Bab 7

3.8K 270 14
                                    

"Jika makan dan minum diniatkan untuk menguatkan badan agar kuat ketika melaksanakan solat dan berpuasa, maka seperti inilah yang akan bernilai pahala. Sebagaimana pula apabila seseorang berniat dengan tidurnya di malam dan siang harinya agar kuat dalam beramal, maka tidur seperti ini bernilai ibadah."

[Latho-if Al Ma'arif, 279-280]

"Piah?"

Sengaja Piah biarkan saja ketukan di pintu biliknya sepi tanpa balasan. Dia mahu emaknya menyangka yang dia sedang tidur.

Jam di dinding baru melepasi pukul 2 petang. Hai ... pasti mereka akan menyangka yang Piah ini anak dara pemalas. Tidur di siang hari. Tapi ini kan bulan puasa. Biasalah kalau nak melelapkan mata sebentar di waktu-waktu begini. Kumpul semula tenaga sebelum petangnya turun bergabung tenaga dengan emak di dapur untuk menyediakan juadah berbuka.

"Takpe Mak Teh, mungkin Piah tidur kot." Kedengaran tenggelam timbul suara Li dari luar. Rumah kayu begitu, memang tak ke mana sangat suaranya pergi. Tambah pula kalau ruang tamu itu letaknya bersebelahan saja dengan bilik Piah yang sebelah atasnya hanya ada jaring besi sebagai pemisah.

Spontan Piah mencemik. Buat baik konon! Menyampah!

Sementelah Li sudah bertahun tidak pulang ke Malaysia, dia mengambil peluang ini untuk melawat semua sanak saudara yang dikenalinya di kampung ini. Itu apa yang Piah dengar dari perbualan mereka semasa lelaki itu baru sampai tadi.

Ketika itu Li masih di kaki tangga. Tapi bila langkah saja kakinya ke anak tangga pertama, Piah yang awalnya cuma mengintip dari celahan daun tingkap, terus memecut masuk ke bilik. Bohonglah kalau tak terdengar bunyi papan rumah kayu bergegar menahan berat tubuhnya berlari.

"Tidur apanya. Tadi masa kamu baru sampai dia tengah baca buku dekat depan ni,"

Aduh! Piah tepuk dahi. Kenapa emak membocorkan rahsia? Potong karen betul lah emak ni!

"Piah sambung belajar ya Mak Teh?"

"A'ah, Piah sambung belajar. Dah masuk tahun akhir dah ni. Dekat Penang sana. UiTM."

Isyh! Busybody betul! Setahu Piah, Li lebih gemar mendiamkan diri. Kenapa selepas 4 tahun, langsung berubah sikapnya? Tapi bila diingatkan semula, Li sebenarnya bukanlah terlalu berat mulut. Dia sebenarnya lebih memilih diam daripada bercakap perkara yang tidak berfaedah. Bila bersama dengan orang-orang tua, ramah pula dia berbual. Dengan teman, lain pula caranya. Memang sejak azali pun, Li memang jenis bermuka-muka!

"Lepas Li pergi luar negara baru Piah sambung ya?"

"Ada lah lepas sebulan dua Li pergi."

Tangan Piah meramas-ramas bucu bantal. Geram! Dia tidak suka perihal dirinya dijadikan topik perbualan mereka. Banyak lagi hal lain yang boleh dibualkan. Kenapa mesti nama Piah juga yang diheret masuk?

"Emm ... Mak Teh. Li nak tanya sikit ni. Betul ke lepas Li per..."

Tidak mahu berterusan menyakitkan hati sendiri, Piah terus menyumbat earphone ke telinga dan memasang bacaan tadarus di radio. Lebih baik mengumpul pahala dari menambah dosa memaki hamun Li dalam hati. Sekurang-kurangnya, sejuk juga hati yang kebelakangan ini panas tanpa perlu dibakar. Dengar nama Li saja, punggung Piah terus terasa seperti baru lepas dicucuh api. Melompat tak keruan seperti kera terkena belacan.

Piah baringkan tubuh ke atas katil. Selang beberapa minit kemudian, sudah kedengaran bunyi dengkuran halus keluar dari mulutnya. Sudah lena bertemankan bacaan-bacaan ayat suci Al-Quran.

.

LI diam lama selepas mendengar cerita Mak Teh.

Jadi betullah kata Imran tentang Piah bawa diri? Semua tu bukan rekaan. 

Ramadhan Tiba (✔)Where stories live. Discover now