"KITA nak pergi mana?" soal Haura sebaik sahaja dia melihat Athar sedang berkemas dan memasukkan pakaian ke dalam beg pakaian Haura.
"Bukan kita. Tapi kau! Aku nak hantar kau balik ke rumah mak. Aku tak boleh nak tipu diri aku lagi. Aku tak nak hidup dengan kau lagi," jawab Athar. Dia melipat pakaian-pakaian Haura lalu dimasukkan ke dalam beg pakaian.
Haura kaget. Baru saja dia pulang dari melakukan pemeriksaan mengenai kandungannya dan mendapat khabar bahawa kandungannya lemah, kini dia diberikan kejutan tentang Athar lagi. Sungguh, Haura rasa sesak. Apa lagi kali ini?
"Kau dengar tak? Aku tak nak kau lagi."
"Awak merepek..."
"Aku dah bosan dengan kau. Aku dah bosan nak hadap tangisan kau dan sikap manja kau itu. Aku rasa kita dah tak sehaluan lagi, Haura. Aku minta maaf. Tapi aku tak mampu nak layan kau macam dulu. Aku dah tawar hati," bidas Athar. Dia menzip bagasi Haura seraya mencengkam pergelangan tangan Haura keluar dari kamar. Namun, Haura mengeraskan tubuhnya. Dia menggelengkan kepalanya.
"Awak nak lepaskan saya ke? Awak nak ceraikan saya?"
Kata-kata Haura dibalas dengan tawa sinis Athar. Pelipis yang tak gatal digaru. "Pandai! Sebab tu aku pilih kau jadi isteri aku sebab kau pandai! Tapi nantilah aku uruskan. Apa yang penting sekarang ni aku nak hantar kau balik rumah mak," ujar Athar.
"Athar. Kenapa dengan awak ni? Apa salah saya?!" tegas Haura. Dahinya sudah berkerut dengan keputusan Athar untuk melepaskannya.
"Aku dah bosan. Faham tak? Aku sedar yang aku ni tak semewah kau dan lambat laun nanti kau akan tinggalkan aku juga. Sama macam mak aku dengan Aria! Jadi sebelum kau tinggalkan aku baik aku hantar kau balik rumah mak kau dulu. Jangan buang masa aku!" tegas Athar. Dia mencengkam pergelangan tangan Haura seraya menarik isterinya keluar dari rumah. Terkocoh-kocoh Haura membuntuti Athar dari belakang dengan kejutan yang seolah-olah menghempap hidupnya. Tidak! Bukan ini yang dia mahu.
"Athar! Saya dengan mak awak dan Aria orang yang berbeza. Awak tak boleh buat saya macam ni. Semua ni tak adil untuk saya!" tegas Haura tatkala Athar sedang memakaikan tali pinggang keledar buatnya. Namun, lelaki itu buat endah tak endah seraya meluru masuk ke dalam kereta. Athar tekad. Dia mahu berpisah dengan Haura dan membiarkan Haura belajar hidup tanpanya.
"Okay! Kalau pun awak dah bosan dengan saya cuba awak fikirkan pasal anak kita! Awak dah lupa ke yang awak dah janji kita akan tetap bersama sampai hujung nyawa? Awak dah lupa ke yang kita akan bahagia dengan anak-anak kita? Athar! Doa awak dah dimakbulkan. Saya mengandungkan anak kita!" tegas Haura. Dia cuba mengawal kemarahan dan kesedihannya saat ini. Pandangannya tunak memandang wajah Athar yang sedang memandu. Segera dia mengeluarkan ultrasound lalu dihulurkan kepada Athar.
Tak semena-mena, Athar terus menekan pedal brek mendengar berita itu. Mereka tersentak ke hadapan akibat kejutan itu. Athar tergamam. Haura mengandung. Dia akan menjadi seorang ayah. Bibirnya mengulum senyum nipis. Wajah Haura yang berkerut dipandanganya sebelum dia mencapai ultrasound yang dihulurkan oleh wanita itu. Sungguh, hati Athar tercuit melihat janin yang sedang tumbuh dalam rahim isterinya.
Melihat riak wajah Athar membuatkan Haura tersenyum simpul. Dia mengenggam erat tangan Athar. Mengharapkan Athar ubah fikiran. Mengharapkan anak ini akan menjadikan Athar yang menyayanginya seperti dulu. "Dah berapa bulan?"
"Dah sebulan. Kita dah janji kan... kita akan bahagiakan keluarga kita dengan anak-anak kita. Awak, saya takkan tinggalkan awak seperti mana Aria dan mak awak tinggalkan awak. Saya sayangkan awak dan saya cuma mahukan awak jadi pelindung saya. Saya minta maaf kalau saya ada terkasar atau buat awak bosan dengan saya. Tapi saya tak sanggup hidup tanpa awak. Saya betul-betul cintakan awak, Athar," ujar Haura. Nada suaranya kedengaran lembut di halwa telinga Athar.
YOU ARE READING
BERIKAN AKU WAKTU (COMPLETED) ✔
Romance"Terima kasih sebab selamatkan aku dan gembirakan adik aku dengan kek coklat tu. Aku minta maaf sebab berkasar dengan kau. So, kita kawan?" - Athar Ketika salam perkenalan dihulurkan oleh Athar kepada Haura, ketika itu juga mereka tidak pernah menya...