Bab 9

836 28 1
                                    

BOY hanya memerhatikan Safina membuat pemeriksaan pada beberapa stok yang baru tiba. Entah mengapa hari ini tiada senyuman di wajah Safina. Belum pernah Boy melihat wajah Safina seserius itu.

"Fie, kau okey ke?" soal Boy akibat tidak mahu terus berteka-teki. Safina jungkit kening. Tidak mengerti apabila diajukan soalan seperti itu.

"Muka serius je. Ada yang tak kena ke?" Boy tidak mahu mengalah. Masih terus menyoal. Safina tersengih.

"Tak ada apalah. Ni ha, kaki aku ni sakit berdenyut pula. Tu yang muka ketat je." Safina menjelaskan hal yang sebenar.

"Dah tahu sakit, kenapa tak rehat je? Kau ni pandai nasihat kitorang tapi kau pun sama degil." Safina ketawa mendengar bebelan Boy.

"Memanglah aku kena jaga korang. Mana boleh biar korang datang kerja kalau sakit. Tu macam aniaya korang pula." Boy ketaw mendengar alasan Safina. 

Ya... dia akui Safina sangat menjaga kebajikan pekerjanya. Itu salah satu sebab kenapa dia bertahan bekerja di situ. Walau gajinya tak besar mana, dia tetap bersyukur. Bahkan ketika ingin menyambut hari ulang tahun kelahiran ibunya baru-baru ini, Safina sempat menyelit beberapa kepit not seratus di dalam poketnya.

Haish... Mana nak dapat bos baik macam ni? Dahlah tak berkira. Jaga kebajikan pekerja. Siap dapat duit extra lagi. 

"Boy, aku nak keluar sekejap. Ada hal sikit. Nanti kau tolong settle kan yang lain ye." Safina memandang Boy yang tersengih macam kerang busuk.

"Baik bos." Bahu Boy ditumbuk. Tak suka betul dia apabila dipanggil dengan gelaran itu.

"Tetap juga kau bos. Tak payah nak geli sangat. Hahaha..." Sempat lagi Boy menyakat. 

"Aku gerak dulu. Apa-apa call terus. Kalau aku tak jawab, tunggu aku call balik." Safina segera masuk ke dalam pejabat lalu mencapai kunci kereta.

Perjalanan yang memakan masa lebih kurang setengah jam untuk dia tiba di lokasi yang ingin dituju. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sudah sedia menanti kedatangannya. Dia tersenyum manis melihat mereka. Bungkusan makanan yang diletakkan di tempat duduk belakang segera di keluarkan ketika kanak-kanak itu menghampirinya.

"Semua sihat ke hari ni?" soal Safina kepada mereka yang menyambut riang kedatangannya.

"Kami semua sihat. Ingatkan Kak Fie tak datang hari ni." Safina memandang seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan sebelas tahun. Dia yang paling tua di situ dan memang kebiasaannya dia yang banyak menjawab bagi pihak yang lain.

"Sorry tau akak lambat sikit hari ni. Nah ambil ni. Hari ni akak belanja Nasi Ayam. Korang makan kenyang-kenyang okey." Safina segera mengagihkan kepada mereka. Empat orang kanak-kanak berusia antara enam ke sebelas tahun.

Antara anak gelandangan yang sering mendapat perhatiannya. Mereka sangat baik. Bahkan tidak pernah meminta-minta. Saat kali pertama Safina bertemu mereka, hatinya terus jatuh sayang melihat kesungguhan Si Abang mengutip bahan-bahan terbuang yang boleh dijual semula untuk kitar semula. Semua dilakukan demi mengisi perut adik-adiknya yang masih kecil.

Betapa besar pengorbanan anak itu memikul tanggungjawab demi memastikan adik-adiknya tidak kelaparan.

"Abang jaga adik-adik baik-baik tau. Jangan bagi orang sentuh adik-adik." Safina gusar. Tempat begini tidak sesuai untuk mereka. Namun apalah haknya untuk menentukan nasib mereka. Apatah lagi mereka masih mempunyai orang tua yang lebih berhak ke atas mereka.

"Semalam ibu kena pukul lagi dengan ayah." Jojo membuka bicara sebaik saja mereka duduk bersila di koridor itu. Mujur bukan tempat lalu lalang orang ramai. Jadi mereka boleh makan dengan aman di situ. Safina menyuakan air sebagai kemudahan untuk mereka mencuci tangan.

"Haip, adik basuh tangan dulu. Nanti sakit perut." Safina menegur lembut apabila melihat Si Bongsu ingin menjamah nasi di depannya. Tersengih anak kecil itu lantas menghulurkan tangan kepada Safina. Safina segera mencurahkan air dan menggosok lembut agar hilang kekotoran yang melekat di tangan Si Bongsu.

