KERAMAHAN Athar terhadap kedua orang tua Haura membuatkan Haura senang hati. Wajah abah yang nampak gembira memuaskan hati Haura. Itu sahajalah yang mampu dia lakukan sebagai seorang anak. Dia tahu, lambat laun dia akan kehilangan abahnya. Keadaan abah semakin hari semakin kronik. Tubuh abahnya juga semakin cengkung. Sungguh, Haura juga tidak menyangka bahawa semudah itu Athar menarik perhatian abahnya yang bersikap tegas.
"Abah, rehatlah dulu. Nanti sambung borak lagi," ujar Haura sambil membawa segelas minuman dan ubat-ubatan buat abahnya.
"Kejap lagilah abah rehat. Abah banyak benda nak cerita dengan suami kamu ni. Jadi, Haura ni dulu mudah sakit. Dia tak boleh tertekan sangat takut nanti dia demam panas. Masa dia sekolah rendah dulu, tak sah dalam sebulan tu dia tak demam kalau abah dia ni tak ada kat rumah. Abah nak pergi outstation pun kadang-kadang kena bawa dia sekali supaya dia tak sakit. Jadi Athar, abah harap kamu boleh jaga satu-satunya anak abah ni dengan baik. Dia sajalah lambang kasih sayang mak dan abah dia," tambah Encik Mahmud lagi. Dia mengusap lembut kepala Haura yang sedang duduk bersimpuh di sebelahnya. Ubat yang dihulurkan oleh Haura ditelan sebelum dia meneguk segelas air suam.
Athar tersenyum dengan cerita yang disampaikan oleh ayah mertuanya. Kebahagiaan keluarga Haura sedikit sebanyak membuatkan dia turut senang diterima menjadi sebahagian daripada mereka. Hanya dengan keikhlasan dan ketulusan yang ditunjukkan kepada Encik Mahmud sahaja, dia terus diterima untuk menjadi suami kepada Haura. Ini sahajalah yang mampu dia lakukan untuk menebus kebaikan Haura terhadapnya.
"Athar janji abah. Athar akan jaga Haura sebaik mungkin. Athar akan cuba untuk jadi yang terbaik dalam hidup kami. Anak abah ni dah terlalu banyak sedarkan Athar di atas kesilapan yang Athar lakukan selama ini. Kalau Athar tak ditemukan dengan Haura entahlah apa akan jadi dengan adik Athar tu. Athar betul-betul sayangkan Haura. Athar janji yang Athar takkan kecewakan abah," ujar Athar.
Buat seketika, Athar dan Haura saling berpandangan. Masing-masing saling berbalas senyuman. Mereka bahagia. Namun, jauh di sudut hati Athar dia takut untuk meninggalkan wanita itu. Apa yang akan berlaku pada Haura jika dia pergi buat selamanya? Suatu hal lagi, dia tidak mampu mengatakan bahawa masanya hanya tinggal sedikit. Dia tidak mampu mengatakan bahawa dia seorang pejuang kanser. Dia tidak mahu Haura tambah bersedih dan risau memandangkan keadaan abah mertuanya yang menghidap penyakit jantung.
"Abah pegang janji Athar tu. Haura pergilah tidur. Abah masih banyak benda nak cerita dengan Athar ni. Dah, jangan risau sangat pasal abah," kata Encik Mahmud. Seolah-olah mahu masa untuk dia dan Athar sahaja saat itu. Haura hanya mengangguk seraya melangkah masuk ke dalam dapur.
"Nampak sangat abah Haura tu suka dengan Athar. Muka dia nampak ceria. Dulu masa kamu dengan Ridhwan bukan main tegang lagi abah nak terima bekas tunang kamu tu," kata Puan Suria yang sedang membasuh pinggan.
Haura tersenyum dengan omongan ibunya. Dia menarik kerusi sebelum melabuhkan duduknya di ruangan makan itu. Cincin yang tersarung di jari manisnya dipusing-pusing. Dia bahagia. Melihat abahnya ceria membuatkan dia bahagia memilih Athar sebagai pendamping hidupnya. Masa perkenalan di antara mereka hanyalah lima bulan. Namun, dia merasakan seolah-olah dia sudah lama mengenali suaminya itu.
"Anak mak bahagia?"
"Mak, kebahagiaan mak dan abah pun kebahagiaan Haura. Memang Haura dah capai semua impian Haura. Haura dah ada rumah sendiri, Haura dah ada kafe sendiri dan tak bergantung dengan mak dan abah lagi. Tengok abah senang macam tu dan bersifat terbuka sudah tentunya buat Haura bahagia. Mak doakan Haura, supaya jodoh Haura dan Athar berpanjangan. Macam mak dan abah," ujar Haura.
YOU ARE READING
BERIKAN AKU WAKTU (COMPLETED) ✔
Romance"Terima kasih sebab selamatkan aku dan gembirakan adik aku dengan kek coklat tu. Aku minta maaf sebab berkasar dengan kau. So, kita kawan?" - Athar Ketika salam perkenalan dihulurkan oleh Athar kepada Haura, ketika itu juga mereka tidak pernah menya...