BAB 22

4.1K 406 24
                                    


SEBULAN KEMUDIAN...

HAURA mematikan dapur gas sebaik sahaja loceng di luar rumah kondominiumnya kedengaran. Segera dia mencapai selendang yang tersidai di sofa seraya membuka grill rumah. Kelihatan seorang penghantar barang yang sedang mengangkat kotak di hadapannya. Haura rasa pelik dengan barangan yang diterima. Masuk minggu ini sudah lima kali dia menerima barangan tanpa nama. Barangan produk kesihatan seperti makanan berkhasiat dan juga buku-buku agama yang berkenaan dengan panduan mendidik anak menjadi anak yang soleh.

             Setelah mengucapkan terima kasih kepada si penghantar barang, Haura menanggalkan selendangnya. Dia melabuhkan duduk di atas sofa seraya menanggalkan plaster yang menutup kotak tersebut. Kali ini terdapat dua pasang baju bayi berwarna biru dan hijau serta dua tin susu bersaiz besar untuk ibu mengandung sepertinya. Itu warna kegemarannya Haura. Dia tersenyum sendiri dengan barangan yang diterimanya. Entah mengapa dia merasakan seseorang sedang memerhatikannya dari jauh. Siapa? Adakah Athar sedang menjaganya dari jauh? Teringat akan hal itu Haura jadi sebak. Namun, cepat-cepat dia menenangkan dirinya. Dia sendiri tidak tahu khabar Athar. Dia ada menghubungi suaminya itu namun Athar menukar nombor telefon. Bukannya Haura tidak mahu menghubungi Hazrul, tapi dia tidak mahu orang lain tahu masalah yang menimpanya bersama Athar.

              Sedang Haura larut dengan lamunan, telefonnya berdering di atas meja. Lantas dia mencapai dan tertera nama Fina dalam talian. Segera dia menyentuh punat hijau dan menjawab panggilan sahabatnya. "Mummy to be kau buat apa?"

             "Kau ni tak ada salam terus serbu aku je kan," omel Haura. Dia mengeluarkan barang yang terdapat di dalam kotak tersebut. Masih kelihatan baharu pakaian-pakaian tersebut.

             "Ye. Assalamualaikum, Puan Haura Ilyana. Aku nak ajak kau keluar hari ni. Hazrul pula sibuk tak ingat dunia sejak kebelakangan ni. Aku pun tak faham apa projek dia dengan laki kau tu hah," keluh Fina. Geram pula memikirkan kesibukan Hazrul sejak tiga minggu ini. Tapi dia pelik kenapa Haura kelihatan biasa-biasa saja. Tidak mengesyaki sesuatu.

            Entah mengapa mendengar keluhan Fina membuatkan Haura sedikit senang. Kalau Athar tidak hilang daripada Hazrul maka Haura tidak payah berasa khuatir kerana ada yang menjaga suaminya itu. Namun, masih tidak sama dengan dia. Menjaga Athar itu sudah tugasnya sebagai seorang isteri. Tapi, Haura juga tidak mampu berbuat apa-apa apabila Athar sendiri tidak menginginkannya lagi.

          "On ke tak mummy to be?!"

           "Haah! Ya... ya boleh," jawab Haura. Kaget dengan suara lantang Fina.

           "Apa yang haah boleh tu mummy? Kau mengelamun sebab apa? Huh? Fikirkan Athar juga ke? Tulah aku nak jumpa kau ni sebab aku nak cakap pasal benda ni. Pelik je laki kita berdua ni. Macam ada simpan sesuatu," omel Fina lagi. Haura hanya menjadi pendengar dengan omelan Fina bersama dengan senyuman di bibir. Begitulah Fina kalau ada perkara yang dia tak puas hati. Omelannya tidak bisa dihentikan.

"KAU dengan Hazrul dah kenal lama tau. Dari zaman kita universiti lagi kau dah kenal laki kau tu. Tak baiklah kau nak tuduh dia melulu macam tu. Mungkin dia orang ada projek kat bengkel kut sebab tu dia busy sejak akhir-akhir ni," kata Haura selepas dia mendengar omelan Fina.

          "Kau tak syak sesuatu ke pasal laki kau? Lagi satu kenapa kau duduk lama sangat kat rumah mak kau? Kau ada masalah dengan Athar ke? Ada kaitan dengan kesibukan laki aku ke? Baik kau cakap dengan aku dan jangan sorok-sorok," bidas Fina. Kecil besar saja dipandangnya Haura yang seolah-olah orang yang kelihatan tenang.

          Soalan bertubi-tubi daripada Fina membuatkan Haura tersenyum sendiri. Terlalu banyak perkara yang dirahsiakan daripada Fina termasuklah perihal Athar mahu menceraikannya sebaik sahaja dia melahirkan anak mereka. "Aku rindu mak aku. Lagi pun aku dah lama biarkan mak aku seorang kat sana. Sebab tu aku balik! Lagi pun sebab Athar sibuklah aku buat keputusan berlama-lama dekat rumah mak aku," helah Haura.

BERIKAN AKU WAKTU (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now