SEBAL HATI APABILA nestum yang dibancuh tadi sudah hilang dari atas meja. Dijeling tajam ke arah Kai yang ketawa besar di hadapan laptop. Malas nak cari gaduh, dicapai sepeket lagi nestum dan dicampurkan ke dalam air panas. Sengaja dikacau kasar hingga berdenting bunyi sudu berlaga dengan mug.
"Pecah mug, kau bayar sewa rumah full bulan ni." Selamba Kai membidas tanpa memandang ke arah abangnya.
"Senyaplah kau!" Lah mencampak sudu ke dalam sinki.
Tanpa berfikir panjang, dia menggenggam mug di tangan. Sepantas kilat, haba panas bagai menggigit telapak tangan dan genggamannya terlepas. Berdentang bunyi mug menghempas lantai dan kaca berselerakan.
Suasana sepi seketika sebelum suara kecil Kai kedengaran menahan tawa.
☁️
"KALAU TAK BERGADUH tak boleh ke? Korang ni bukan ada orang lain. Cuba berbaik-baik sikit," bebel Cik Non, makcik mereka juga kakak kepada arwah ayah mereka.
Malam itu sengaja dia bertandang ke rumah miliknya. Rumah itu memang milik dia tapi diberi dua beradik itu duduk namun mereka berkeras untuk membayar sewa padanya setiap bulan dan dia sudah malas hendak bertekak tentang hal itu. Asalkan mereka bahagia, sudah cukup baginya.
Bebelannya sedikit pun tidak mengganggu mereka menikmati Laksa Penang yang dibawa. Dia faham sangat, kalau dia tak datang bawa makanan, seorang makan mee segera, seorang lagi akan biar perut tidak berisi.
Biarpun mereka cukup dewasa, di pandangan matanya mereka tetaplah anak yatim piatu yang merasa kekosongan tanpa kasih ibu dan ayah. Patutlah Allah mengangkat tinggi darjat anak yatim itu di sisiNya.
"Pedas ke Cik Non?" tegur Kai yang lebih mesra berbanding Lah.
Cik Non tersentak hingga terlepas sudu dari pegangannya. Tidak sedar, air mata bergenang di tubir mata. Ditarik hujung lengan bajunya lantas dibawa ke kelopak mata yang basah.
"Cik Non tak tahulah kalau Cik Non tak ada nanti. Siapa nak tengok korang, nak masakkan bila korang lapar." Meledak tangis wanita tua itu, tidak tertahankan.
Kai dan Lah terkebil-kebil memandang satu sama lain.
"Itulah Cik Non, kuat tengok Hindustan! Tengah makan sedap-sedap pun nak menangis," ujar Kai sambil meletakkan pinggan di atas kain saprah.
"Dulu Cik Non juga cakap, kami ni ada Allah jaga. Ada malaikat doa siang malam. Siap menangis lagi untuk kami waktu arwah baba pergi. Spoil lah Cik Non ni. Kami mana reti pujuk!" Lah menggaru kepala.
Laksa yang berenang-renang di dalam pinggan ditenung. Nak teruskan makan macam tak kenalah pulak. Sudahnya mereka berdua menahan nafas dipeluk ketat-ketat oleh Cik Non yang berbadan gempal.
Cik Non, Cik Non... siapa yang patut menangis sebenarnya ni?
☁️
LAH MERENUNG TELEVISYEN. Cerita yang berputar langsung tidak masuk ke kepalanya. Suara Kai menyanyi-nyanyi di bilik terasa menyemakkan kepala. Asal buat kerja saja mesti nak menyanyi ikut lagu yang didengari melalui earphone.
"Lah, nak makan apa malam ni?" Kai menjenguk dari balik pintu bilik.
Lah diam tidak menjawab. Rasa penat masih bersisa biarpun dia sudah membersihkan diri sejurus pulang dari kerja tadi. Bau tumisan dari dapur membuatkan gelodak perut semakin hebat. Baru teringat, dia hanya menjamah nasi goreng baki dari sarapan tadi. Itupun tidak sampai 1 bekas tapau, hanya tinggal separuh.
"Tadaa!"
Semangkuk Mee Bandung terhidang di hadapan matanya. Berasap-asap. Terkebil-kebil dia memandang udang dan sotong yang penuh menghiasi permukaan lengkap dengan telur ayam sebiji separuh masak. Lah mengalih pandang ke arah lain.
