Bab 9

3.8K 277 26
                                    

Semasa memberhentikan Piah di jalan masuk ke rumahnya, Li menurunkan tingkap kereta. Agak payah kerana saga lama arwah ayah sudah tua umurnya.

"Piah!"

Piah yang jalannya seperti dikejar hantu selepas turun dari kereta, terus berhenti. Tapi dia tidak menoleh. Piah cuma memusingkan kepala sedikit ke belakang. Memandang dengan penuh curiga. Ikutkan hati, memang sudah lama dia terus menonong pergi. Pura-pura tuli. Tapi mengenangkan Cik Yah yang berada di tempat duduk sebelah pemandu, Piah gagahkan diri untuk bersikap baik sedikit.

"Abang Li nak nombor telefon boleh?"

Ha? Piah terpinga sendiri. Nombor telefon?

"Eh, Li! Apa tak malu sangat ni?" Cik Yah yang menelinga dalam diam juga ikut terkejut. Anak lelakinya sedang mengasah skill mengorat kah? Tangan Li dikuis dari tepi. Menghalang niat si anak yang sekejap saja sudah terpesong selepas pulang dari tarawih.

"01 berapa?" Li tak peduli. Diteruskan juga cubaannya. Memang dia sengaja bertanya di depan emaknya sendiri. Mana tahu, Piah jadi terpaksa bila ada mata tua lain yang memerhati.

Piah mendengus kasar sebelum menyambung semula berjalan balik ke rumah. Abang Li gila! Bercakap pun tidak, tup tup mahu minta nombor telefon? Minta selisih!

Li memandang hampa belakang tubuh Piah yang sudah menghilang dalam pekat malam. Tingkap kembali ditutup rapat sebelum tangan memasukkan tuil gear untuk bergerak.

"Kenapa dengan kamu ni Li?"

"Saja." Selamba Li membalas persoalan si emak.

"Kalau dah Piah tak mahu tu, janganlah paksa." Suara Cik Yah lembut kedengaran dalam hening kereta. Dia tahu Piah dan anaknya ada masalah lama yang masih tidak selesai. Dan dia juga tahu mengapa semua itu terjadi. Tapi dia tidak mahu masuk campur. Hal orang muda, biar kan mereka yang cari jalan keluar sendiri.

"Degil Piah ni. Orang nak ajak sembang pun tak mahu. Dia takut apa? Memanglah dulu Li tak suka dia, tapi tak ada lah sampai nak membunuh."

"Astaghfirullahalazim..... apa sampai ke situ cakapnya? Dah kalau Piah tak suka, kamu jangan lah dekat dengan dia. Biarkan saja dia. Dia bahagia dengan cara hidup dia. Kenapa kamu nak kacau hidup dia?"

Li menarik nafas panjang. Ada rasa bersalah singgah di hati mendengarkan kata emak. Memang benar, dia yang nampak berlebihan dalam hal ini. Kalau Piah sudah terang-terang menunjukkan penolakannya, mengapa Li mesti berterusan mencuba? Nampak seperti dia yang terhegeh-hegeh pula.

Tapi sikap Piah yang mudah melompat bila Li mendekat membuatkan dia tidak dapat menahan diri untuk mendesak. Ikutkan hati, mahu saja diceramahkan Si Piah tentang penyakit hati yang terlalu menyimpan dendam. Piah berdendam bukan? Li yakin yang Piah masih menyimpan rasa sakit hati tentang kisah 4 tahun lalu.

"Piah dah banyak makan hati. Biarkan dia sendiri. Kamu jangan nak menambah sakit hati dia."

Riak wajah Li berubah serius. Ada rasa tidak puas hati bertamu. Kenapa Cik Yah menyebelahi Piah? Bukannya Cik Yah tak tahu tentang cerita lama tu. Kisah Piah si mulut tempayan. Bila diingatkan semula, panas pula hati Li dibuatnya. Mengenangkan bagaimana rahsia hatinya ketahuan dek Piah dan semudah itu juga dijaja oleh orang yang sama.

"Li tak setuju dengan cara Piah. Larikan diri hanya menambah masalah. Sampai bila nak macam tu. Benda tu terang-terang salahnya datang dari dia. Kami semua masih berkawan elok, sedangkan Piah? Menyendiri. Menjauhkan diri. Dari situ pun dah nampak siapa sebenarnya yang bersalah." Hujah-hujah logik akal Li mula keluar bersusun. Di matanya, memang Piah yang bermasalah. Imran pun sudah ada ura-ura mahu menghulur tangan kembali berbaik. Kalau Piah masih berterusan begitu, sampai bila-bila pun hubungan mereka semua akan berantak.

"Tapi ada kamu semua jumpa Piah? Ada yang pergi tanya cerita dari pihak Piah?"

Li terdiam. Dia memang tidak ambil tahu tentang hal yang berlaku selepas malam itu. Tapi ada juga benarnya kata Cik Yah. Ada kah sesiapa di kalangan teman-teman mereka yang pergi mencari Piah?

"Hari buat kerja kenduri kahwin Im dengan Jue, Piah datang. Tapi seorang pun tak bercakap dengan dia. Penyudahnya, Piah balik sambil kesat air mata. Mak nampak semua tu jadi depan mak. Kamu rasa, kalau sampai macam tu sekali Piah dilayan, patut atau tidak dia pinggirkan diri?"

Kesat terasa air liur yang ditelan Li. Kata-kata emaknya menyedarkan diri yang mereka tidak semestinya berada di pihak yang benar. Di awalnya mungkin Piah yang mula membuat onar, tapi tidak bermakna salah itu jatuh di atas pundaknya seorang sahaja. Bagaimana pula dengan mereka di sekelilingnya yang buat tidak endah dan menghukum tanpa meminta penjelasan.

"Ye lah. Li tak kacau Piah lagi." Ringan mulut Li memberi janji. Janji yang dia tahu akan hilang diterbangkan angin saat ternampak kelibat Piah malam esok di masjid.

Entak kenapa, setiap kali melihat Piah yang berusaha mengelakkan diri darinya, Li jadi semakin tertarik mahu mendekat. Semakin galak mahu menekan sehingga Piah menyinga dan kembali menjadi Piah yang dikenalinya dulu.

Memang Li akui yang dia tidak sukakan Piah yang dikenalinya dahulu. Lepas laku, kebudak-budakan, dan tidak tahu malu. Tapi selepas 4 tahun tidak melihat perubahan sikap Piah yang baru ini dengan mata kepalanya sendiri, hatinya rasa tidak puas. Seolah-olah seperti ada hal yang masih tidak selesai di antara mereka.

Wajah Piah sering menghantui mimpi dan fikirannya. Membuatkan Li tidak senang duduk selagi dia tidak bercakap secara berdepan dengan Piah. Mengapa Piah bersikap seperti dia yang ditindas sedangkan hakikatnya dia sendiri yang menggali lubang dan jatuh ke dalam perangkap sendiri?

Piah yang salah, bukan? Tapi kenapa reaksi Piah itu sepertinya dia menyalahkan Li menjadi punca dalang segala hal yang berlaku 4 tahun dahulu?

Siapa yang bersalah sebenarnya?

Ramadhan Tiba (✔)Where stories live. Discover now