BAB 5

5K 504 54
                                    

"SEDAP tak? Amin jangan sedih lagi tau. Kek coklat ni semua untuk Amin. Kakak minta maaf sebab pekerja kakak layan Amin kasar sangat tadi."

Sayup-sayup kedengaran suara lembut seorang gadis menyapa telinga Athar. Perlahan-lahan, dia cuba mencelikkan matanya. Sakit itu sudah kembali hilang. Seperti kebiasaannya, sakit itu akan hilang jika dia tidur dalam jangka masa yang begitu lama. Terkenangkan dia rebah di hadapan Haura membuatkan wajah Athar mula membahang. Jatuh egonya sebagai lelaki akibat rebah di hadapan gadis itu. Lantas, dia bangun dari pembaringannya.

"Amin... kita balik!" tegas Athar sambil mencabut drip pada kura tangannya. Perlahan-lahan, dia turun dari katil lalu mencengkam tangan Amin untuk bangun.

"Nak makan!"

"Athar... bagilah adik awak makan dulu. Lagipun awak perlukan rehat. Muka awak pucat..."

"Berapa harga kek ni?"

"Pasal kek ni, anggap sajalah sebagai hadiah. Awak dah tolong saya dulu dan saya nak tebus kebaikan awak dengan bagi kek ni pada awak dan adik awak. Saya minta maaf pasal pekerja saya tadi," ujar Haura.

Athar senyap. Omongan Haura sayup-sayup kedengaran di halwa telinga. Kelembutan gadis itu bertutur, wajahnya yang manis serta kebaikan gadis ini benar-benar memberikan tarikan kepada Athar. Sekali lagi, wajah manis Haura benar-benar membuatkan Athar senang hati. Athar suka melihat senyuman di bibir munggil Haura. Gadis ini, sememangnya indah di pandangan mata Athar.

"Athar, saya minta maaf..."

"Kau dah lupa ke kau dah selamatkan aku sebelum aku tolong kau?" bidas Athar.

"Kau lupa ke kau tolong aku masa aku kena tikam dengan orang yang cuba nak bunuh aku dulu? Kau lupa ke kau beranikan diri kau untuk selamatkan aku?" soal Athar lagi. Perubahan pada wajah Haura membuatkan segaris senyuman nipis terukir di bibir pemuda itu. Gadis itu seolah-olah cuba mengamati wajahnya.

"Lelaki yang lari dari hospital..."

"Aku tak lari. Adik aku, siapa nak jaga kalau aku layan sakit aku. Kan?" bidas Athar lagi. Nada suaranya tidak lagi setegang pada detik awal perkenalannya bersama Haura. Tatkala itu juga, Haura lega melihat lelaki yang diselamatkannya dahulu masih berdiri teguh di hadapannya. Bagaimana dia bisa lupa kejadian itu apabila dia menemui Athar dalam keadaan yang parah dan berlumuran dengan darah? Wajahnya juga ditutup dengan kesan bengkak.

"Terima kasih sebab selamatkan aku dan gembirakan adik aku dengan kek coklat tu. Aku minta maaf sebab berkasar dengan kau. So, kita kawan?"

Tatkala salam perkenalan dihulurkan oleh Athar, tatkala itu juga Haura senang hati dengan kelembutan Athar untuk menerimanya. Haura mengangguk. "Tapi tulah, saya rasa awak kena belajar buang baran awak tu. Betul tak Amin?"

"Baran tu apa kakak?"

Tak semena-mena, Haura dan Athar ketawa melihat Amin yang terkial-kial dengan perbualan di antara mereka. Ketika itu juga, Athar seolah-olah menerima nafas baru melihat keceriaan yang terpancar di sebalik wajah manis Haura. Telatah Amin yang ceria membuatkan dia tertarik untuk mengenali Haura dengan lebih dalam. Bukan mudah melihat Amin selesa dengan orang yang baru dikenali. Namun, bersama dengan Haura semuanya berubah. Haura memang bijak mengambil hati adiknya itu.

RINTIK-RINTIK peluh yang mengalir ke pipinya seiringan dengan rasa sakit yang semakin menyucuk saraf kepalanya. Athar mengerekot sambil mengerang kesakitan tatkala rasa sakit itu semakin mencengkam tubuhnya. Nafasnya semakin tercungap-cungap menahan kesakitan yang maha hebat. Ketukan pintu di luar bilik sayup-sayup kedengaran. Air mata terus-terusan mengalir ke pipinya tatkala rasa sakit itu seakan-akan mahu membunuhnya. Wajahnya serta merta membahang kemerahan.

BERIKAN AKU WAKTU (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now