"Aku singgah beli barang dapur tadi, teringin pulak nak makan mee. Jomlah makan sama," ajak Kai.
Lah bangkit dan mencapai telefon bimbit di sisi.
"Kau bayar semua bil ke tadi?" soal Lah tiba-tiba.
"Haah, kebetulan aku pergi pejabat pos tadi, aku selesaikan sajalah. Bukan apa pun. Bil elektrik pun bawah RM20. Free saja." Kai tersengih.
"Cik Non kata kau dah bayar sewa."
"Aku memang niat nak bagi Cik Non duit belanja tapi Cik Non kata kira sekali sebagai duit sewa je."
"Kan aku bayar untuk bulan ni?" Suaranya sedikit mengeras.
Kai terdiam. Memang sudah 4 bulan berturut-turut dia mendahulukan bayaran sewa dan bil-bil semasa. Memang dia sengaja. Dia tahu gaji Lah bukanlah banyak mana berbanding dia yang bekerja dengan gaji yang lebih tinggi. Dia tidak mahu susahkan Lah yang sudah cukup berjasa menjaga dia dari sejak mereka keluar dari rumah anak-anak yatim.
"Kau tak perlulah ego sangat. Akukan sama-sama tinggal dengan kau, tak ada salahnya aku bayar," tingkah Kai. Ada rasa terkilan terbit di dada. Rambutnya dikuak ke belakang.
"Aku dah makan sebelum balik tadi. Kau makanlah." Terus Lah berlalu ke bilik.
Kai mengeluh perlahan, memandang belakang tubuh abangnya yang menghilang.
Hampir 2 jam Lah termenung di atas katil, pelipis diurut perlahan. Patutnya dia yang menanggung Kai. Memang sudah diniatnya hendak membeli barang dapur dan menyelesaikan kesemua urusan, tapi Kai bertindak lebih awal. Bukan dia tiada duit, sudah beberapa waktu dia menyimpan duit. Untuk cita-citanya suatu hari nanti.
"Waalaikumsalam..." Sayup-sayup kedengaran suara Kai di ruang tamu. Mungkin ada kawan-kawannya yang datang.
Ah, Kai memang disukai ramai. Ramai kawan, ramai yang minat termasuklah beberapa orang jiran di sekeliling mereka. Bukan dia tidak perasan jelingan mata anak-anak gadis di situ, pasti mengintai-intai Kai bila adiknya itu keluar untuk bekerja.
"Lah!" Kai muncul tiba-tiba.
"Ish, tak reti ketuk pintu dulu ke?" marah Lah. Kai hanya ketawa perlahan. Dia melangkah masuk dengan plastik merah di tangan.
"Ni Cik Non bawa Char Kuew Teow. Aku dah kenyang gila makan 2 mangkuk mee bandung tadi." Plastik berisi bekas makanan itu diletak di meja sisi katil Lah.
"Kan aku..."
"Kalau taknak, campak sendiri kat belakang bagi kucing makan. Aku dah mengantuk," potong Kai, tidak memberi peluang Lah berbicara. Terus dia berjalan laju ke muka pintu dan keluar.
Lah merenung bekas makanan yang jelas kelihatan menyelerakan. Terbaiklah Cik Non, siap dengan sudu sekali. Dalam hati, tidak putus-putus dia mendoakan Cik Non. Memang dia sedang kebuluran pun. Mungkin sebab itu sukar untuk dia melelapkan mata.
Di luar bilik, Kai tersenyum seorang memandang dari celah pintu. Nampak sangat kebulur, makan tak ingat dunia sampai comot ke hidung. Konon dah makan.
"Lah, Lah... susah payah aku terpaksa masak senyap-senyap untuk kau. Menggagau cari bekas tapau. Nasiblah Cik Non, jual nama Cik Non. Kalau tak, tak makan punya," bisik Kai.
☁️
Notes :
Kadangkala bukan kerana ego...
Tapi kerana benci dengan diri sendiri...
Yang serba tak mampu dan menyusahkan orang lain.Flizwn🍃
YOU ARE READING
Tak Pernah Hilang (Completed)
Historia CortaLah - Kai Membesar dengan 2 personaliti dan kerjaya berbeza namun mereka punya darah yang sama, yang mengikat hati mereka. Dua beradik yatim piatu bergelut meneruskan hidup selepas kehilangan ibu dan ayah mereka. Mereka tidak sehaluan sehinggalah t...