PINTU pejabat kayu jati itu diketuk perlahan oleh seorang wanita muda yang berskirt paras lutut. Sayup-sayup suara dari dalam memberi kebenaran untuk masuk. Wanita tadi masuk sambil memberi salam.
"Tuan Rafael, Dato' minta tuan berjumpa dengannya di pejabat sekarang."
Rafael Hafiz yang segak berkemeja biru dan memakai vest mendongak dengan dahi berkerut. Otaknya ligat memikirkan apa agaknya yang ingin dibicarakan oleh bapanya kali ini.
"Tuan Rafael okey ke?" tanya wanita muda itu dengan wajah prihatin.
"Ya, ya, saya okey. Baik, saya akan pergi jumpa Dato'. Terima kasih, Nana," balas Rafael sambil berdiri dan mengemas dokumen yang bersepah di atas mejanya.
Nana mengangguk sebelum berjalan keluar.
Rafael keluar menuju ke pejabat yang tertera perkataan chairman berwarna keemasan berkilat di pintunya. Nafas ditarik panjang sebelum dia mengetuk pintu pejabat ayahnya dan masuk.
Dato' Hafiz sedang duduk di atas kerusi pejabat yang empuk sambil berbual-bual dengan anak sulungnya, Rafizwan. Bunyi pintu ditutup membuatkan si kacak Rafizwan menoleh, memandang adiknya. Wajah seriusnya bertukar sinis.
Rafael menundukkan pandangan sebelum merapati ayah dan abangnya.
"Well, well, well... Tengok siapa yang datang. The biggest loser in the family."
Rafizwan memerli sambil berpeluk tubuh.
Rafael menjeling abangnya.
"Raf, papa nak cakap sedikit ni. Maaflah ya, tetapi papa tengok keuntungan syarikat untuk bahagian automotif tidak mencapai tahap yang ditetapkan semasa mesyuarat dulu."
Rafael menyapu rambut tebalnya ke belakang dengan wajah tawar.
"Raf tengah cuba usaha, pa. Bukan papa tak tahu sekarang di pasaran, syarikat-syarikat lain sedang berlumba-lumba memasarkan model kereta baharu."
"Dah tiga bulan kau bagi alasan tu. Tak reti-reti nak come up with a new marketing strategy ke apa?" tanya abangnya dengan suara menghina.
Rafael merenung Rafizwan dengan tajam. Dia tahu abangnya lebih bijak dalam urusan bisnes. Rafizwan telah menguruskan bahagian hartanah syarikat milik keluarga mereka dengan jayanya. Kerana itulah Rafizwan selalu memandang rendah kepadanya.
Rafael menggenggam penumbuk dengan geram.
Dato' Hafiz cepat-cepat berdiri dan berdeham kuat sebelum kedua anak lelakinya mula bertekak.
"It's okay Raf. Papa faham. Mungkin fikiran kamu sedang di awan-awangan. Yelah, orang dah tak lama lagi nak kahwin kan?" kata Dato' Hafiz sambil menepuk-nepuk bahu Rafael.
Rafael hanya diam. Matanya masih tajam merenung mata garang abangnya.
"Ha, eloklah tu papa. Manjakan anak bongsu papa tu. Lama-lama, lingkup syarikat ni dibuatnya," perli Rafizwan.
"Eh, yang abang kalut sangat kenapa? Kalau rasa pandai sangat, pergilah uruskan bahagian automotif."
Rafael akhirnya melepaskan geram yang ditahan sejak tadi.
"Boleh aje. Aku bukan bebal macam kau," balas Rafizwan.
"Haish, sudahlah tu. Kamu berdua ni asyik bergaduh saja. Dari kecil sampai besar."
Dato' Hafiz mencelah sambil tayang wajah berkerut melihat sikap kedua-dua anak lelakinya.
"Bila abang berhenti cari pasal dengan Raf, insya-Allah, semua ini akan berakhir," jawab Rafael sebelum melangkah keluar dan menghempas pintu.
Rafael berjalan menghentak kaki menuju ke pejabatnya dengan nafas kencang. Apa entah masalah abangnya itu, tak habis-habis nak menyakitkan hatinya.
"BABY!!!"
