BAB 12

3.4K 417 27
                                    

"HAURA... aku okay. Kau jangan risau..."

            "Awak kata awak okay? Dia orang hampir bunuh awak. Awak tahu tak?!" pintas Haura sambil teresak-esak. Sesak di dadanya masih terasa dengan ketegangan sejam yang lalu. Dia tidak mampu menenangkan dirinya tika ini. Namun, Athar masih mampu bersikap tenang. Haura jadi berang melihat ketenangan Athar.

          "Kau risaukan aku?" soal Athar seraya melabuhkan duduknya di sebelah Haura.

         "Awak ni dah gila ke apa?! Berapa kali awak hadap situasi macam ni sampai awak tak ada perasaan takut? Dia orang nak bunuh awak untuk balas dendam. Cerita tu dah lama! Tapi kenapa dia orang masih nak kacau hidup awak?!" bentak Haura. Dahinya berkerut memandang wajah Athar yang sedikit bengkak akibat pergelutan.

          "Kau takut?"

          "Saya sayangkan awak, Athar! Saya dah hilang abah saya dan saya tak nak hilang orang yang saya sayang lagi! Faham tak? Saya sayangkan suami saya. Saya nak awak selalu ada dalam hidup saya! Saya tak tahu apa yang perlu saya buat kalau awak tinggalkan saya. Saya takut! Awak faham tak saya takut hilang orang yang saya sayang lagi," bentak Haura. Esakannya semakin kuat tatkala dia melepaskan semua yang terpendam di lubuk hatinya. Melihat air muka Athar berubah kaget membuatkan Haura tersentak. Dia tertunduk. Tidak menyedari bahawa dia baru sahaja meluahkan isi hatinya buat suaminya itu.

        "Hey, aku minta maaf. Aku tak bermaksud nak buat kau takut. Aku dah janji kan yang aku takkan tinggalkan kau. Haura..."

         Diam.

         "Haura, pandang aku," pujuk Athar sambil mencuit dagu Haura untuk memandangnya. Saat mata mereka saling bertaut, saat itu juga pandangan mereka yang berselirat dengan rasa cinta saling kelihatan. Perlahan-lahan, Haura mengesat darah kering yang masih tersisa di birai bibir Athar. Air matanya semakin deras mengalir ke pipi.

         "Saya takut kalau musuh-musuh awak cari awak lagi. Dah dua kali, Athar. Dah dua kali saya nampak awak dicederakan. Sampai bila awak nak biarkan hidup awak macam ni? Saya..."

           "Aku tak tahu berapa ramai yang bermusuh dengan aku. Terlalu banyak dosa yang aku lakukan sampai ramai yang bencikan aku. Aku pukul orang sampai lumpuh. Tu bukan sesuatu yang boleh dimaafkan. Aku pukul orang sampai cacat. Suami kau ni jahil, Haura. Aku minta maaf sebab kau terpaksa masuk dalam hidup aku. Aku..."

          Athar kematian kata tatkala Haura mula mengusap lembut pipinya. Senyuman yang mula terukir di bibir isterinya membuatkan dia kembali tenang. Tangannya singgah mengenggam pergelangan tangan Haura. Matanya dipejam rapat saat sentuhan lembut itu semakin membuatkan dia tenang. Rasa sakit pada tubuhnya akibat pergelutan itu terasa hilang begitu sahaja. Haura memang sering menenenangkannya sejak detik pertama pertemuan mereka lagi.

          "Sakit lagi tak?" soal Haura. Nada suaranya yang bergetar masih kedengaran begitu jelas.

          Athar mencelikkan matanya. Dia menggelengkan kepalanya sambil mengusap lembut sisa air mata yang mengalir di tubir mata Haura. "Semua tu kisah silam awak. Kalau arwah ayah awak masih ada saya yakin yang dia bangga dengan awak. Awak dah jauh berubah menjadi orang yang baik. Awak lindungi Amin sebaik yang mungkin," ujar Haura. Memberikan kata-kata positif kepada Athar yang masih diselubung dengan rasa bersalah.

