BAB 5

163 2 0
                                    

DIANA berkurung di dalam bilik sejak pulang dari kampus petang tadi. Sudah beberapa kali Bibik Min memanggilnya makan, tetapi langsung tidak disahutnya.

Bibik Min turut membawa naik makan malam ke atas, tetapi Diana mengunci pintu biliknya dan meminta untuk tidak diganggu kerana dia terlalu sibuk menangis. Menangis melepaskan isi hatinya yang terluka dan perit dengan hinaan tidak henti-henti terhadap cela di wajahnya.

Panggilan Amir yang tidak berhenti-henti menghubunginya sejak kelas berakhir tadi juga tidak diendahkannya.

Dia terbaring keletihan seperti baru sahaja tamat berlari maraton. Telefon pintar dicapai dan jarinya menekan butang Wi-Fi yang dimatikan sejak tiba di rumah tadi. Beratus notifikasi dipaparkan sekali gus di skrin iPhone X miliknya.

Diana berasa sangat terkejut kerana dia tidak pernah menerima notifikasi banyak sebegitu sepanjang hidupnya. Semua notifikasi tersebut adalah daripada aplikasi Instagram dan hanya ada satu notifikasi daripada aplikasi WhatsApp yang merupakan mesej daripada Amir.

Jarinya menyusuri ratusan notifikasi daripada Instagram. Betapa perit hati dirasakan kerana username akaun Instagramnya telah ditag di gambar yang dimuat naik oleh Rafael siang tadi.

Bukan hanya usernamenya telah ditag, ada beberapa pelajar turut mengetag username akaun 9Gag di ruangan komen gambar itu. Mereka nampaknya benar-benar cuba untuk memalukannya di mata dunia pula. Gadis itu meneliti gambarnya yang kini telah mendapat lebih daripada 7000 likes.

Memang benar dirinya sangat jelik, tetapi perlukah mereka menghukumnya begitu?

Diana menghempas iPhonenya ke atas tilam dan menekup mukanya dengan sebiji bantal sebelum meraung sekuat hati.

Satu lagi mesej masuk daripada Amir. Diana membuka sebelah matanya yang bengkak untuk membaca mesej tersebut.

Nyah, sabar ya. Aku akan try hack masuk ke akaun Instagram universiti dan padam gambar tu. Kau jangan nangis ya.

Notifikasi daripada Instagram masih lagi berterusan masuk.

Diana benar-benar tidak tahan lagi. Perit yang dirasakannya di hati kini terasa naik sehingga ke tekak, membuatkan dia merasa bagai tercekik. Dia menggenggam dan mula menarik-narik rambut panjangnya yang menggerbang sambil menjerit.

"Diana?! Diana sayang?! Kamu okey tak? Buka pintu ni sayang!"

Bibik Min memanggil dari luar sambil mengetuk-ngetuk pintu.

Diana menoleh perlahan ke laci meja soleknya yang separuh terbuka. Kakinya melangkah, menyusuri lantai yang bersepah dengan buku, teddy bear, baju dan majalah-majalah.

Biliknya seperti tongkang pecah kerana dia telah melepaskan sakit hatinya kepada segala benda yang boleh dicapai.

Laci meja solek dibuka sebelum dia mengeluarkan beberapa botol ubat. Dia membelek botol-botol itu sambil tersengih. Air mata yang masih berlinangan tidak dipedulikannya.

Segenggam besar pil dikeluarkannya dari setiap botol tersebut.

"Diana sayang?! Bukalah pintu, bibik risau ni! Diana okey ke di dalam?!"

Dengan senyuman yang masih belum pudar, Diana menelan kesemua pil tadi dengan payah. Pil-pil yang bertaburan di lantai dikutip sambil ketawa menggila. Sebelah lagi tangan menonggengkan sebotol air ke mulut.

Hingus yang meleleh disapu sebelum dia jatuh terduduk di sebelah meja soleknya. Diana menampar-nampar muka beberapa kali untuk cuba melawan tekanan perasaannya.

Bibik Min yang semakin risau berlari turun ke bawah untuk menelefon majikannya yang tiada di rumah.

Diana berbaring di atas lantai sambil bersenandung sendirian dan sesekali ketawa nyaring.

Telefon pintarnya berdering. Pasti Amir yang menelefon lagi. Tetapi dia tidak peduli lagi untuk menjawab sebarang panggilan. Tidak peduli tentang apa-apa lagi.

Dia hanya mahu pergi dari dunia yang terlalu kejam kepadanya itu. Pergi dan tidak kembali.

Tidak semena-mena ruang esofagusnya terasa menyempit dan Diana terbatuk-batuk kuat sambil tercungap-cungap menyedut oksigen. Tubuhnya mulai menggeletar dan tersentak-sentak kuat di atas lantai.

Sistem badannya kelihatan seperti sedang memberi tindak balas agresif terhadap bermacam pil yang ditelannya tadi.

Dia merengek kuat. Matanya berair menahan azab. Tangannya tergapai-gapai, cuba mencari sesuatu untuk membantunya berdiri. Dengan tidak sengaja, dia telah tersepak sebuah lampu berkaki kurus sehingga terbalik dan terhempas kuat ke lantai.

Bibik Min yang masih cuba menghubungi majikannya tersentak apabila terdengar bunyi sesuatu berderai kuat dari tingkat atas. Dia kembali berlari naik ke tingkat atas. Diketuk-ketuknya pintu bilik Diana dengan lebih kuat.

"Diana! Diana tolong buka pintu ni! Apa yang jadi di dalam tu?!"

Bibik Min meletakkan telinganya rapat ke pintu. Bunyi tercekik dan terbatuk-batuk kedengaran dari dalam.

"Ya Allah..."

Dia bergegas turun semula untuk mendapatkan kunci pendua bilik.

Tubuh Diana tersentak-sentak. Buih putih menyembur keluar dari mulutnya yang terbuka. Lidahnya terasa keras. Nafas berbunyi kuat ketika ditarik.

Kepalanya mula terasa ringan, menandakan oksigen yang disalurkan ke otak semakin tidak mencukupi. Mata yang berair mulai perlahan-lahan tertutup, tetapi masih cuba dibukanya. Betapa seksa dirasakan apabila tubuh mulai kejang.

Pintu bilik dibuka. Bibik Min mengucap panjang apabila melihat apa yang berlaku. Wanita tua tersebut menerpa ke arah Diana dan meriba gadis itu sambil menangis.

"Ya Allah Diana! Apa yang Diana dah buat ni?! Ya Allah ya Tuhanku sayang! Bertahan ya, bibik telefon ambulans sekarang!"

Diana hanya diam, terlalu lemah untuk bersuara. Ejekan dan kata-kata hinaan yang dilemparkan kepadanya kembali terngiang-ngiang kuat di telinga.

"Diana mak lampir..."

"Apa hal hodoh sangat eh muka kau?"

"Princess Fiona! Princess Fiona! Princess Fiona!"

"Sebab bulan tu berkawah-kawah, macam muka awak!"

Diana teresak perlahan. Di saat yang sama, pandangannya mula kabur dan kepalanya terlentok ke tepi.

DIANA AMAYAWhere stories live. Discover now