Kedengaran suara nyaring menyambutnya dari dalam pejabat.
Rafael tersentak dan langkahannya terhenti di muka pintu. Tunangnya, Aubrey sedang duduk di atas meja dengan kaki bersilang. Wajahnya yang disolek tebal kelihatan sangat ceria merenung Rafael.
"Alaaa, baby bucuk kenapa tak excited pun tengok I? Tak perasan ke I buat rambut baru hari ini?" soalnya dengan suara manja yang menjengkelkan.
Rafael berjalan ke kerusi tanpa mengendahkan tunangnya. Fikiran yang sudah sedia kusut menjadi semakin serabut apabila gadis itu tiba-tiba muncul. Rasanya dia sudah beritahu Aubrey supaya tidak mengganggunya di pejabat.
Dia melabuhkan punggung dan memejamkan mata. Langsung tidak mengendahkan tunangnya.
Aubrey mula menderam marah.
"Baby, kalau you tak puji rambut I dalam masa lima saat, nanti I jerit kuat-kuat. Biar semua orang dengar."
Aubrey berdiri bercekak pinggang. Bibirnya dimuncungkan.
Rafael membuka sebelah mata dengan malas, merenung tunangnya yang berumur 22 tahun itu. Dasar budak-budak. Hatinya berbisik menyampah.
"One... two... three... Don't let me get to four..."
Aubrey memberi amaran.
"Oh baby, cantiknya you hari ini. OMG, cantik gila sayang..."
Rafael mengalah.
"Betul ke cantik, baby?! Seriuslah? Tengok ni ha rambut I gulung-gulung tau hari ni. Cantik kan? Cantik kan?" rengek Aubrey dengan suara mengada-ada.
"Ya, betul. Cantik... berdarah hidung I tengok you."
"Tengok ni, ni kasut favourite I. Cantik tak? My favourite colour tau!"
Gadis itu memekik sambil menayangkan kasut tumit tingginya yang berwarna oren terang.
"Ya, cantik. Macam warna kon di tepi jalan tu. Boleh silau mata semua orang."
"Orange is my favourite color. Kalau boleh, hari-hari nak pakai warna oren. Ceria dan comel! Sayang nanti pakai la baju warna oren datang pejabat. Baru comel. Barulah macam bakal suami Riri."
"Okey, nanti I pergi beli buah limau banyak-banyak, lepas tu kulit dia buat baju ya."
"Baby bucuk ni kelakar la. Dahlah sweet, kelakar pulak. Sebab tu I sayang you sangat."
Aubrey menepuk-nepuk tangannya sambil ketawa mengilai.
Rafael menggerenyet menahan bingit dek suara nyaring gadis itu.
"I tak sabar tau tunggu wedding day kita. Kalau dah kahwin nanti, hari-harilah you puji I macam ni. Sweet-sweet, manja-manja..."
Rafael membeliakkan matanya. Mesti azab hidupnya nanti apabila mengahwini gadis gedik ini. 10 minit pun dia tidak boleh tahan, apatah lagi buat selamanya.
Kenapalah keluarganya bersetuju untuk mengahwinkannya dengan gadis seperti ini? Selalunya pilihan keluarga ni bagus-bagus, tetapi dia pula bakal terjerat dalam ikatan yang sah dengan 'langsuir'.
Tidak semena-mena dia melepaskan dengusan perlahan sebelum menyembamkan wajah ke meja.
"Baby, I tahu you happy, tapi janganlah menangis. I pun macam nak nangis bila tahu tarikh perkahwinan kita makin dekat."
Dengusan Rafael semakin kuat apabila mendengar kata-kata tunangnya yang terlalu bengap untuk membezakan antara stres dan teruja.
"Amboi, tak sabar betulnampak nak kahwin dengan I. Baby ni kan, geram I. Gigit baru tahu..."
ANDA SEDANG MEMBACA
DIANA AMAYA
RomanceTajuk: DIANA AMAYA Penulis: NURUL ATIQH GHUZIR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-96-7 Tidak tahan diejek dan dibuli, hitam dendam mengaburi hati yang dahulunya putih suci. Dengan bantuan Amir, kawan baiknya, Diana berjaya menjejaki Rafael, Zikr...
