Prolog

3.4K 78 2
                                    

Mencuba untuk senyum, hanya itu yang Zehra mampu. Selebihnya, dia hanya bermonolog dengan hati sendiri.

Memujuk agar bertenang dengan musibah yang datang. Mungkin saja ianya dianggap malapetaka tetapi mungkin juga ada kebaikan di sebaliknya.

"Saya tak pernah lagi tengok wanita setenang awak menghadapi situasi begini. Suami ditangkap khalwat dengan perempuan lain tapi awak masih boleh senyum." Bicara lelaki yang dipanggil Ustaz Kamil di depannya buatkan bibir Zehra makin melebar senyum.

"Mungkin saja dah tertulis, dia bukan hanya milik saya seorang. Jadinya, saya harus reda, ustaz."

Ya, dia ke situ apabila diberitahu suaminya ditangkap khalwat, berduaan di sebuah rumah  dengan perempuan lain.

Berdosakah jika dia tersenyum?

Wajahnya menunduk. Bermuhasabah diri.

Dia yang silap percaturan. Mahu menduga lautan dalam, tapi kailnya hanya panjang sejengkal.

Nafas dilepas panjang sebelum dia bangkit dan meminta diri dari Ustaz Kamil.

Kemudian, langkah diatur untuk pulang.

Kaki baru menjejak keluar dari ruang yang menyesakkan itu, tiba-tiba langkahnya dihadang.

Dari memandang kaki, pandangannya Zehra naik ke atas. Menentang mata si dia yang sedang berdiri tegak di depannya. Si dia yang bergelar suaminya lebih enam bulan yang lepas.

"We need to talk."

Kepala Zehra tergeleng perlahan. Saat yang sama lengannya dipegang oleh sang suami.

"There's nothing to talk about. You've made your choice." Pegangan di lengannya Zehra leraikan.

Katakan kalau dia marah sekali pun, kemarahannya tak akan mampu mengubah apa-apa.

Katakan kalau dia menangis sekali pun, tangisannya tak memberi kesan apa-apa pada sesiapa pun.

Dia adalah dia. Yang sudah dipilih untuk merempuh dugaan yang maha berat. Takdir hidupnya memang sudah tersurat tentang luka dan kekecewaan. Bukan tentang bahagian dan keindahan.

YANG KAU DUSTAKANWhere stories live. Discover now