Bab 3

3.9K 228 1
                                    

"Barangsiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah mengharamkan jasadnya dari neraka"

[ Disebutkan oleh Al Khubawi (penulis kitab Durratun Nashihin) dalam kitabnya tanpa menyebutkan sanad dan sumbernya ]

Malam puasa ke-6, semasa memandu kancil Abah ke Masjid di bandar untuk bertarawih, Piah melalui rumah-rumah yang diterangi lampu kelip-kelip. Jeritan kanak-kanak yang bermain bunga api dan mercun gasing bergempita kedengaran.

Puasa belum pun mencecah 10 hari, sambutannya sudah seperti mereka berada di 10 malam terakhir.

Piah geleng kepala sambil tersenyum. Dia sendiri sudah pernah melalui zaman ribena itu.

Terus Piah terbayang kenangan zaman kanak-kanak dahulu. Zaman yang semua masalah bukannya satu beban. Hidup hanya perlu memikirkan kerja sekolah dan aktiviti sukan. Bangun paginya terus menyarung baju sekolah. Tidurnya pula terus berkelubung selimut. Mimpi yang bertandang pun cuma tentang permainan sepetang bersama kawan sekampung.

Piah dulunya rapat dengan rakan-rakan sebaya di kampung tersebut. Meredah sungai bersama, berlari di atas batas bendang kejar-mengejar sehingga matahari terbenam, mengail ikan pun hanya menggunakan batang pokok pucuk ubi kayu.

Di mana sebenarnya titik permulaan perubahan hidup Piah? Kesilapan mana yang membawa Piah ke dalam kemelut hidup yang sehingga kini tidak pernah dapat dirungkaikan?

FLASHBACK

"Haa .... Piah tahu kenapa Abang Li berat hati nak terima tawaran tu ...." Suara Piah kedengaran nakal mengusik Li yang ketika itu sedang menyuap nasi goreng masuk ke mulut.

"Kenapa? Kenapa?" Riuh suara ramai yang merewang di rumahnya. Memasak beramai-ramai dan malamnya nanti akan dibuat sedikit tahlil untuk arwah Tok Wan yang sudah bertahun meninggal.

Kebiasaannya memang begini. Orang kampung  memang gemar menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan membuat majlis kecil-kecilan sebagai rasa bersyukur dan menunjukkan kemuafakatan penduduk di sini.

Mereka yang sebaya dalam lingkungan umur 17 dan ke atas selalu berkumpul di tempat memasak lauk pauk. Semuanya golongan yang sudah habis bersekolah menengah. Ada di antara mereka hanya menetap di kampung, mencari rezeki dengan tanah bendang. Ada juga yang sudah lepas ke luar bandar untuk belajar. Sesekali berkumpul tiap kali balik bercuti, memang gamat suasana dibuatnya.

Mereka tidak pernah memandang rendah antara satu sama lain. Baik belajar tinggi ataupun sederhana, mereka masih sedar diri. Nikmat yang diberi Tuhan tidak pernah dinafikan. Tidak berjaya dalam pelajaran, tidak bermakna hidup juga akan gagal. Dan begitu juga sebaliknya.

Rewang beramai-ramai begini, selalunya yang lelaki akan menyumbang tenaga mengacau lauk dan menghidupkan kayu api. Yang perempuan pula, tolong mengupas apa yang patut dan sekali sekala mengusik cik abang untuk menaikkan semangat mereka. Mereka semua berkawan dari kecil. Usik mengusik sudah menjadi satu kebiasaan.

Indah hidup berkampung memang tidak ramai yang dapat mengecapinya. Piah memang membesar dan lahir di kampung ini. Begitu juga Abang Li dan yang lain-lain. Semua sudah dianggap seperti adik beradik sendiri walau mereka tiada pertalian darah. Mungkin ada sedikit bau-bau bacang, tapi salasilah keturunannya sudah jauh terpisah.

Tok Wi itu nenek Piah. Rumahnya terletak bersebelahan rumah orang tua Piah yang merupakan anak sulung kepada Tok Wi. Sekeliling rumah Tok Wi dipenuhi dengan rumah anak-anaknya dan sepupu-sepupunya sendiri.

Ramadhan Tiba (✔)Where stories live. Discover now