"Abang baca doa dulu, lepas tu baru boleh makan." Safina mengusap lembut kepala mereka. Si Abang tanpa menunggu lama segera membacakan doa. Kasihan melihat adik-adiknya yang kelaparan. Safina mengambil air kotak oren lalu dicucukkan straw sebelum diagihkan kepada mereka.

Safina kembali mengalihkan pandangannya pada Jojo. Begitu berselera sekali mereka makan. Terbit senyuman nipis di bibir Safina.

"Ayah pernah pukul abang dengan adik-adik tak?" Suapan Jojo terhenti. Lama dia memandang Safina sebelum mengangguk lemah.

"Semalam Chacha pun kena pukul sekali." Safina mengalihkan pandangan pada Si Bongsu. Di tahan hatinya dari membelek tubuh kecil itu.

'Sabar Fie. Bagi dia makan dulu. Nanti baru kau belek.' Safina memujuk hatinya sendiri. 

Nana, Si kakak berusia sembilan tahun dan yang ketiga pula Jaja berusia tujuh tahun. Safina ralit memerhatikan mereka makan apabila tiba-tiba ada seseorang datang menepuk kepalanya.

"Kau siapa, huh?" Herdik lelaki itu. Dia memandang Safina yang sedang duduk mengadap anak-anaknya makan. Nasi Chacha diraihnya kasar. Terkebil-kebil mata anak kecil itu apabila nasinya dirampas.

"Kau tak payah makan. Hidup pun menyusahkan." Sakit telinga Safina saat mendengarnya. Dirampas semula nasi yang berada di tangan lelaki tu.

"Kau nak makan, pergi cari sendiri. Tu nasi anak-anak kau." Dihulur semula nasi itu kepada Chacha.

Mencerlung matanya memandang Safina. Dia pantas mencekak kolar baju Safina dan mendorong Safina untuk bangun. Safina hanya menurut. Dia memandang Jojo yang cuba menenangkan adik-adiknya dari menangis.

"Kau tak ada hak nak masuk campur urusan keluarga aku. Itu anak-anak aku. Kalau aku tak makan, dorang pun tak ada hak nak makan!" Jeritnya di depan muka Safina. Safina sungging senyum sinis. Tangan lelaki itu ditepisnya.

"Jangan jadi jantan dayus. Jadi bapak tu tolong berguna sikit. Kau jangan tahu buat anak je tapi tanggungjawab kau ke laut!" Safina pula menjerkah. Sakit betul hatinya dengan perangai lelaki macam tu.

Pang!

Berpinar kepala Safina apabila dilempang. Berdengung telinganya. Makin membuak kemarahan Safina ketika itu.

"Abang, bawa adik-adik balik." Safina memberi arahan. Akur dengan kata-kata Safina, Jojo segera menutup bekas makanan mereka lalu bergegas meninggalkan kawasan itu. Hilang saja mereka dari pandangannya, Safina segera bertindak menumbuk perut lelaki itu. Tertunduk dia menahan senak di perut. Safina mengemaskan semula kolar bajunya.

"Kau kalau jadi lelaki jangan tahu buat anak je. Bini cari duit, kau perhabis duit bini. Sampai bila kau nak hidup macam ni? Nak biar anak-anak kau pun sama nasib macam kau ke?" Mencerlung Safina memandang lelaki itu.

"Aku bukan tak nak kerja. Tapi sebab aku ni bekas banduan, tak ada siapa pun nak ambil aku kerja." Dia tertunduk pilu. Safina meraup wajahnya.

"Aku boleh bagi kau kerja, dengan syarat kau memang betul-betul nak berubah. Kalau tak, aku sendiri sumbat kau balik dalam penjara. Kau jangan cari pasal dengan aku." Tegas sekali kata-kata Safina. Lelaki itu memandang Safina tidak berkelip. Seakan tidak percaya Safina ingin memberinya pekerjaan.

"Aku sanggup buat apa je. Cuci longkang pun aku sanggup. Asalkan aku ada kerja." Safina mengeluarkan kadnya lalu dihulur kepada lelaki itu.

"Datang dekat tempat ni esok pukul sepuluh pagi kalau betul kau nak kerja. Tapi ingat, aku dapat tahu kau pukul anak bini kau lagi, memang sampai bila-bila kau takkan jumpa diorang." Safina terus masuk ke dalam perut kereta dan memecut pergi.

Safina benar-benar berharap lelaki itu akan berubah. Semoga dia tidak silap membuat keputusan dengan menawarkan pekerjaan kepada lelaki itu. Peluang harus diberikan tak kira apa pun kesilapan yang telah dia lalukan dulu.

Abang SuperbikeWhere stories live. Discover now