BAB 4

175 1 0
                                    

PERPUSTAKAAN universiti kelihatan agak lengang hari itu kerana masih di awal semester. Tiada pelajar yang benar-benar waras akan mula mengulang kaji seawal itu, walaupun pelajar dekan.

Diana memutuskan untuk menghabiskan masa di perpustakaan. Dia lebih berminat untuk membuat bacaan ringan daripada menggemukkan diri di kafe.

Ketenangan yang dirasainya tidak lama apabila Rafael, Nick dan Zikri melangkah masuk ke perpustakaan sambil ketawa. Mereka hanya diam apabila disergah oleh pustakawan yang bertugas. Sambil berjalan terkepit-kepit menahan tawa, mereka melangkah masuk ke ruang mengulang kaji.

Diana sedikit pun tidak terkejut kerana tiga sekawan itu rajin walaupun sangat menjengkelkan. Cuma Diana risau mereka akan ternampak dirinya dan mula membuli lagi.

Tambah-tambah pula Amir tiada di situ, habislah dia diejek nanti. Dia cepat-cepat menunduk dan melindungi wajah dengan rambutnya yang menggerbang.

"Oh hai, cik bulan ada di sini rupanya," tegur Zikri sambil memeluk komputer ribanya rapat ke dada.

Nick menjenguk penuh minat untuk melihat apa yang sedang dibaca oleh Diana. Direnggutnya buku berkulit tebal tersebut dari tangan gadis itu.

Diana cuba mengambil kembali bukunya, tetapi Nick cepat-cepat melempar bahan bacaan itu kepada Zikri yang ketawa berdekah-dekah.

Rafael mengeluarkan telefon pintarnya lalu mengambil gambar Diana. Dia kemudiannya menunjukkan gambar itu kepada Zikri dan Nick sebelum mereka melolong ketawa sekuat hati.

"Boleh upload di Instagram universiti ni. Confirm banyak likes."

Rafael berkata sambil matanya mengecil penuh dengan niat jahat. Zikri dan Nick menggumam setuju.

"Kena letak kapsyen dulu weh..." Nick memberi cadangan.

"Korang, padamlah gambar tu... Please?"

Diana cuba merayu walaupun dia tahu tiada gunanya.

"Tahu tak apa yang seronok sangat bila jadi ahli jawatan kuasa pengurusan media sosial universiti?"

Rafael bertanya seronok. Diana yang menahan air mata menggeleng. Zikri dan Nick pula masing-masing menayangkan ekspresi jahat.

"Saya boleh muat naik sebarang gambar yang saya nak di Instagram universiti! Hari ini Cik Diana, gambar awak akan naik."

"Raf please, janganlah. Kalau awak nak saya pergi dari perpustakaan ini saya akan pergi. Tapi janganlah post gambar tu di Instagram Sterling. Please?" rayu gadis itu lagi.

"Boleh jadi terkenal tau. Anyway, memang awak dah terkenal pun sekarang cuma kami nak awak jadi lagi terkenal. Publisiti percuma kut. Tak nak ke?" Zikri mencelah.

Diana menggeleng-geleng sedih.

Amir berjalan masuk dan dengan pantas menuju ke arah mereka apabila ternampak tiga sekawan itu sedang mengerumuni kawan baiknya. Pasti tiada perkara lain yang dibuat mereka kalau bukan membuli.

"Korang buat apa ni ha?"

"Dah datang dah mangkuk ni."

Zikri tersenyum sinis.

"Apa mangkuk-mangkuk? Rumah kau takde mangkuk ke?"

Amir menjawab marah.

"Menjawab pulak sotong ni. Kami tengah fikir caption untuk gambar kawan kau ni. Nak upload di Instagram. Kau kreatif kan, tolong jap fikirkan kapsyen."

Rafael berkata sambil menunjukkan gambar tadi kepada Amir.

"Apa masalah korang ni ha? Hodoh betul perangai!"

DIANA AMAYAWhere stories live. Discover now