BAJU KEMEJA YANG TADINYA renyuk selepas bangun dan duduk, berjalan dan berlari beberapa kali, dibetulkan. Cermin di hadapannya di pandang. Rambut hadapannya terjuntai. Semakin panjang pula. Sikat dicapai dan rambut dikemaskan ke belakang. Nafas dihembus kuat dan dia berjalan menuju ke arah wad.
Pintu wad persendirian itu dibuka perlahan. Ada senyuman singgah di bibir melihat Kai mengusap lembut perut Amira yang sudah jelas kelihatan. Lagi beberapa bulan, mereka bakal menjadi ibu dan ayah yang comel.
"Dah sampai?" tegur ibu mertua Kai yang turut berada di situ.
Lah tersenyum simpul dan melolos masuk, menyalami ayah mertua Kai yang tegak berdiri di hujung katil. Dia datang mengganti Amira menemani Kai yang tidak mahu keseorangan.
Biarpun Kai tidak pernah menyatakannya secara lisan namun pandangan sayu yang dilemparkan setiap kali mereka pergi meninggalkannya membuatkan dia mengerti. Dia tahu, ada sepi yang sentiasa melingkari.
Sempat Kai memberi flying kiss pada Amira sebelum pintu ditutup. Kemudian dia tersengih memandang Lah.
"Galak jugak kau ni. Depan mak bapak dia pun kau balun jugak."
"Masa ni saja pun yang aku ada." Pendek Kai menjawab sambil membetulkan selimutnya yang menutup kaki.
Termati senyuman Lah namun sedaya upaya diukir kembali. Tubuh dihenyak ke atas sofa yang sedia ada. Penat sebenarnya.
"Macamana?" soal Kai, menghadap Lah.
"Hmm.. aku tak dapat kerja lagilah, Kai. Aku patut kerja kutip tin saja kut..." Ada nada kecewa di situ. Namun tidak lama. Menjerit Lah apabila Kai membaling cawan padanya. Mujur bukan cawan kaca namun sakitlah juga terkena tulang bahunya.
"Sakitlah, bod... eee!" Hampir-hampir terlepas carutan itu. Geram!
"Haa... selalu nak mencarut kat orang tu yang berbalik pada diri sendiri! Apakata kau potong rambut yang serabai tu. Macam aku ni. Confirm orang yang cari kau untuk kerja dengan diorang!"
"Agak-agak sikit nak cakap aku ni serabai, ya!"
"Okey la dari aku cakap selekeh."
"Macam dia hensem sangat," dengus Lah. Dia kembali duduk.
"Kalau aku hodoh, kau pun hodoh. Kita ni sedarah, copy paste saja."
Lama mereka berpandangan sebelum ketawa. Memang mereka berwajah serupa namun tidak pernah lagi ada orang yang tersilap membezakan mereka. Mungkin kerana penampilan personaliti mereka yang berbeza dengan begitu ketara.
"Kau buat kek sajalah, Lah. Hantar ke kedai-kedai runcit atau kedai makan. Dari kau kerja kutip tin..."
"Kenapa? Apa salahnya dengan kerja kutip tin tu? Halal juga, boleh bersihkan alam sekitar lagi. Save the turtles, you know."
"Aku tak nak kau hitam nanti." Kai terkekek ketawa. Lah senang dengan ketawa itu.
"Kai."
"Hmm?"
"Cepatlah sembuh. Aku nak makan masakan kau."
"Aku sakit ke?"
"Kau rasa?"
"Hmm... Lah..." Kai pula menyeru nama abangnya. "Najwa apa khabar?"
Lah senyap. Kai macam tahu-tahu pula apa yang bergolak di dalam hatinya. "Dia dah bertunang semalam. Dengan bos kami... orang kaya." Pahit nadanya.
"Kau tahu kenapa ada orang yang kita kasihi dan cintai, tapi Allah jauhkan dia dari kita?"
"Kenapa?" soal Lah mendatar, acuh tak acuh. Hujung kasut lusuh dipandang.
YOU ARE READING
Tak Pernah Hilang (Completed)
القصة القصيرةLah - Kai Membesar dengan 2 personaliti dan kerjaya berbeza namun mereka punya darah yang sama, yang mengikat hati mereka. Dua beradik yatim piatu bergelut meneruskan hidup selepas kehilangan ibu dan ayah mereka. Mereka tidak sehaluan sehinggalah t...