“AKU NAK BALIK RUMAH LAMA.”
Lah mendengus mendengarkan permintaan Kai itu. Topi keledar diletakkan di atas motor. Memandang Kai yang bersandar di tempat duduk keretanya.
“Kau memang mengada, kan? Dari dulu,” marah Lah.
Kai tersengih. Kakinya digoyang sedikit. Mungkin kerana sudah lama tidak menghirup udara di luar hospital, dia merasa lebih bersemangat malah dia boleh gagah berjalan tanpa tongkat sekalipun agak perlahan. Fisioterapi memang tidak pernah ditinggalkan. Dia tidak mahu menjadi lemah. Walaupun dia akan semakin lemah, sekurang-kurangnya bukan dalam masa terdekat.
“Jauh sangat tu. Kalau sayang anak isteri, dengar cakap aku,” Lah masih membebel panjang sambil mengelap motor yang baru dibasuh itu. Tempat duduk motor itu mula kelihatan terkikis. Diusap perlahan dengan lembut.
“Haihh.. kena tukar jugak seat ni. Naik sengal punggung aku.”
Kai tergelak. Disepak punggung Lah yang membelakanginya. Menjerit Lah dibuatnya.
“Tak payahlah nak tunjuk sangat yang kaki tu kuat. Sekali aku jentik, melayang nanti!”
Kai senyum hambar. Hendak ketawa tapi terasa ngilu di bawah rusuk. Dia memandang Lah yang merungut-rungut tanpa butir apabila semakin dilap tempat duduk itu, semakin terhakis pula. Kai teringat perbualannya dengan Cik Non ketika wanita itu menemaninya di hospital beberapa hari yang lepas.
“Kamu tahu, Kai... abang kamu tu tak makan masakan kamu dan tak terima duit kamu bukan sebab ego. Bukan sebab dia rasa kalah. Tapi sebab dia sesal dengan tanggungjawab dia sebagai seorang abang yang sepatutnya melindungi adiknya sendiri. Mungkin juga rasa tidak berguna. Dan malu dengan kamu.”
“Kamu tak akan faham sebab kamu adik. Tapi cukuplah kamu tahu, dia bertindak macam tu atas dasar rasa abang yang kuat dalam dirinya. Dia sayang kamu, bukan kamu tak perasan. Cuma kamu salah tafsir.”
Ya, dia salah tafsir. Kerana rasa bengang dengan sikap Lah yang selalu acuh tak acuh dengannya. Dan kini, dengan Lah seorang, dia merasakan ada sebuah keluarga yang lengkap.
“Sebelum kau tukar seat, bagi aku naik. Sekali je..”
Lah mencebik. Badan Kai bukannya kuat mana pun. Motor itu mana ada penyandar. Karang tergolek lagi sekali macam dulu-dulu...
Lah terdiam.
Mengingati peristiwa Kai terjatuh dahulu, dia merasa sesal tidak berkesudahan. Kuat hati merasakan dia punca Kai jatuh sakit biarpun memang itu takdir dari Allah.
Melihat Kai yang merenung tempat duduk motor yang lusuh itu, akhirnya dia akur.
Cahaya matahari lembut, seakan Malaysia dilanda musim luruh. Setiap kali angin bertiup, dedaunan kering jatuh menimpa mereka.
“Kau tahu Lah, hakikat kehidupan. Mahalnya kesakitan yang aku tanggung untuk belajar sesuatu yang tidak ternilai, yang tak ramai orang sedar dan rasa. Siapa tahu, hidup ini singkat sangat walaupun ada manusia yang hidup sampai 100 tahun. Kau tahu, Lah... kita semua akan mati. Tapi kita tak tahu... macamana cara kita akan mati.”
Lah diam. Relaks memandu perlahan, menghadam kata-kata Kai di dalam hatinya. Jalan yang lengang membuatkan dia merasa tenang.
“Ada orang mati kemalangan, mati terbakar, mati lemas, mati dibunuh. Dan mereka itu semua ada kehidupan sama macam kita. Ada masa duka, ada masa gembira. Ada keluarga, paling tidak ada kenalan atau kawan. Pernah ke mereka terfikir mereka akan mati macam tu? Beberapa minit sebelum kematian itu datang, mereka boleh agak ke mereka akan mati? Hatta aku yang sakit ni, tak semestinya aku akan mati sebab penyakit ini.”

YOU ARE READING
Tak Pernah Hilang (Completed)
Historia CortaLah - Kai Membesar dengan 2 personaliti dan kerjaya berbeza namun mereka punya darah yang sama, yang mengikat hati mereka. Dua beradik yatim piatu bergelut meneruskan hidup selepas kehilangan ibu dan ayah mereka. Mereka tidak sehaluan sehinggalah t...