Bab 7

391 8 1
                                    

"Kau okey ke tak ni? Nampak macam lesu aje. Sakit eh?" tegur Maziah sebaik terpandangkan Hani yang baru melangkah masuk ke dalam ruang penyambut tetamu. Muk air milo 3 in 1 yang dibawanya diletakkan di atas kabinet kaca di ruang tersebut kemudian tubuh disandarkan di sisi kabinet yang sama. Wajah yang kelihatan lesu itu diamati.

Hani menggeleng dan wajahnya dikerutkan. "Aku okey cuma malam tadi tak boleh tidur. Mungkin sebab itulah pagi ni ting tong sikit," adunya sambil dahinya yang terasa pening diurut. Apa tidaknya, selepas dia terjaga disebabkan mimpi yang mengerikan itu, dia langsung tidak mampu untuk melelapkan mata lagi malah peristiwa itu terbayang-bayang sehingga ke pagi. Sepanjang waktu itu juga hati resah gelisah memikirkan tentang ibunya.

"Mesti kau minum kopi sebelum tidur ni," Hani bukannya dia tidak tahu, hampir setiap malam menghadap kopi.  Lebih-lebih lagi kalau ada kerja yang perlu disiapkan.

Kepala digeleng. "Aku dah dekat sebulan tak minum kopi sejak aku kena migraine teruk hari tu," beritahunya.

"Kalau bukan sebab kopi mesti sebab kau banyak fikir," tebak Maziah beria.

Tidak mengia atau menafi, Hani hanya senyum sahaja. Malaslah dia hendak bercerita tentang kisah silamnya. Setahunya, tiada seorang pun rakan sekerjanya yang tahu tentang keluarganya. Malah dia sendiri pun tidak pernah bercerita. Buat apalah bercerita andai keburukan sahaja yang menjadi isinya?

"Aku masuk dululah, kepala aku dah rasa berdenyut," ucapnya perlahan.

Maziah angguk kepala. "Rehat dulu. Kalau rasa tak larat sangat, pergi klinik ambil mc. Aku tahu kau memang tak cukup tidur seminggu ni siapkan BQ projek baru tu kan?" Tanyanya.

Hani senyum segaris dan angguk perlahan mengiakan. Sebaik meminta diri sekali lagi, langkah dibuka kembali untuk masuk ke biliknya. Baru sahaja pintu kaca ke Technical Department ingin dikuak, dia terdengar namanya dilaung. Hani berhenti melangkah dan menoleh. Terpandangkan Yuyu, pembantu Kak Zaimah, kening dijungkitkan.

"Kak Hani, ini ada emel dari Azrul Fahim Consult." Yuyu terus menghulurkan dua helai kertas A4 di tangannya kemudian kertas A4 tersebut bertukar tangan.

Hani tundukkan kepala. Kertas di tangannya diperhati dan dibaca. "Oh! Iklan tender tentang lawatan tapak projek di Kuantan," beritahunya. "Thanks Yuyu," senyum dipamer.

Yuyu angguk sahaja dan terus beredar naik ke atas semula. Hani pula terus menyambung langkah. Masuk sahaja ke dalam biliknya, notis lawatan tapak yang baru diterimanya tadi dibaca semula kemudian kalendar dicapai. "Hari Khamis, 19 haribulan," bisiknya lalu tarikh tersebut dibulatkan. Kalendar diletak semula kemudian planner dicapai dan dituliskan sesuatu di dalamnya. Selesai, tubuh disandarkan ke kerusi dan matanya dipejamkan apabila dia terasa denyutan di kepalanya semakin menjadi-jadi. Tidak dapat menahan rasa sakit, tangannya diangkat lalu dahinya dipicit. Entah kenapa agaknya sakit kepalanya melarat sedangkan itu bukan pertama kali dia tidak cukup tidur. Teringatkan sesuatu, matanya dibuka lalu kalendar dipandang semula. Melihat tarikh yang tertera, keluhan kecil dilepaskan.

            Ermmmm...patutlah. Dah nak datang bulan rupanya. Desisnya. Memang begitulah dia sebelum datang bulan. Migrain pasti menyerang. Tidak terus duduk, dia bingkas bangun. Botol air dicapai. Baru sahaja dia ingin buka langkah untuk ke pantry, telefon bimbitnya berbunyi. Tubuh dipusingkan lalu beg tangan yang masih terletak elok di atas meja dibuka. Telefon bimbit di dalam beg tangannya diambil. Melihat nama yang tertera di skrin, dahinya dikerutkan dan jam dipergelangan tangan dikerling. Hurmmm...awalnya lelaki itu menghubunginya. Keluhan kecil dilepaskan lalu panggilan tersebut disambut.

"Waalaikumsalam Encik Fahim," jawabnya membalas salam yang dihulurkan lelaki itu.

"Hani dah terima emel dari PA I?"

ANDAI MAMPU KUGAPAI SYURGAWhere stories live. Discover now