Taklimat yang bermula lewat setengah jam dari yang ditetapkan dan dijangka memakan masa yang agak panjang hanya berlangsung tidak sampai dua jam. Pentender yang hadir lebih banyak mendengar dari bersoal jawab. Melihat keadaan itu dan memandangkan hari yang semakin menginjak ke tengahari, Fahim terus menamatkan sesi tersebut untuk ke sesi seterusnya. Sebaik sesi taklimat ditamatkan, masing-masing mula bergerak menuju ke tapak projek untuk lawatan di tapak pula.
Sesi taklimat di tapak projek juga tidak mengambil masa yang lama kerana segalanya telah dijelaskan semasa sesi taklimat yang pertama tadi ditambah pula dengan keadaan cuaca yang panas terik ketika itu. Melihat wakil-wakil kontraktor yang mula resah gelisah dan dibasahi peluh, Fahim terus menamatkan sesi tersebut. Dia sendiri pun sampai sepet-sepet mata kerana disinari cahaya matahari tegak ketika itu.
Melihat Hani yang sejak tadi mengelap peluh di wajahnya lagilah tidak sampai hati dia hendak berlama-lama. Khairil dan Hazrin pula tak usah cakaplah, sudah bermandi peluh kedua-duanya. Pembantu Hazrin juga sama. Tidak senang berdiri masing-masing dalam keadaan cuaca yang terik itu. Sebaik Fahim menamatkan sesi tersebut, semua pentender yang hadir terus bersurai.
"So, apa plan kau lepas ni?" Hazrin dipandang sambil dahi yang sudah dibasahi peluh dilap.
"Terus balik KL. Aku ada appointment lain petang ni," balas Hazrin sambil melipat lengan kemejanya. Habis lencun baju dia. "Basah baju aku. Punyalah panas," peluh yang meleleh dikesat.
Fahim angguk bersetuju. Badan dia sendiri pun sudah rasa belengas dan tidak selesa. Pandangan dikalihkan ke arah Hani yang sudah berteduh di bawah sebatang pokok tidak jauh dari situ.
"Tak sangka pula cuaca dekat Kuantan panas macam ni," butang bajunya yang di atas sekali dibuka supaya lebih selesa. Tali leher sejak tadi lagi sudah dicabutnya. "Kita lunch dulu," sambung dia lagi.
Laju Hazrin gelengkan kepala. "Aku nak terus balik ni. Nak singgah makan ikan patin dekat Temerloh nanti," tolaknya.
"Dekat sini pun ada restoran ikan patin. Restoran Akob Patin House. Sedap masakan dekat situ," beritahu Fahim.
"Lambat nanti. Kalau dah duduk makan sambil borak mahu berjam-jam jadinya. Lagipun sampai nanti aku nak balik rumah dulu. Tak selesalah nak jumpa orang dalam keadaan macam ni," tolaknya lagi.
Akur dengan alasan Hazrin, Fahim tidak mendesak lagi. "Okeylah kalau macam tu. Safe drive," pesannya.
Hazrin angguk sahaja. Sebaik meminta diri, dia dan dua orang pembantunya terus beredar dari situ.
Fahim pula terus buka langkah. "Jom Hani," ajaknya sebaik Hani dihampiri.
Hani akur dan terus mengekor langkah Fahim ke keretanya. Sebaik penggera kereta ditekan, Hani terus masuk.
Khairil yang baru selesai berbincang dengan Perunding M&E, turut buka langkah menghampiri kereta Fahim. Daun pintu dikuak dan dia terus masuk.
"Ada problem ke?" tanya Fahim.
Khairil mengangguk. Peluh dimukanya dikesat.
"Problem apa?" Fahim kerutkan dahi.
"Ada item tertinggal dalam BQ. Nanti diaorang akan recheck balik dan keluarkan addendum kalau perlu," beritahunya.
Fahim angguk. Butang penghawa dingin dikuatkan. "Kita pergi makan dulu," ucap Fahim sambil mengerling Hani melalui cermin pandang belakang. Melihat gadis itu yang sedang leka dengan telefon bimbitnya, pandangan terus dibuangkan ke hadapan semula dengan riak tak puas hati. Sejak pagi tadi lagi dia langsung tidak berpeluang untuk berbual dengan Hani walaupun mereka menaiki satu kereta yang sama. Ketika bersarapan juga Hani tidak banyak bersuara. Hanya Khairil sahaja yang tak henti-henti membebel yang entah apa-apa.
YOU ARE READING
ANDAI MAMPU KUGAPAI SYURGA
RomanceHani, dia cantik dan bekerjaya tetapi sayangnya dia keseorangan. Kerana pernah terluka, pintu hatinya ditutup rapat dari mencintai atau dicintai. Fahim, seorang duda yang kematian isteri. Sangkanya, cintanya telah terkubur bersama jasad sang isteri...