KALAU DIIKUTKAN, SELERANYA SUDAH LAMA hilang. Namun, mengingati kata-kata Kai, dia gigih meneruskan hidup seperti biasa. Tidak mahu apabila Kai sedar nanti, melihat dia seakan mayat hidup.
Kai akan pergi, dia juga akan mati suatu hari nanti. Maka, sekarang dia perlu menumpukan apa yang perlu dipersiapkan supaya dia mampu tersenyum di akhirat kelak.
Deringan telefon mematikan lamunannya. Berita itu pantas dicerna sebelum meninggalkan meja makan dengan tergesa-gesa. Motor dipandu laju dengan berhati-hati. Larian diteruskan ketika motor diparkir.
Beberapa orang doktor dan staff hospital sempat disapanya. Ada yang sudah dikenali mesra sejak menjadi pengunjug setia di hospital itu.
Namun, ketika pintu wad sudah di hadapan mata, langkahnya menjadi perlahan. Selepas mengambil nafas yang dalam, pintu itu ditolak.
Bagai ada angin yang bertiup sejuk di hati, lega terasa melihat Kai yang duduk di atas katil, memandang ke luar tingkap seperti kebiasaannya. Hampir dua minggu Kai tidak sedarkan diri, wajah itu agak sembab dan lain.
Terusir segala kebimbangan, kegusaran dan kepayahan yang dirasa selama ini. Langkah diatur kemas menuju ke katil.
Kai berpaling, memandang ke arahnya tanpa segarit senyuman. Seakan di dalam kepenatan. Lah melemparkan senyuman. Kai membalas hambar sebelum memandang semula ke luar tingkap.
Lah berhenti melangkah. Tangan dilekap ke dada. Terasa tidak sedap hati. Lama dia memandang Kai yang diam sebelum adiknya memandang kembali padanya.
"Nak buat pemeriksaan ke?"
"Hah?" Lah terkebil-kebil. Tidak tahu hendak menjawab apa. "Err... tak. Nak ambil barang yang tertinggal."
"Oh.." Kai mengangguk perlahan. "Nanti tolong tutupkan langsir sebelum encik keluar, ya?"
Encik?
Lah menelan air liur. Terasa kesat, pahit dan pedih. Perasaannya dikawal sedaya upaya. Dipandang ke arah Kai dengan mata yang berkaca.
Kai diam, tenang. Cahaya senja menyiram wajahnya di sebalik bayangan pokok di luar tingkap. Langsir putih bergerak-gerak ditiup angin yang berhembus melalui tingkap yang terbuka.
Menggigil kaki melangkah merapati tingkap dan ditutup perlahan. Langsir ditarik merapat. Kain langsir digenggam erat dengan tangan yang menggeletar.
"Terima kasih," suara serak yang kedengaran lemah itu menyapa pendengaran memaksa Lah berpaling memandang Kai yang mula membaringkan tubuhnya. Selimut ditarik hingga ke dada dan siling direnung tanpa berkelip.
"Entah kenapa, saya rasa macam sedang menunggu seseorang," ujar Kai, lemah. Matanya dipejam rapat. Sekejap sahaja dia terlena. Mungkin kerana masih kepenatan. Lah mengetap bibir.
"Ya. Kau tengah tunggu abang kau," balas Lah walaupun dia tahu Kai tidak mendengarnya.
Akhirnya dia kalah, air matanya mengalir laju hingga dia teresak perlahan. Walaupun dia sudah tahu dia akan lenyap dari memori Kai tapi tidak disangka pedihnya begini. Terbayang wajah arwah mama, arwah baba dan wajah Kai yang selalu ceria.
"Allah... aku terasa kehilangannya sebelum dia benar-benar hilang.."
"BILA WAKTU HILANG, HANYA MEMORI YANG TERSISA. KAMU PEDIH SENDIRI, BERTAHANLAH WAHAI HATI."
🌧
PINTU KACA DITOLAK DARI LUAR. MUZIK pendek berbunyi tanda ada orang melangkah masuk ke dalam bakeri itu. Disapa dua orang pekerja yang sedang menyusun roti sebelum dia berlaluke bahagian belakang bakeri.
YOU ARE READING
Tak Pernah Hilang (Completed)
Short StoryLah - Kai Membesar dengan 2 personaliti dan kerjaya berbeza namun mereka punya darah yang sama, yang mengikat hati mereka. Dua beradik yatim piatu bergelut meneruskan hidup selepas kehilangan ibu dan ayah mereka. Mereka tidak sehaluan sehinggalah t...