Bab 5

3.6K 254 13
                                    

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.

[ Hadis riwayat Bukhari & Muslim ]

Tarawih di surau kampung hujung minggu itu, Li berpeluang bertemu dengan Imran yang kebetulannya pulang berbuka di kampung.

"Im." Li sudah sedia mengukir senyum bila Imran berpaling ke belakang tatkala mendengar namanya diseru.

"Allahu Rabbi ... Li? Ramadhan Lidi dah balik Malaysia?"

Kuat ketawa mereka bergabung bila mereka bersalaman dan berpeluk erat untuk beberapa saat.

"Kau macam mana? Sihat? Keluarga semua sihat?" Li menepuk bahu Imran sebelum pegangannya kekal kejap di situ. Rindu pada teman-teman sekampung tiba-tiba menggebu bila bertemu dengan Imran.

Dari sekolah rendah, geng-geng sekampung yang sebaya tidak pernah terpisah. Mengail bersama, berbasikal mengelilingi kampung bersama, mandi sungai bersama, betis dilibas rotan tok guru pun bersama! Mana mungkin semudah itu saja Li akan melupakan ikatan kuat diantara mereka.

"Aku, Jue dengan anak-anak semua sihat, Alhamdulillah ...."

Li tersenyum. Ikhlas. Kali ini tidak lagi rasa terpaksa seperti dulu semasa dia mengucapkan tahniah di atas pertunangan Imran dan Jue sebelum dia berangkat ke luar negara.

"Li." Imran menegur bila dirasakan topik itu agak suam untuk diperkatakan di antara mereka. Mana tahu kalau-kalau ada hati yang masih terasa. Empat tahun itu memang lama, tapi tak bermakna semua cerita lama juga ikut beku seperti zaman ais batu dulu.

"Aku okey. Tu semua cerita lama. Aku pun dah lama tukar haluan." Li memberi jaminan pasti. 

Dia kembali melangkah. Sama-sama berjalan dengan Imran untuk pulang ke rumah masing-masing.

Zaman remaja dulu, masing-masing ikutkan hati dan perasaan. Memang ketara benar sikap kebudak-budakannya dulu. Tapi sekarang tidak lagi. Li sendiri sudah membina dunia lain, luar dari kawasan kampung mereka. Kenalannya juga sudah bertambah seiringan dengan pengalamannya. Apa lah sangat kisah Kampung Bendang Pecah kalau hendak dibandingkan dengan susah payahnya di negara luar sana.

"Kawan-kawan kita semua macam mana sekarang? Semua dah kerja luar ke?" Teringat pula pada Azhar, Husin dan teman-teman seangkatan yang lain. Semuanya tidak ditemui lagi sejak dia pulang.

"Semua dah kerja merata-rata. Nanti raya ni kita boleh lah berkumpul balik. Sembang-sembang macam dulu. Tapi itu lah ... tak berapa nak lengkap kalau Piah tak ada." Suara Imran sedikit mengendur di hujung. Tangannya masuk menyeluk poket hadapan baju melayunya.

Langkah Li terhenti. Membuatkan Imran ikut sama berhenti dan menoleh sedikit untuk memandang.

"Kenapa dengan budak tu?" Sekali lagi nama Piah muncul dalam perbualannya. Tempoh hari dengan emaknya sendiri. Hari ini, dengan Imran pula. Apa yang peliknya kalau Piah pot pet tu tak ada bersama? Rasanya dunia lebih aman tanpa Piah yang tidak pandai menjaga tutur katanya.

"Budak?" Nada Imran berubah sedikit mengejek sebelum ketawa. "Kawan tu dah boleh jadi isteri orang dah, kau panggil dia budak?"

Sinis Li tersenyum. Dilarikan pandangan ke kawasan sekitar surau. Melihat kawasan khemah yang didirikan khas untuk jemaah surau berbuka puasa di bulan ramadhan. Teringat pada kisah berbuka puasa kali terakhir sebelum dia menyambung pengajian ke luar negara. Hari di mana Piah membocorkan rahsia hati Li kepada umum.

Ramadhan Tiba (✔)Where stories live. Discover now