         Senyuman yang terkulum di bibir Athar semakin lebar tatkala pandangan redup Haura semakin menusuk anak matanya. Dia tenang. Haura memang menenangkan orangnya.

         Namun, tiba-tiba sahaja tekaknya terasa loya. Cepat-cepat Athar bangun seraya melangkah ke tandas dan memuntahkan isi perutnya di atas sinki. Dalam masa yang sama juga tiba-tiba sahaja kepalanya terasa dicucuk dengan berjuta jarum. Sakitnya bukan kepalang sehingga lututnya terasa lemah untuk menampungnya terus berdiri.

        "Athar, awak sakit ke? Muka awak pucat sangat ni. Saya bawa awak ke hospital sekarang," suara Haura mula kedengaran. Dia mengusap belakang Athar yang sedang terbatuk-batuk. Ketenangan Haura juga kembali hilang dengan keadaan Athar.

         "Aku okay..."

        "Awak jangan nak tipu saya! Muka awak berpeluh-peluh ni kenapa? Awak sembunyikan sesuatu daripada saya ke?" tegas Haura. Nada suaranya kedengaran tegas di halwa telinga Athar.

         Athar diam. Dia hanya berkumur-kumur sambil menahan sakit pada kepalanya. Sungguh, sakit itu membuatkan dia rasa sesak. Lebih-lebih lagi dengan keberadaan Haura di sebelahnya tatkala ini. Dia tidak mahu buat Haura risau.

           Tapi, dia juga tidak mampu mengawal sakit ini dari menyerangnya. Memang dia mampu melawan sesiapa sahaja yang menyerangnya. Namun, kesakitan sebagai penghidap barah otak tahap empat bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilawan. Memikirkan itu, hati Athar jadi sebu. Sampai bila dia harus rasa sakit seperti ini? Dia juga menginginkan sebuah kebahagiaan.

         "Saya bawa..."

          Haura kematian kata tatkla Athar menepis tangannya. Buat seketika, pandangan mereka saling bersatu. Senyuman yang terkulum di bibir pucat Athar membuatkan hati Haura kembali sebu. Mengapa dia merasakan Athar menyembunyikan sesuatu daripadanya? Ingin sekali Haura mendesak. Namun, melihat keadaan Athar yang lemah membantutkan persoalannya.

          "Aku salah makan ni. Kau jangan risaulah. Aku perlukan rehat kejap. Lagi pun aku ada ubat. Nanti aku makan ubat lepas tu bila aku dah okay aku masakkan untuk kau. Apa kata sekarang ni, kau bersihkan diri lepas tu masakkan untuk aku. Kali ni aku bagi kau masaklah," kata Athar. Nada suaranya yang kedengaran lemah menambahkan kegelisahan Haura. Dia kaku di hadapan pemuda itu.

         "Dah. Kau nak mandikan aku ke? Boleh..."

         "Ya. Saya keluar. Tapi kalau awak tak sihat awak cakaplah dengan saya. Saya risau tengok awak macam ni," kata Haura seraya melangkah keluar dari tandas. Sempat lagi Athar mahu menyakatnya di saat lelaki itu kelihatan sedang menanggung sakit. Saat dia berpaling, saat itu juga pintu tandas ditutup rapat dari dalam.

        Athar tersandar lemah di belakang pintu sebelum kakinya melorot jatuh. Kekalutan Haura ketika dia mengusik membuatkan dia tersenyum sendiri. Namun, kesakitan yang semakin menyucuk kepalanya membuatkan dia semakin kegelisahan. Matanya terpejam rapat sambil menyebut nama ALLAH berkali-kali. Berharap agar ALLAH mengampunkan segala dosanya. Berharap agar ALLAH menghilangkan rasa sakit yang seolah-olah ingin meragut kekuatannya. 

BERIKAN AKU WAKTU (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now