Lah - Kai
Membesar dengan 2 personaliti dan kerjaya berbeza namun mereka punya darah yang sama, yang mengikat hati mereka. Dua beradik yatim piatu bergelut meneruskan hidup selepas kehilangan ibu dan ayah mereka.
Mereka tidak sehaluan sehinggalah t...
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Musim bertukar wajah, pucuk menjadi daun kehijauan, tanah kering mula menggembur. Hujan turun hampir setiap hari, memberi rasa dingin tidak berpenghujung.
Lah menarik rapat selimut yang membaluti tubuh isterinya. Wajah mulus itu kelihatan sembab dengan mata yang terpejam rapat. Sesekali kerutan terukir di dahi. Mungkin menahan sakit di saat kandungannya yang menunggu masa sahaja untuk keluar menjadi sebahagian dari isi dunia. Belakang telapak tangannya tercucuk jarum yang mengalirkan bekalan air ke dalam tubuh.
Terbit rasa kasihan pada Zahirah setelah 9 bulan membawa zuriat di dalam rahim. Itulah saat syukur yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini. Sungguh, Allah itu dalam kehebatanNya, kasih sayangNya juga ketara terasa.
"Abang... " Zahirah membuka matanya yang basah.
Lah terbangun dari duduknya. Huluran tangan isterinya disambut dan digenggam erat.
"Sakit sangat ke?" Terasa seperti dia bertanya soalan yang bodoh pula.
Zahirah mengukir senyum dalam payah. "Masih tak sakit sangat lagi. Cuma sakit tu datang sekali sekala."
Lah menghela nafas lega. Entah bersedia atau tidak dia untuk menghadapi saat genting nanti. Doktor memberitahu mungkin petang atau malam nanti barulah isterinya akan bersalin.
"Abang..." panggil Zahirah lagi.
Anak mata suaminya dipandang. Jelas kelihatan wajah itu penat dan lesu. Tidak tidur semalaman sejak dia mengadu merasa sakit malam tadi dan mereka terus bergegas ke hospital.
"Pergilah rehat... kemudian pergilah jumpa Kai," ujar Zahirah.
Lah tersenyum hambar. Separuh jiwa ingin berlari ke tingkat bawah di mana Kai sedang menerima rawatan dari doktor namun separuh hatinya tidak mahu beredar sesaat pun dari sisi isterinya. Khuatir. Tangannya digenggam erat oleh Zahirah, meyakinkan dia untuk pergi dari situ. Isterinya itu sangat memahami membuatkan dia terasa sayang itu semakin mekar.
"Abang pergi solat dulu di surau ya."
☁️
"YA ALLAH, YA RAHMAN, YA RAHIM!"
Lah terduduk dari pembaringannya. Jam tangan dikerling. Entah bila dia sudah terlelap di surau hospital itu selepas solat Zohor tadi. Kelam kabut dia bangkit membetulkan baju. Jantungnya berdegup kencang apabila teringatkan Zahirah.
Saat tangannya mencapai tombol pintu, langkahnya terhenti. Waktu Asar sudah tiba. Dia cuba mengawal emosi.
Dia sedang belajar, belajar untuk mengutamakan Allah dalam sebarang hal. Sebab apa yang bakal dia hadapi itu pun caturan dari Allah.
Bukankah Allah lebih tahu tentang segalanya?
Usai solat, dia berlari ke arah wad isterinya ditempatkan. Hampir saja dia terlanggar Amira yang muncul tiba-tiba.