BUNYI penggera di telefon pintar yang tergeletak di atas sebuah meja kecil di tepi katil berbunyi kuat. Sepasang tangan muncul tergapai-gapai dari bawah selimut tebal mencari arah datangnya bunyi tersebut.
Setelah penggera telefon pintar itu dimatikan, bunyi keluhan berat mula sayup-sayup kedengaran dari bawah selimut. Seorang gadis berambut panjang kusut-masai menyelak selimut dengan lagak memberontak.
Dia menggosok-gosok mata yang gatal sebelum mencapai kaca mata tebalnya yang diletakkan di bawah bantal. Jarinya menaip untuk memeriksa sebarang notifikasi telefon yang masuk semasa dia tidur. No older notifications.
"As usual. Kenapalah aku masih nak cek kalau ada any notifications? Haih," keluh gadis itu dengan bibir memuncung.
Dia mencucuk kabel pengecas telefonnya sebelum bingkas bangun dan mengemas katil. Tuala bercorak Hello Kittynya dicapai dan kaki melangkah longlai menuju ke bilik air. Bunyi pancuran air panas kedengaran selama 10 minit sebelum bilik air berjubin biru itu bertukar sepi.
Gadis tadi berdiri di hadapan singki. Tangan kurusnya dihulur untuk mengelap cermin yang berkabus. Rambut hitam panjangnya yang basah dibiar terjuntai di hadapan muka. Mata bundarnya yang kuyu merenung setiap inci refleksi wajah yang sembap di cermin tersebut.
Tidak semena-mena air mata mengalir menuruni pipi yang dipenuhi jerawat batu. Tangannya mencapai berus gigi sebelum mengangakan mulut dengan luas, mendedahkan giginya yang dipasang pendakap gigi besi.
Dia masih tidak dapat melupakan apa yang terjadi semalam di kampus universitinya. Jelas dalam ingatannya akan suara-suara hilaian yang menghiasi ruang kafe kampus, mengetawakannya.
Kenapa? Kerana sesuatu yang buruk telah berlaku kepada dirinya di khalayak ramai. Sepinggan mi goreng basah yang dibeli tumpah mengenai baju yang dipakainya. Kejadian yang berlaku itu bukanlah kerana dia cuai, tetapi disengajakan.
Sakit betul hati bila diri dilayan seperti sampah hanya kerana rupa. Gadis mana yang tak mahu jadi cantik? Kan selalu orang cantik dilayan dengan baik di dunia ini?
Kalau tidak, masakan mi goreng yang dibeli boleh tertumpah di bajunya kalau bukan kerana beberapa orang pelajar sengaja merempuhnya dengan kuat semalam.
Diana hanya mampu memendam rasa marah dan tidak puas hati yang selalunya bertukar menjadi kesedihan dan dilepaskan melalui tangisan.
Tangisan yang sunyi. Siapa yang peduli kan?
Diana menggenggam kuat singki bilik air sehingga tulang jarinya kelihatan memutih di kulit tangan. Dia cepat-cepat berkumur sebelum membalut rambutnya yang basah lalu melangkah keluar dari bilik air.
Setelah siap berpakaian dan mengeringkan rambut, Diana memasukkan beberapa fail dan buku ke dalam beg galasnya.
Terasa begitu berat hati hendak pergi ke kampus pagi itu. Bukan hanya hari itu sebenarnya dia berasa malas, malah setiap hari. Betapa hati Diana berharap dapat melalui hari yang normal di universiti swasta itu walaupun sehari.
Bunyi pinggan dan cawan kaca kedengaran dari ruang makan. Pembantu rumah iaitu Bibik Min sedang sibuk menghidangkan sarapan pagi.
Ayahnya yang sedang sibuk memeriksa e-mel di telefon pintar mendongak dengan wajah prihatin.
"Morning sweetheart. Kenapa muka anak papa masam aje ni?" tanya Zainal kepada anak tunggalnya.
Zainal merupakan seorang diplomat Malaysia di United Kingdom. Jadi, dia sentiasa sibuk dan selalu outstation bak kata mamanya. Jarang-jarang sekali papanya dapat pulang ke Malaysia dan bersama dengan keluarga kecuali kalau dia sedang bercuti. Itu pun bergantung pada kesibukan kerjanya.
"Tak ada apa, papa. Rasa letih sikit aje," jawab Diana, pendek.
"Studi sampai pukul berapa semalam? Exam dah dekat ya?"
"Mana ada exam lagi pa. Kan semester kedua baru aje sebulan start," jawab Diana sambil mencedok makaroni goreng.
Papanya ketawa kecil sambil menghirup teh yang sudah suam.
