10. Menghiris Hati

118 14 0
                                    

SELEPAS DUA MINGGU PERTAMA bulan Ramadan barulah Lah pulang ke Malaysia bersama isterinya selepas membantu Munzir mengembangkan sayap perniagaannya di Indonesia. Sehingga Syawal menjelang dan menginjak hari kelima, Lah pulang ke Johor bertemu saudara mara ibu dan ayahnya termasuklah Cik Non yang setia menanti kehadirannya.

“Kamu tak jumpa Kai?”

Lah berhenti membasuh tangan di sinki. Dia tahu lambat laun Cik Non pasti akan bertanya juga. Tuala kecil yang tergantung dicapai dan tangannya dilap kering.

“Sibuklah Cik Non. Munzir balik Malaysia lagi sebulan. Bakeri tu tiada siapa nak tengok.”

“Sibuk ke, menyibukkan diri. Cik Non tahu dari sebelum Ramadan, sepanjang Ramadan sampailah ke hari ni kamu tak tengok pun adik kamu tu.”

Lah bersandar ke dinding. Memandang ke luar tingkap, terlihat-lihat bayang dirinya dan Kai bermain di situ suatu masa dahulu.

“Dia tak pernah lupa kamu, Lah. Dia perlukan kamu. Sekarang dia banyak termenung dan semakin kurang bercakap. Jari-jari dia pun kadangkala keras dan terpaksa makan bersuap. Kamu nak tunggu dia dah tak ada ke baru nak pergi jumpa?” Tanpa sengaja, tinggi nada wanita tua itu. Setitis dua air mata menitis dari kelopak mata yang berkaca sedari tadi.

Lah menunduk, bibir diketap kuat. Entah kenapa dengan diri ini, dia sendiri tidak mengerti.

Rindu, tapi tidak mahu bertemu...

“Nanti saya pergilah. Cik Non tak perlulah menangis.” Serak dia berbicara. Seperti ibu kandungnya sendiri, hati mana tertahan mendengar tangisan itu.

“Bila nanti tu, Lah? Bila? Sampai hati kamu. Pergilah jumpa Kai! Kamu dah tak sayang dia ke? Janganlah salahkan diri kamu lagi. Dia sakit bukan sebab kamu. Dia sakit tu dah lama. Sejak kes dia kena dera dulu. Kecederaan teruk di kepala yang memakan masa. Cukuplah, Lah! Jangan salahkan diri lagi. Jumpalah dia...” Cik Non memukul-mukul bahu anak saudaranya sambil sesekali menyeka air mata yang bagai tidak mahu berhenti.

Lah terus memeluk tubuh gempal itu, menangis di bahu bagai anak kecil. Sejak kali terakhir dia meninggalkan Kai di belakang, langsung tidak ada air mata apalagi kemuraman. Semuanya disimpan kemas di hujung hati.

“Lah rasa, Lah memang sudah kehilangan Kai..”

🌧

TETAMU KIAN BERANSUR NAMUN KEMERIAHAN masih bersisa. Lah mengumpul kekuatan dan melangkah masuk ke dalam rumah. Sedari tadi dia hanya berdiri di laman, menikmati juadah di situ bersama tetamu yang lain. Dia tahu, Kai ada di dalam rumah mertuanya itu tapi kakinya masih degil tidak mahu masuk.

Dari jauh, terlihat kelibat Amira. Dihampirinya adik ipar itu namun kakinya terpaku seketika tatkala terpandang ke arah susuk tubuh yang turut dipandang Amira.

Kai.

Di atas kerusi roda, adiknya itu nampak semakin cengkung. Memandang riak air kolam renang di hadapannya. Tidak jauh darinya, Amru bermain-main dengan sudu di tangan. Entah bagaimana, anaknya itu terketuk kepalanya sendiri dan menangis berlari bertatih-tatih ke ayahnya.

Kai bagai disentak dari lamunan panjang. Diusap kepala anak kecil itu, memujuk.

“Kenapa menangis ni? Mana ibu? Mana ayah? Kenapa main seorang?”

Lah segera memandang ke arah Amira. Wajah itu nampak sayu. Pasrah.

Adakah Kai sudah melupakan anak isterinya?

“Amira.”

Wanita itu berpaling dan tersenyum hambar. “Abang Lah pergilah jumpa Abang Kai.”

Tak Pernah Hilang (Completed)Where stories live. Discover now