Bab 8

244 8 2
                                    


"Hurmmm...baru ingat nak turun?" tegur Hajah Salmah bersama gelengan. Fahim yang sedang menuruni mata tangga diperhati.

Fahim tersengih. "Ma masak apa tengahari tadi? Laparlah," perut yang sudah mula berbunyi digosok.

"Baru ingat lapar? Ma kejut tadi tak nak bangun," bebelnya. Ingatkan bila anak balik bolehlah makan bersama tetapi tetap juga dia makan bersendirian. Keluhnya dalam hati.

Sengih Fahim melebar. Ibunya yang sedang duduk santai di ruang tamu dihampiri. "Sorry ma, abang tak sedar langsung masa ma kejut tadi," dia memujuk.

"Dah solat zuhur belum tu? Dah dekat pukul empat dah ni,"

Fahim anggukkan kepala. Terlewat solat zuhur dia hari itu gara-gara terlajak tidur.

"Tidur pukul berapa pagi tadi?" Wajah lesu anak lelakinya itu diamati.

"Lepas subuh." Fahim terus duduk lalu tubuh disandarkan ke sofa.

"Dah berapa hari tak tidur ni? Muka tu lain macam aje ma tengok." Hajah Salmah geleng kepala. Tengoklah jambang di muka Fahim, entah berapa lama tidak ditrim agaknya.

"Empat hari," sengihnya lalu rambut diraup.

Hajah Salmah menggeleng. "Kerja tu kerja juga tapi kesihatan kena jaga. Ini belum kahwin, kalau dah kahwin perangai masih tak berubah, macam mana bini nak tahan," bebelnya semakin panjang.

Ketawa Fahim meletus. "Haish! Ke situ pulak ma ni," selorohnya. Duduknya dibetulkan.

"Betullah apa ma cakap tu. Nanti sibuk sangat dengan kerja sampai abaikan anak bini,"

"Haaa! Sebab itulah abang tak terfikir pun nak kahwin lagi. Kesian nanti anak dara orang dapat laki macam abang," ucapnya sambil sambung tawa.

Hajah Salmah mendengus. "Ma serius dia main-main pulak," bedilnya bersama jelingan.

Fahim ketawa sahaja. "Ma masak apa tengahari tadi?" soalnya mengulang pertanyaannya tadi.

"Asam pedas ayam dengan sayur campur. Ma ada goreng telur dadar sekali,"

Dengan riak teruja Fahim tegakkan tubuh. "Lama dah abang tak makan asam pedas ma. Abang pergi makan dululah," dia terus bangun.

Hajah Salmah mengangguk sahaja. Fahim terus buka langkah menuju ke dapur. Masuk sahaja ke ruang dapur, dia terus berjalan ke arah kabinet dimana lauk pauk diletakkan. Penutup kaca mangkuk lauk dibuka. Terbau aroma asam pedas menyapa hidungnya, seleranya semakin membuak-buak. Tidak bertangguh, pinggan yang elok tersusun di atas rak dicapai. Nasi diceduk kemudian lauk ayam masak asam pedas dan sayur campur diletakkan ke dalam pinggan.

Muk dicapai pula dan air masak dituangkan ke dalamnya. Selesai, Fahim terus keluar menuju ke meja makan. Kerusi ditarik dan dia terus duduk. Baru sahaja nasi ingin disuapkan ke mulut, dia terpandangkan kueh burger Malaysia di dalam bekas yang terletak elok di atas meja. Tertarik melihat inti sambal burger Malaysia tersebut, sudu di tangannya terus diletakkan semula ke dalam pinggan lalu kueh itu dicapai.

"Abang tak tahu pun ma pandai buat kueh ni," usiknya dan mula menikmati burger Malaysia di tangannya. Selama empat puluh tahun dia hidup, inilah pertama kali dia nampak kueh tersebut di dalam rumahnya. Mustahil juga kueh itu dibeli jika dilihat dari kuantitinya.

Hajah Salmah menoleh dan bingkas bangun. Anak lelakinya yang sedang leka menikmati kueh burger Malaysia tersebut dihampiri. "Sedap tak?" tanyanya sambil tersenyum-senyum.

Laju Fahim anggukkan kepala. "Sedap, lembut. Tapi rasa sambal dia tak sama pun macam sambal tumis yang selalu ma buat," dahi dikerutkan. Ibunya dipandang.

ANDAI MAMPU KUGAPAI SYURGAWhere stories live. Discover now