Bab 10

3.7K 263 15
                                    

"Esok surau ada buat kenduri berbuka. Yang ini tak sama macam berbuka hari-hari tu. Satu kampung dijemput. Masaknya pun lebih dari selalu. Samalah macam tahun yang sudah sudah."

Piah diam. Pura-pura tidak dengar suara abahnya. Abaikan ... abaikan ....

Yang sebenarnya, hati Piah dah naik kematu bila perkataan 'berbuka di surau' sampai ke telinga. Apa sajalah abah ni! Sahur-sahur begini pun, masih banyak modal untuk bersembang. Mata Piah yang tadi separuh terbuka, terus segar dibuatnya.

Sesekali Aidil yang duduk disebelah Piah tersengguk sambil mengunyah nasi. Tangan Piah naik menyenggol lengan Aidil. Terus terjatuh nasi di dalam jemputan tangan adiknya masuk semula ke dalam pinggan.

"Nak makan ke nak tidur?" Piah menyoal garang. Geram mendengar bicara abah dan emaknya dihamburkan pada Aidil yang langsung tidak tahu menahu.

"Mohd Aidil." Pak Teh mula masuk campur. 

Bulu roma di leher Aidil tegak merinding bila namanya diseru begitu. Terus dia menggoyang kepalanya kuat. Duduk pun tegak selari dengan belakang kerusi.

Piah yang memerhati, ketawa dalam diam. Tahu pun takut!

"Piah, kamu ikut emak kamu pergi surau petang esok. Tolong apa-apa yang patut." Giliran Piah pula untuk ditegur Pak Teh.

Serentak Piah tarik muka kelat. Tidak suka diarah-arah begitu. Dia bukannya anak kecil. Umur sudah mencecah 24, lagi mahu disuruh-suruh. Suasana rewang tidak lagi menarik hatinya sejak kejadian 4 tahun dulu. Piah tidak mahu ikut serta!

Tapi Piah bijak. Dia tahu abahnya bukan jenis yang suka dilawan terus. Jadi Piah diamkan saja semua rasa tidak puas hatinya. Biar Si Abah menyangka Piah ikut bersetuju, sedangkan hakikatnya, anaknya sedang bermain drama.

Mata Mak Teh tajam memerhati tingkah patuh anak gadisnya nan seorang itu. Tahu apa yang bermain dalam kepala Piah. Abahnya pun, tak pula dapat menangkap. Setiap tahun pun begini. Piah akan memberi alasan di saat-saat akhir untuk melepaskan diri dari dipaksa ke kenduri berbuka tersebut.

"Kamu jangan macam-macam Piah." Mak Teh keluarkan amaran bercop SIRIM. Masuk tahun ini, sudah 3 kali benda yang sama diulang kata. Tapi penghujungnya pasti Piah juga yang menang.

Pesan emaknya menerobos masuk ke telinga kanan Piah, terus keluar melalui telinga kiri. Masuk angin, keluar asap.

Piah senyum tutup gigi. Ada idea sudah tertanam di dalam kepala. Tangannya meneruskan kembali suapan nasi yang terbengkalai tadi.

.

BELUM masuk Asar, Pak Teh sudah berpergian ke surau bersama Aidil yang juga dipaksa untuk membantu. Tinggal Piah dan emaknya saja berdua. Selepas Asar baru mereka akan ke surau, berjalan kaki bersama jiran-jiran lain.

Usai Zohor tadi lagi, Piah sudah menyusun bahan untuk membuat puding roti. Mahu dibawa bersama ke surau. Boleh menambah hidangan berbuka nanti. Hari ini tahap kerajinan Piah agak berlainan dari kebiasaan.

Sekali lagi mata liar Mak Teh memerhati setiap perlakuan Piah. Was-was dengan tingkah Piah yang tiba-tiba mahu ikut serta dalam acara kampung. Bukankah selama ini Piah sering mengelak? Angin mana yang merasuk anaknya tahun ini?

"Piah ... Oh Piah ...."

Piah jenguk kepala melalui tingkap kayu ruang tamu bila suara Mak Teh kedengaran melaung namanya.

"Astaghfirullahal'azim ... kenapa tak siap lagi?" Mak Teh beristighfar panjang melihat Piah yang masih dengan t-shirt dan kain batiknya. Tadi sudah dipesan berkali-kali yang mereka akan bergerak selepas solat Asar.

Piah renyih tunjuk gigi. Dia masuk seketika. Kemudian kembali berlari ke pintu depan. Turun 3 anak tangga sebelum menghulur satu bekas besar yang berisi puding roti.

"Nah. Emak bawakan ya?"

Huluran Piah tidak bersambut. Mak Teh pandang Piah dari atas ke bawah.

"Apa pula alasan kali ni?" Matanya tajam mencerlung. Marah benar kelihatannya.

"Pe'ot." Piah tutup mulutnya sedikit, berbisik. Ini alasan terbaru yang dicipta akalnya. Datang bulan. Emak pasti faham perasaan malu yang perlu dihadapi jika Piah tidak ikut serta solat maghrib berjemaah. Biasalah, namanya pun anak gadis.

"Bila pula?" Mak Teh tambah menyoal. Tadinya, elok saja Piah dilihatnya menunaikan solat Zuhur.

"Baru tengok tadi."

"Kunci semua pintu dengan tingkap. Nanti emak suruh Aidil balik awal." Itu saja kata akhir dari Mak Teh. Selepas mengambil bekas dari tangan Piah, dia terus keluar ke jalan besar. Ikut serta masuk ke dalam kumpulan jiran-jiran yang sedang berjalan ke surau.

Piah kulum senyum. Berjaya juga dia memancing Mak Teh. Piah tahu menipu itu berdosa. Nabi tak mengaku umat, kata Uztaz Rokis di sekolah dahulu. Tambah-tambah lagi jika yang ditipu itu adalah  emak atau abah sendiri. Tapi Piah benar-benar tidak sanggup berhadapan dengan sesiapa pun dari kalangan rakan sekampungnya dahulu. Rasa sesak di dadanya bila memikirkan semua kemungkinan itu lebih seksa daripada rasa bersalah kerana menipu.

Nanti usai maghrib, Piah akan cepat-cepat bersiap ke masjid. Pulangnya jam 10.30 malam, Piah akan memberitahu emak yang dirinya tersalah melihat. Sangkanya dia didatangi bulan merah,

Nyatanya, itu semua cuma false alarm.

.....................................

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku."

[Riwayat dari Abu Hurairah r.a]







Ramadhan Tiba (✔)Where stories live. Discover now