BAB 3

6.2K 562 76
                                    

"SALAH ke kalau aku cuba tolong perempuan tu? Aku tak ada cara lain selain berkasar dengan peragut-peragut tu semua! Itu saja caranya untuk aku melawan!"

"Tak salah. Tapi encik dah mengakibatkan peragut-peragut tu terlantar kat hospital. Encik menggunakan objek tumpul untuk melumpuhkan peragut-peragut itu. Saya..."

BUK!

Athar menghentakkan kedua belah tangannya di atas kaunter balai polis itu. Kerusi sudah terpelanting ke belakang. Mata-mata yang sedang memerhatikannya dia abaikan. Buat seketika, dia beradu pandangan dengan seorang pegawai polis yang juga berwajah tegang.

Athar memerlukan rehat sahaja malam ini. Bukan dimasukkan ke dalam lokap setelah membelasah peragut yang cuba mencederakannya sebentar tadi. Kalau bukan kerana Haura pernah membantunya, dia tidak akan sesekali membantu gadis itu.

"Saya bayar jaminan dia. Boleh kan encik?" suara Haura tiba-tiba kedengaran. Sesekali, dia memandang wajah Athar yang berdiri di sebelahnya. Bagi Haura, pemuda itu memang seorang yang baran dan bengis. Dia sendiri kecut perut apabila pemuda itu berani menentang pegawai polis.

"Aku tak perlukan duit kau! Dan kau... kalau kau nak sumbat aku dalam lokap..."

Athar mati kata apabila Haura menghulurkan wang kepada pihak polis. Dahinya berkerut tatkala gadis itu berdegil untuk memberikan jaminan ke atas dirinya. Dia tidak mahu terhutang budi dengan Haura lagi. Sekali sudah cukup walaupun pengakhirannya dia terpaksa tidur di dalam lokap.

"Aku kata tak payah... tak payahlah! Kau faham..."

"Semua ni salah saya. Jadi saya ada hak untuk menebus kesalahan saya. Kalau bukan sebab encik... tak mungkin saya dapat duit saya semula. Sebab saya juga encik terpaksa hadap balai polis! Encik nak terima ke tak... saya tak kesah. Apa yang penting ini cara saya berterima kasih pada encik!" bidas Haura dengan nada yang penuh dengan ketegasan.

Lantas, urusan ikat jamin pun dilakukan. Athar hanya mampu menggelengkan kepalanya dengan kedegilan Haura sebelum melangkah keluar dari balai polis. Tak betah berada di tempat itu lama-lama. Lantas, telefon yang berada di dalam saku seluar dikeluarkan. Nombor Hazrul lantas dicari untuk mengambilnya di balai polis itu.

"Encik! Tunggu kejap!" laungan suara Haura mematikan langkah Athar. Dia berpaling memandang gadis yang sedang melangkah ke arahnya. Sebuah senyuman yang terukir di bibir gadis itu membuatkan Athar jadi kaku. Suara Hazrul yang sudah berada di dalam talian sayup-sayup kedengaran. Tumpuannya hanya pada wajah Haura saja saat ini. Aneh. Perasaan ini sungguh aneh bagi Athar.

"Saya nak ucapkan terima kasih pada encik sebab encik dah tolong saya. Nama encik siapa? Mungkin lepas ni kita boleh jumpa untuk saya balas jasa encik?" suara Haura kedengaran lagi.

Senyuman di bibirnya semakin mekar sehingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Tatkala itu, debaran di jantung Athar semakin kencang. Wajah gadis ini begitu tenang bagi Athar. Entah mengapa dia merasakan wajah Haura begitu menenangkan pun dia tidak tahu. Adakah kerana kejadian malam itu?

"Encik... nama encik siapa?" soal Haura lagi.

"Kau dah lupa ke pasal aku?" soal Athar tiba-tiba.

"Lupa? Kita pernah bertemu ke sebelum ni?" soalan dibalas dengan soalan. Dahi Haura berkerut tatkala wajah Athar yang tegang tiba-tiba berubah redup.

Athar terus mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Haura tatkala jawapan yang diterimanya tidak memuaskan hati. Nampaknya, Haura lupa kejadian malang itu. Lantas, Athar mengatur langkah meninggalkan perkarangan balai polis sambil menjawab suara Hazrul yang sedang menantinya dalam talian. Ada rasa kecewa apabila Haura lupa akan dirinya.

BERIKAN AKU WAKTU (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now