39.0 : Situasi Panik di Bumi

29 3 0
                                    

BEBERAPA keping gambar dan juga video-video amatur telah tular di media sosial. Ini berkenaan berita satu makhluk tanpa nama yang datangnya daripada angkasa lepas telah terlepas ke permukaan bumi. Beberapa petikan berita atas talian juga menyebut tentang kehilangan penduduk kampung secara misteri di Wilayah Kinshasa, Democratic Republic of Congo. Laporan itu memetik berita tempatan yang menyatakan bahawa seramai 155 orang penduduk kampung tersebut hilang secara misteri, tanpa meninggalkan apa-apa kesan darah mahupun organ. Penduduk kampung di Wilayah Kinshasa ini merupakan komuniti pelombong mineral intan dan juga mineral timah yang membekalkan bahan-bahan berasaskan logam terbabit kepada Syarikat Apple pada kos yang lebih murah. Kawasan ini juga terkenal sebagai kawasan 'konflik mineral yang tidak berkesudahan'.

Namun, lokasi kawasan jatuhnya stesen ISS masih belum dapat di akses oleh pihak berkuasa tempatan oleh kerana kawasan geografi kampung berkenaan yang terletak amat jauh daripada kawasan bandar terdekat. Tiada akses jalan raya mahupun keretapi yang baik untuk ke kawasan berkenaan. Hanya laluan matau dan juga laluan pembalak haram yang boleh digunakan. Kawasan tersebut terletak di tengah hutan belantara dan juga keadaan berbukit bukau yang menyukarkan lagi misi menyelamatkan lebih ramai penduduk sekitar kawasan tersebut. Oleh kerana faktor tersebut jugalah, pihak NASA dan juga ROSCOSMOS tidak dapat untuk melakukan siasatan terperinci berkenaan punca terhempasnya stesen ISS di bumi.

***

Setiap kru ISS akhirnya berjaya menghubungi stesen angkasa milik negara masing-masing kecuali Nora Yuhanis. Setelah banyak kali mencuba, namun, stesen angkasa GEMILANG-01 masih belum dapat dihubungi. Dia adalah orang terakhir yang berjaya menghubungi stesen GEMILANG-01 oleh kerana kedudukan stesen angkasa terbabit terletak jauh daripada stesen angkasa YOUSHÉNG, yang berjarak lebih 1,223.3 kilometer.

***

"Assalamualaikum Nora," Kapten Daeng Mustakim memulakan komunikasi dengan Nora Yuhanis melalui radar Roosevelt yang terpasang di stesen GEMILANG-01 tersebut.

"Wa'alaikum salam. Daeng?" Nora Yuhanis kelihatan seperti semangatnya kembali apabila mendengar suara daripada rakan senegaranya itu.

"Yup. Daeng disini. Nora sihat?" Kapten Daeng Mustakim bertanyakan berkenaan keadaan kesihatan Nora Yuhanis, seperti pasangan kekasih lagaknya.

"Alhamdulillah. Semua kru kat sana sihat?" Nora Yuhanis pula bertanyakan tentang kesihatan kru-kru yakni rakan-rakan seperjuangannya di stesen angkasa GEMILANG-01 tersebut.

"Alhamdulillah, kami semua di sini sihat. Cuma, kami masih hendak sesuaikan diri dengan keadaan kat angkasa ni. Nora okay tak ni? Semua orang kat tanah air risau pasal keadaan Nora, especially ibu Nora, Aunty Anne. Dia tak putus-putus memohon doa agar Nora selamat dan sihat." Daeng Mustakim menyatakan hasrat kerisauan lebih 50 juta rakyat Malaysia terutamanya ibu Nora, Aunty Anne.

"Ibu Nora?" tiba-tiba Nora Yuhanis merasakan sebak dan homesick terhadap ibunya.

"Iya. Tapi kami dah maklumkan kepada Aunty Anne yang Nora selamat. Seluruh negara berdoa dan mengadakan solat hajat memohon agar Nora Yuhanis diberikan kesihatan dan keselamatan yang berpanjangan. Alhamdulillah, Nora selamat."

Air mata Nora Yuhanis perlahan-lahan mula berlinangan, mengalir membasahi pipinya. Dia merasa sebak dan sayu apabila memikirkan tentang insan-insan yang berada di tanah air khususnya ibunya, rakan-rakannya dan semua yang ada. Dia tidak sanggup untuk menceritakan apa yang telah terjadi di hadapan matanya tempoh hari. Dia tidak sanggup untuk memberitahu tentang apakah yang bakal terjadi nanti. Dia dapat merasakan sesuatu yang tidak baik dan buruk bakal terjadi, sesuatu yang hampir sama dengan kejadian ketika pandemik Covid-19 merebak pada tahun 2020-2022 dahulu.

Awanama KosmosWhere stories live. Discover now