, lima ringgit tahu tak," kepala digeleng.

Chen tergelak kecil. Gelas limau suam di tangan terus diletakkan ke atas meja semula. "Aku rasa kan kedai kak Dah ni ada pelarislah. Cuba kau bayang eh, dalam seminggu mesti tiga atau empat hari kita akan ke sini. Lepas tu, setiap kali makan memang tak boleh berhenti. Aku rasa pisang goreng lima ringgit ni pun macam tak cukup aje. Kau pulak kalau makan nasi lemak paling sikit mesti tiga bungkus," ucapnya separa berbisik. Bimbang ada telinga lain yang mendengar telahannya itu. Kalau orang lain yang mendengar okey lagi tetapi kalau kak Dah yang dengar, tidakkah jadi isu nanti?

"Kau ni memandai aje. Dah memang kau hantu pisang goreng jadi tak payahlah nak membawang yang bukan-bukan," kutuk Fahim bersama tawa kecil.

Gelihati dengan pernyataan Fahim, ketawa Chen berbunyi lagi. "Tapi Fahim, sambal kicap ni memang sedap. Sebiji macam yang aku rasa masa pergi Batu Pahat dulu," pujinya pula.

"Itu maknanya kak Dah punya skill memasak memang bagus bukan sebab entah apa-apa pelaris yang kau sebut tu. Lagipun tak semua orang buat benda-benda khurafat macam tu walaupun benda tu masih wujud dan berleluasa sekarang," bedil Fahim pula.

Chen tersengih dan mengangguk mengiakan. Dia cuma cakap sahaja tapi Fahim bukan main beria lagi mempertahankan pemilik warung yang hampir menjengah usia lima puluh tahun itu. Tahulah warung itu memang warung kegemaran Fahim. Pernah juga dia mengusik Fahim supaya mengurat saja pemilik warung kak Dah tapi kena siku lagi ada.

ANDAI MAMPU KUGAPAI SYURGAWhere stories live. Discover now