Bab 15

4K 302 8
                                    

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan"

[ Riwayat at-Tirmidzi ]

"Senyumlah sikit."

Bibir Piah senget ke tepi. Menyampah! Apa mahunya Li datang mencari lagi? Memang tak faham bahasa!

Li yang ini, berbeza benar dari Abang Li yang dahulu dikenalinya. Sekarang lebih ceria dan ramah. Mungkin kerana sudah lama jauh merantau. Membuatkan dia lebih mudah didekati dan mesra selepas bercampur dengan banyak jenis orang asing.

Lain pula ceritanya dengan Piah. Dulu ceria bukan main. Lincah ke sana ke mari. Habis semua orang yang berselisih ditegurnya. Sekarang? Mulut tak akan terbuka jika keadaan tidak memaksa. Ramahnya pun dengan yang terpilih sahaja. Sikap garang juga ikut ditambah masuk bagi mencukupkan rencah.

"Senyumlah Piah. Bukannya kena bayar pun. Kan elok bersedekah di bulan penuh rahmat macam ni." Li mula menukar taktik. Senyumnya makin lebar. Berharap Piah akan dijangkiti senyumannya.

Baru semalam saja berlaku kejadian Piah mengamuk menghamburkan rasa sakit hatinya tentang kisah lama mereka. Bukannya Li langsung tidak rasa bersalah. Tetapi kerana dia masih sesat dalam kabut perasaannya sendiri yang masih tidak berapa jelas. Apa sebenarnya yang berlaku 4 tahun dahulu? Bagaimana susunan semua jalan ceritanya sehinggakan perjalanannya tiba-tiba menjadi satu pengalaman pahit pada Piah?

Berdirinya dia di hadapan Piah ketika ini bukan kerana dia tiada malu, tetapi kerana dia mahu tahu. Dia mahu menilik setiap perubahan di air wajah Piah dan menelan segala hamburan marah Piah. Mungkin dengan cara itu, rasa bersalah yang terasa menekan di dadanya akan berkurang sedikit.

"Memanglah senyum tu sedekah! Tapi yang digalakkan bersedekah dalam bulan puasa ni bukan senyuman. Orang sedekah makanan pada fakir miskin. Bantu orang dalam kesusahan! Jangan nak putar belit fakta kat sini! Auta saja yang lebih!"

Marah Piah langsung tidak memberi kesan. Li masih setia di situ. Berdiri di tepi pangkin melihat Piah yang sedang menjahit tulang belut pada leher baju rayanya. Cerah cahaya siang membantunya lebih cepat menyiapkan tulang belutnya.

"Urgghhh!!!" Piah merengus kuat. Jahitan tangannya ikut terhenti. Diambil semua jarum peniti dan gunting berserta benang sebelum melangkah kembali masuk ke dalam rumah. Esok-esok sajalah disambung jahitannya. Rimas bila perlakuannya diperhatikan Abang Li.

Piah lihat leher baju rayanya yang sudah separuh siap. Raya tinggal lagi beberapa hari saja. Bilalah mahu siap agaknya. Hendak basuh lagi. Ke luar bandar mencari tudung yang sepadan. Semuanya perlu dilakukan dalam beberapa hari ini.

Dijeling sekilas Li yang masih setia di pangkin laman depan rumah. Ini semua sebab anak Cik Pelam tu! Saban hari datang mengganggu Piah. Walau Piah lebih banyak diam membisu, Li tidak pernah peduli. Tetap dia bereaksi seolah-olah dirinya dan Piah tidak pernah ada sengketa.

Bila lelaki itu tidak pernah membuka isu lama tentang dia mengumpat Piah dahulu, Piah diamkan saja semuanya. Sendiri tidak mahu mengungkit. Kerana bila difikirkan, jika Li meminta maaf pun, Piah akan bersangka yang maaf itu diberi tanpa ikhlas di hati. Piah tidak mahu maaf yang begitu.

Apa yang lebih Piah inginkan di saat ini adalah, Li berhenti mengganggunya. Ringan saja mulut mahu bertanya sampai bila Li hendak menganggur di kampung. Tapi Piah tahan mulut gatalnya. Tidak mungkin dia akan memulakan perbualan dengan lelaki itu.

Emak dan abahnya Si Piah juga ikut melayan tingkah Li. Langsung tak ditegah. Anak teruna Cik Pelam hampir setiap hari datang mencari Anak Dara Pak Teh, bukankah itu sesuatu yang perlu ditegah? Tambahan pula, semuanya berlaku di bulan yang mulia begini. Persinggahan Li selama 10 minit itu dirasakan seperti 10 minit dipanggang api. Seksa!

Hesyh! Piah hentak kaki sambil memanjat anak tangga. Sebelum menghilang dibalik pintu, sempat Piah menoleh melihat Li yang masih berdiri di tempat yang sama. Melihatnya dari jauh dengan senyum yang tak lepas di bibir. Persis orang sewel!

Li masih di situ. Berdiri memerhati Piah dengan senyumannya. Tahukah Piah, dalam usikan dan gelak tawanya, ada rasa kebas bertamu di hati? Memikirkan 4 tahun di mana Piah menjadi mangsa keadaan yang mungkin benar tercipta dari kesalahannya itu terasa sangat menyeksa. Membuatkan jaga dan lenanya di bulan mulia ini jadi serba tidak kena. Segala tingkah terasa tidak pass.

Adakah ini yang akan dirasa setiap manusia bila beban kesilapan yang selama ini tergantung nun jauh di atas kepala sana tiba-tiba jatuh menimpa bahu?


Ramadhan Tiba (✔)Where stories live. Discover now