AMIR berjalan mundar-mandir di ruang laman rumah yang menghijau itu. Matanya meneliti setiap inci laman yang dihias cantik dan terjaga rapi itu dengan perasaan kagum.
Nampaknya ibu Diana baru sahaja menukar konsep laman rumahnya. Seingat Amir, tema laman itu berlainan pada tahun sebelumnya.
Diana sedang duduk di atas buaian. Matanya masih kemerahan.
"Nyah, kau nangis lagi ke? Adui, dah la tu. Aku tak sanggup tengok kau macam ni," pujuk Amir.
Diana hanya diam sambil mengalihkan pandangannya ke kolam ikan kecil di sudut laman rumahnya yang indah itu.
"Aku tak faham, Mir. Kenapa orang selalu kejam pada diri aku? Apa salah aku?"
"Kau tak salah apa-apa, nyah. Kau tak pernah salah. Janganlah begini, Diana."
Diana menoleh, memandang wajah baby face Amir.
"Mir, kau pernah rasa malu tak ada kawan baik yang hodoh macam aku?"
Amir membulatkan matanya dengan ekspresi tidak percaya.
"Apa kau mengarut ni, Diana? Aku tak pernah sekali pun rasa malu. Kenapa nak rasa malu pulak? Kau kawan baik aku kut."
"Aku tak minta jadi macam ni, Mir. Kau ingat aku tak nak jadi seperti gadis-gadis cantik kat universiti kita tu? Atau macam mama aku? Tapi, apa aku boleh buat? Aku hodoh!"
Diana membentak.
"Diana! Kau cantik tahu tak? You don't need other people to tell you that. Kau ada parents kau, Bibik Min dan aku. Kami sentiasa pandang kau sebagai seorang yang sempurna, tahu?"
Diana hanya diam sambil mengeluarkan tiga biji botol putih dari beg galasnya. Dia mengeluarkan sebiji pil dari setiap botol itu dengan cermat.
Amir memerhatikan kelakuan Diana dengan sebelah kening terangkat.
"Apa?" tanya Diana sambil menelan pil-pil tersebut.
"Apa benda pulak yang kau makan kali ini?"
"Pil kolagen, pil pencerah kulit dan pil pelangsing. Tak nampak ke rupa kawan baik kau ni? Muka dah la hodoh, perut pulak buncit walaupun tak gemuk," jawab Diana dengan nada bosan.
"Kau tak takut ke makan macam-macam ubat yang entah dari mana kau dapat tu?" tanya Amir lagi, memprotes.
"Well, I have to do something right?"
Diana memprotes kembali.
"Rasanya dah lama kan kau makan benda-benda mengarut tu? Tapi, ada kesan ke tidak?"
Diana mengangkat kedua bahunya.
"Aku malas nak bagi komen pasal tu, Mir. At least aku cuba."
Amir merapatkan dirinya dengan gadis itu sebelum menarik nafas perlahan.
"Aku kagum dengan kau, nyah. Nak tahu kenapa?"
Mata Diana berputar menghadap Amir dengan malas.
"Kau datang daripada keluarga yang senang, tetapi kau sangat merendah diri. Aku tak pernah tengok kau menghabiskan duit untuk berfesyen, mekap, beli beg tangan ke, facial ke, pergi spa ke, self-reward ke, apa ke. Tak pernah, walau sekali. Padahal kau boleh aje buat semua tu."
"Itu sebab aku tak tahu pasal fesyen, terlalu hodoh untuk pakai make up dan tak ada apa yang perlu aku rewardkan pada diri aku," jawab Diana sambil menolak sedikit pasu bunga di atas meja kopi apabila ternampak Bibik Min datang.
Amir menjeling dan cepat-cepat menarik tangan Bibik Min yang sedang menghidangkan minuman petang kepada mereka.
"Eh eh, budak ni. Terbalik air ni nanti Amir oii!"
Bibik Min hampir terpekik.
Bersungguh-sungguh Amir menarik pembantu rumah kawan baiknya itu supaya duduk.
"Bik, Diana ni kan selalu cakap diri dia buruk. Bik tengok dia cantik ke buruk?" tanya Amir.
"Eh eh, mestilah Diana cantik. Baik hati pula tu. Kalau tak, takkanlah bibik sayang dia sangat-sangat. Kenapa tanya macam tu?"
"Hari ini macam biasa la, bik."
Diana memberi sebab.
"Kena buli lagi ke sayang?" tanya Bibik Min dengan simpati.
Diana menunduk.
"Diana, aku tahu jawapan kau sentiasa no, tapi aku nak tanya lagi sekali. Kau nak aku buat makeover untuk kau? Kita pergi cari pusat rawatan kulit, shopping... "
"No." Diana memotong dengan pantas.
BibikMin dan Amir saling berpandangan, kecewa. Diana memeluk bantal di ribanyadengan erat. Hatinya masih dirundung rasa sebak.
ANDA SEDANG MEMBACA
DIANA AMAYA
RomansaTajuk: DIANA AMAYA Penulis: NURUL ATIQH GHUZIR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-96-7 Tidak tahan diejek dan dibuli, hitam dendam mengaburi hati yang dahulunya putih suci. Dengan bantuan Amir, kawan baiknya, Diana berjaya menjejaki Rafael, Zikr...
