PERJALANAN menuju ke kampus pagi itu terasa menyeksakan kerana perutnya kini bergelojak dek makanan yang disumbat tadi. Beberapa kali dia hampir terjeluak.
Kereta Honda Civic kelabunya meluncur masuk ke kawasan kampus yang mula dipenuhi dengan lautan pelajar. Diana baru sahaja menekan butang lock di remote control kereta ketika dia disergah dari belakang oleh seseorang.
"Oh, mak!" latahnya sambil tersandar di pintu kereta.
Seorang lelaki yang mempunyai raut baby face ketawa terkekek-kekek sambil menekup mulut. Rambut hadapannya yang dihighlight ungu terbuai-buai.
"Oh, nyah!" Amir mengajuk sambil tersengih lebar.
"Kau ni kan Mir, suka buat aku macam ni. Nanti aku beli rantai loceng kucing lepas tu ikat kat leher kau baru tahu. Senang dari jauh dah dengar kau datang."
Diana mengomel geram sambil mengurut-urut dada.
"Hei, kenapa bitter sangat pagi ni darling? Masih sedih pasal semalam ke? Kan mak dah cakap, jangan layan sangat perasaan tu. Nanti meroyan kau, nyah."
Amir memulakan leteran.
Diana berdiri berpeluk tubuh sambil merenung wajah kawan baiknya itu. Amir Zafran sahajalah kawan baiknya selama ini. Dari zaman sekolah menengah sampailah sekarang. Walaupun Amir digelar 'sotong' oleh semua, Diana tidak kisah kerana Amir sahajalah yang benar-benar ikhlas berkawan dengannya.
"Kau ada gula-gula mint tak? Aku macam nak muntahlah pulak. Banyak sangat makan tadi."
Diana menukar topik sambil menekan-nekan perutnya.
"Nah, ni ada gula-gula Halls aku baru beli tadi," jawab Amir sambil mengeluarkan beberapa biji gula-gula dari poket.
Mereka berdua berjalan menuju ke bangunan fakulti bisnes sambil berbual kosong. Amir sedang sibuk bercerita tentang tutorial mekap yang ditontonnya semalam ketika mata Diana terpandang tiga orang lelaki yang sedang duduk di atas meja.
Bunyi tawa mereka seakan-akan menggegarkan kelas.
"Ugh. Another day, another hell," keluh Diana.
Ketiga-tiga lelaki tersebut menoleh serentak ke arah dua sekawan itu. Salah seorang daripada mereka tersengih jahat sambil melunjurkan kaki untuk menghalang laluan Diana dan Amir. Dua lagi kawannya pula berdiri sambil tersenyum seronok.
Amir mengecilkan matanya dengan rasa menyampah.
"Oi, tepilah. Tak sopan tahu tak letak kaki atas meja!" Amir membebel.
Kening tebal Rafael berkerut, tetapi raut wajah kacaknya masih lagi kekal jahat.
Salah seorang daripada kawannya mencucuk pinggang Amir dengan kuat menyebabkan lelaki itu melompat sambil melatah.
"Oi mak hang, selamat hari raya! Eh!"
Amir melatah sebelum cepat-cepat menekup mulutnya kerana malu.
"Haa tu, dia. Terkeluaq dah pelat utara dia." Nick mengejek.
"Hang ni kan Nick, kurang ajaq tau dak. Aku tampaq satgi haa."
Amir bersuara sambil membetulkan baju kemejanya.
"Selamat hari raya eh? Puasa tahun lepas penuh tak? Kena ganti berapa hari?" usik Zikri pula sambil ketawa geli hati.
Diana menunduk ke bawah dengan rasa kurang selesa.
Rafael, Nick dan Zikri memang tak pernah membiarkan hidupnya tenang walaupun sehari. Ada saja ejekan dan usikan-usikan jahat yang sering dikenakan mereka. Dia betul-betul tidak faham kenapa mereka jahat benar terhadapnya.
ANDA SEDANG MEMBACA
DIANA AMAYA
RomanceTajuk: DIANA AMAYA Penulis: NURUL ATIQH GHUZIR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-96-7 Tidak tahan diejek dan dibuli, hitam dendam mengaburi hati yang dahulunya putih suci. Dengan bantuan Amir, kawan baiknya, Diana berjaya menjejaki Rafael, Zikr...