"Maaflah, papa tak tahu."
"Takpe, pa," jawab gadis itu sambil mengunyah makaroni goreng.
"Kalau papa tanya jangan marah ya. Diana betul ke tak mahu terima tawaran hari itu untuk melanjutkan pelajaran ke University of Manchester?"
Diana tersenyum simpul.
"Kalau Diana nak terima, masih belum terlambat kan? Rugi tau. Lagipun papa kan ada di UK, jadi Diana tak perlu risau."
Zainal cuba memujuk.
"Diana sayang la nak tinggalkan universiti yang sekarang pa. Nanti kesian pula dengan Amir seorang diri kat uni tu."
Gadis itu memberi alasan yang sama setiap kali ditanya.
Zainal mengangguk, mengalah sebelum kembali memeriksa e-mel di telefon pintarnya.
Kedengaran suara ketawa dari arah dapur sebelum ibunya melangkah masuk ke ruang makan sambil bercakap di telefon. Ibunya yang berumur awal 40-an sentiasa kelihatan kemas dan bergaya walaupun jadualnya agak ketat.
Malisha mengenakan dress boho kuning pagi itu dan kelihatannya sedang sibuk berbual dengan Datin-Datin yang sering menggunakan khidmatnya sebagai pereka dalaman. Pipinya yang licin kelihatan berkilau disuluh cahaya lampu di siling.
"Boleh saja, Datin. Tengah hari nanti kita jumpa time lunch okay? See you Datin."
Malisha mematikan talian. Tangannya mengilas rambut ke belakang telinga yang dihiasi anting-anting berbentuk bulat. Bibirnya mengukir senyuman mesra sebelum duduk di sebelah Zainal.
"Datin Kayla nak jumpa tengah hari ni. Dia nak tukar siap-siap tema ruang tamu vila untuk tahun ini sebelum raya nanti. Awal betul dia pelan kali ni abang."
Malisha memberitahu sambil mengambil sepotong sandwic mentega kacang. Pandangannya dialihkan ke arah anak perempuannya yang sedang menyumbat sandwic mentega kacang dan makaroni goreng dalam masa yang sama ke dalam mulut. Keningnya berkerut hairan.
"Ya Allah, Diana. Apa hal sumbat makanan macam tu dalam mulut? Kalau ya pun lapar, slow-slow la sikit makan tu. Nanti tercekik macam mana?" soal Malisha sambil menggeleng kepala dengan wajah sayang.
Diana menelan makanan yang berlumba-lumba turun ke tekak dengan payah sebelum menghirup air tehnya. Dia memikirkan jika dia makan dengan banyak untuk sarapan, pasti perutnya akan kenyang sehingga ke petang.
Kejadian semalam cukup memalukan sehingga dia berasa seperti tidak mahu menjejakkan kaki ke kafe kampus selama sebulan. Tidak sanggup rasanya diketawakan lagi walaupun dia sudah lali dengan suara mengejek sepanjang belajar di universiti swasta itu.
"Maaf ma, lapar sikit pagi ni."
Diana memberi alasan sebelum bingkas bangun dan menggalas beg.
"Hai, merajuk ke? Ni, tak rimas ke rambut tu kusut-masai tutup muka?" tanya Malisha dengan nada prihatin.
Diana menggeleng.
Malisha bangun dan mengilas rambut anak perempuannya yang menutup sebahagian daripada wajah gadis itu ke belakang telinga. Diana tunduk, cuba melindungi wajahnya dan menolak perlahan tangan ibunya.
"Ma, tak nak la. Takde siapa nak tengok muka Diana pun."
"Hei, siapa cakap tak ada siapa nak tengok muka anak mama? Anak mama ni cantik tahu tak?" pujuk Malisha.
Yelah tu. Sudah-sudahlah ma, menidakkan kebenaran. Hati kecil Diana berbisik.
Malisha memberi ciuman lembut ke dahi anaknya.
"Okeylah ma, Diana nak pergi awal. Kang nanti bising pula si Amir tu. Diana pergi dulu ye?" beritahu gadis itu sebelum menyalami tangan ibu bapanya.
Zainal dan Malisha mengangguk, sekadar memerhati kelibat anak mereka pergi sebelum kembali berbual-bual.

ANDA SEDANG MEMBACA
DIANA AMAYA
RomanceTajuk: DIANA AMAYA Penulis: NURUL ATIQH GHUZIR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-96-7 Tidak tahan diejek dan dibuli, hitam dendam mengaburi hati yang dahulunya putih suci. Dengan bantuan Amir, kawan baiknya, Diana berjaya menjejaki Rafael, Zikr...