BAB 6

179 6 0
                                        

DIANA yang terbaring lemah sedang merenung siling dengan mata berair. Dia sedikit pun tidak memberi respons ketika Amir masuk ke wad.

"Nyah... aku ni, Amir."

Diana masih tidak memberi respons.

"Diana, sampai hati kau buat begini. Kenapa kau buat semua ni? Kau tak sayang diri sendiri ke?" tanya Amir, kecewa.

Sunyi. Hanya bunyi mesin ECG yang mengawasi detak jantung gadis itu kedengaran.

"Kau tak sayang aku ke? Kau sahaja satu-satunya kawan aku. Kalau apa-apa jadi pada kau, siapa nak kawan dengan aku, nyah?"

Serentak dengan itu, Diana pejam mata dan menangis.

Esakan gadis itu meruntun hati Amir. Diusap perlahan rambut hitam Diana.

"Nyah, janji dengan aku jangan buat begini lagi. Please Diana. Membunuh diri ni dosa besar, nyah. Jangan buat kerja Tuhan."

"Aku dah tak tahan, Mir. Aku minta maaf. Aku dah tak sanggup," jawab Diana.

Matanya yang bengkak merenung kembali mata Amir.

Amir tunduk. Dia tahu yang Diana tidak tahan lagi. Tetapi, ini bukan caranya untuk menyelesaikan masalah.

"Diana, kita orang Islam. Berdosa besar buat macam ni. Kenapa jalan ni yang kau pilih?"

"Jalan apa lagi yang ada Mir?" soal Diana, menggetap bibir.

"Diana, kau boleh bercerita, tetapi sebaliknya kau pendam sendiri."

"Dengan siapa aku nak bercerita Mir? Aku takut, aku malu! Kau takkan faham..."

"Mungkin aku tak rasa apa yang kau lalui, tapi aku sentiasa sudi mendengar. Tapi kau tak pernah nak luah pada aku. Seolah-olah kau macam tak percayakan aku."

Giliran Amir pula meluahkan rasa hati.

Diana menggeleng perlahan. Matanya semakin basah.

"Kalau aku mengadu, kau akan bosan dengan aku. Nanti kau tak nak kawan dengan aku. Aku tak nak kehilangan kau, Mir. Kau saja kawan aku dari dulu."

"Siapa cakap yang kau akan kehilangan aku? Dan kenapa pula aku akan bosan dengan kau?" soal Amir tidak mengerti.

"Mir, orang macam aku ni baik pendam sendiri saja masalah. Kalau mengadu, nanti dituduh kuat mengeluh. Orang akan cakap aku ni negatif dan lembik. Kalau nak jumpa pakar pula dikata gila."

Amir menelan liur, sebak. Tidak dia sangka Diana banyak memendam rasa. Pasti gadis itu rasa tersepit.

"Diana, dengar sini. Mengadu masalah bukan bermakna kau lembik dan negatif. Itu menunjukkan yang kau cuba menyelesaikan masalah. Yang paling penting, berjumpa pakar psikiatri bukan bermakna kau gila."

Gadis itu menggeleng lemah.

"Aku tak tahu nak buat apa. Aku tak mampu fikir atau bernafas. Segala-gala di sekeliling menyakitkan aku. Aku dah tak nampak jalan keluar Amir," jawabnya sambil teresak.

"Diana, dengar sini. Kau selalu fikir kau berseorangan. Tapi tak, kau tak keseorangan. Aku, mama dan papa kau sentiasa sudi mendengar. Kami takkan pernah bosan. Kau penting bagi kami, Diana. Tolonglah ada rasa percaya pada kami."

Diana mengelap mata dan menekup muka.

"Takkan ada pelangi kalau tak ada hujan. Kau tak ingin ke tahu apa yang menanti kau di masa depan?"

Amir menduga sambil tersenyum pahit.

Diana mengesat hingus.

"Aku sedih, Mir. Aku sedih. Aku tak tahan dibuli lagi."

"Diana, aku tahu kau sedih. Aku akan ada di sisi kau untuk membantu. Hidup kita cuma sekali, Diana. Jangan biarkan orang yang pijak kau menang. Ini hidup kau, bukan diorang."

"Mir, aku ada sesuatu yang nak diberitahu."

Diana separuh berbisik sambil menggenggam tangan lembut Amir.

"Apa dia, nyah?"

"Aku tak pernah beritahu kau pasal ini. Aku... dapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke University of Manchester."

Amir mengerutkan dahinya mendengar berita itu. Malisha duduk di birai katil anaknya.

"Tapi aku tolak. Aku sayang universiti kita tu, dan aku tak nak tinggalkan kau. Tapi..."

Amir menunduk. Dia sudah dapat mengagak apa yang mahu disampaikan oleh gadis itu.

"Tapi lepas apa yang berlaku, kau rasa kau nak berhenti dari universiti kita dan terima tawaran tu?" tanya Amir.

Diana pejam mata, menahan sedih.

"Maafkan aku, Amir. Aku terpaksa. Aku tak boleh lagi nak kembali ke Sterling. Rasa seperti neraka, Mir. Aku nak lupakan segalanya dan mulakan hidup baru."

Amir mengangguk-angguk faham. Berat baginya untuk menerima berita itu. Walaupun dia tahu dirinya akan kesunyian, dia harus menerima keputusan Diana.

Dia mahu gadis itu kembali ceria. 

DIANA AMAYACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang