Gambar berbingkai kayu selebar hampir dua depa itu diangkat tinggi. Hampir-hampir sahaja tak sampai jari memegang penghujungnya."Kiri sikit. Sikit lagi..." Zahirah bersuara memberitahu kedudukan pada Lah yang sedang berdiri di atas kerusi.
Berpeluh dalam keadaan begitu, akhirnya dia boleh menghembus nafas lega apabila Zahirah memberikan tanda ibu jari padanya dengan senyuman yang manis.
"Okey, dah. Jom makan. Kai dah tunggu lama dengan Cik Non tu," ajak Zahirah.
Lah mengangguk sambil berjalan beriringan ke laman rumah. Di situ, kelihatan Cik Non mengomel tanpa butir sambil menyuap Kai makan.
Lah menghampiri Kai. Diangkat Kai ke dalam dukungan.
"Kesiannya anak ayah tunggu lama ya," kata Lah sambil memuncungkan bibirnya.
Anak mata anaknya itu dipandang dalam-dalam. Setiap hari kasihnya terasa semakin mekar. Diagah-agah hingga ketawa anak kecil itu. Bergoyang rambutnya yang diikat dua.
"Sudahlah, letak Khairina kat sini. Cik Non nak habiskan suap nasi pada dia. Lepas tu Cik Non pulak nak makan. Dari tadi tunggu kamu, lapar dah ni. Kejap lagi nak jalan jauh," bebel Cik Non.
Lah tersenyum. Nur Khairina yang dipanggil Kai itu diletakkan kembali di atas kerusi. Kini anaknya sudah berumur 3 tahun dan lusa adalah ulangtahun kelahirannya sama dengan tarikh pemergian Kai, adiknya.
Memorinya mengimbau hari itu, melihat Kai dibawa masuk ke bahagian kecemasan, menyaksikan doktor bertungkus lumus membuat yang terbaik sebelum dia mendengar ucapan keramat itu.
"Waktu kematian, 5.55 petang."
Dan dia tersandar di dinding, melihat tangan Kai yang terletak lemah di sisi katil. Tiada lagi suara serak yang memanggil namanya. Bergaduh dengannya. Melawan katanya. Senyum padanya...
Dan pada hari yang sama itu juga dia memeluk Khairina ke dalam pelukannya dan dia menangis teresak-esak hingga basah kain bedung anaknya.
Sebuah hakikat kehidupan, pertemuan dan perpisahan.
Zahirah tersenyum simpul melihat manjanya Khairina dengan Cik Non. Dia menoleh ke arah suaminya yang masih merenung Khairina dengan mata yang berkaca-kaca. Dipaut bahu Lah, digosok perlahan. Dia tahu sampai bila-bila pun Lah akan merindui Kai.
Lah memandang Zahirah. Mereka bertentang mata seketika sebelum hujung jemari Zahirah menyeka air mata lelaki itu.
Selesai makan, mereka mula memasukkan barang ke dalam kereta. Sebentar lagi mereka akan bergerak ke Pulau Pinang untuk menyambut ulangtahun kelahiran Khairina di rumah ibu dan ayah Amira berserta doa selamat . Saban tahun, bagai sudah menjadi tradisi untuk mereka berkumpul bersama pada tarikh itu.
Ketika kereta hampir melepasi pagar, Lah menepuk dahi dan memberhentikan kereta.
"Kenapa?" soal Cik Non. Dia sudah tidak boleh menunggu lagi. Tidak sabar untuk ke Pulau Pinang, tidak mahu ketinggalan membantu memasak untuk majlis nanti.
"Tertinggal barang sekejap!"
Lah berlari anak masuk semula ke dalam rumah. Pintu biliknya dibuka. 4 buah beg kertas berisi hadiah diambil. Hadiah untuk Amru, Amira dan kedua ibu ayahnya. Ketika dia melewati ruang tamu, langkahnya terhenti memandang ke arah bingkai gambar yang baru digantungnya tadi.
Minggu lepas dia mengambil keputusan untuk menukar seat motor milik arwah baba. Sungguh hatinya terasa berat kerana itulah kenangan dia bersama arwah mama, baba dan Kai. Namun dia tidak mahu motor itu kelihatan tidak terjaga. Oleh kerana itu, dia mengambil gambar motor itu dan diubah kepada tona vintaj hitam putih. Dibingkaikan dan digantung di dinding.
Biarpun hanya gambar sebuah motor lapuk, namun apabila memandang gambar itu seakan ternampak-nampak senyuman baba, senyuman mama dan lesung pipit kiri Kai.
"Baba... Mama... Kai... terima kasih untuk semua kenangan kita. Walaupun kalian sudah tiada, sungguh kalian semua takkan pernah hilang dari sini."
Tangannya melekap di dada. Lah tersenyum perlahan. Dengan kerinduan yang sarat, dia menitipkan doa pada mereka yang telah pergi dan mereka yang disayangi.
"Kamu boleh menulis berjam-jam lamanya untuk semua perkara yang kamu harapkan ianya terjadi,
Yang kamu cintai, kamu rindui.
Tapi hakikat sebenarnya sangat ringkas,
Bahawa kehidupan itu bukanlah kata-kata pujangga."
Flizwn

YOU ARE READING
Tak Pernah Hilang (Completed)
NouvellesLah - Kai Membesar dengan 2 personaliti dan kerjaya berbeza namun mereka punya darah yang sama, yang mengikat hati mereka. Dua beradik yatim piatu bergelut meneruskan hidup selepas kehilangan ibu dan ayah mereka. Mereka tidak sehaluan sehinggalah t...