Hadi menumbuk dinding. Bergegar rumah ibu rumah papan tersebut. Tapi tiada siapa yang terkejut kerana kejutan terbesar ialah keputusan Bakri tadi...
"Kalau runtuh rumah ni sekalipun, ayah takkan tarik balik keputusan ayah, Hadi. Kau dah dewasa, fikirlah baik - baik. Apa yang ayah buat, untuk kebaikan."
Bakri tinggalkan anak bujangnya yang sedang merintih patah hati bersama si ibu yang menunduk, ikut merasakan sedih hati si anak. Sebaik kelibat Bakri hilang dalam gelap malam, entah kemana dia pergi menenangkan hatinya, Amnah cepat - cepat mendekati Hadi. Dipeluk bahu anaknya itu, berharap pelukan itu bisa mendamaikannya.
"Kalau iya pun ayah tak sukakan Kamariah, kenapa mesti buat macam ni, ibu? Kenapa?"
Kelu lidah Amnah mahu memberi jawapan. Dia bersuamikan seorang lelaki yang keras hati dan keras kepala. Sukar diajak berbincang kalau perkara itu tidak digemarinya. Belum berbincang, sudah ditolak mentah - mentah. Memang payah!
"Hadi, ibu tak ada apa - apa jawapan yang boleh menyenangkan hati kamu. Kalau ada, maksudnya ibu mungkin menipu. Yang boleh ibu katakan cuma... Kau redhalah nak."
Hadi menutup muka dengan dua tapak tangan tapi kepalanya terdongak. Dari celah - celahan tangannya, ada air jernih merembes. Kini Hadi sudah terduduk, tersandar didinding. Lututnya tidak mampu berdiri dek lemah semangatnya bila dia diberitahu, pinangan yang sepatutnya dihantar ke rumah Kamariah, melencong ke rumah Mastura, anak pak imam, sahabat ayahnya. Patutlah si ayah beriya - iya mahu mengatur sendiri peminangan tersebut dan memintanya melarang pihak Kamariah membuat sebarang persiapan. Kononnya, biar pihak lelaki saja keluarkan belanja dan pihak perempuan tidak perlu balas apa - apa. Rupa - rupanya...
"Ayah tipu Hadi. Ayah khianat kepercayaan Hadi. Ibu..." Hadi memeluk ibunya sambil teresak - esak seperti anak kecil kehilangan permainannya.
****
Mahmud bungkam. Hilang kata - kata meski sepatah makian mahupun sebaris pujukan. Habsah pula tersedu - sedu disisi. Kamariah? Kasihan anak gadisnya itu. Sepanjang siang tadi, dia menangis. Malam ini pula, membisu dalam biliknya tanpa makan dan minum.
Mahmud mengeluh, berat sekali. Bukan salah anak - anak tapi mereka yang menanggungnya. Dia tidak sangka, selama ini, Bakri masih tegar memegang dendamnya.Petang, sehari sebelum peminangan yang dijanjikan...
Bakri mencarinya dirumah tapi dia tiada. Apabila Habsah memberitahu dia di kedai kopinya, Bakri telah ke sana.
"Bakri?"
Mahmud terperanjat. Selama ini, walaupun cuma terpisah dek sempadan kampung, mereka memang tidak saling bersapa dan tidak mesra andai terserempak dimana - mana. Tiba - tiba lelaki itu muncul, apa yang tidak kena? Adakah kerana...
"Aku tak akan pinangkan anak engkau untuk anak aku." Tanpa basa - basi, malah salam pun tidak diberi, Bakri terus ke pokoknya.
Mahmud berlembut. Dia bukan muda lagi seperti dulu, mahu menyinsing lengan mengajak lawan. "Sabar, Bakri. Sabar. Bagi aku faham tujuan kau kemari."
Bakri memicing mata. "Kau bagitahu anak engkau, tak payah tunggu pinangan dari Hadi. Sebab aku tak izinkan!" Terus Bakri berpaling dan meninggalkan Mahmud yang sedang menahan sabar.
Beberapa pelanggan terpinga - pinga melihat Bakri tiba - tiba datang marah - marah dan tiba - tiba pergi sambil marah - marah pula. Mereka sempat melihat Mahmud yang merah muka, pura - pura membancuh air dibalik kaunter minuman.
Dia hanya mampu memberitahu perkara itu siang tadi, siang yang sepatutnya anaknya itu menjadi tunangan orang. Tuhan saja yang tahu betapa sukarnya dia mahu berterus - terang bahawa rombongan yang Kamariah tunggu itu, tidak akan datang. Kamariah bersiap dan bersolek cantik, yakin bahagianya bakal tiba tapi wajah cantik itu berubah keruh bila Mahmud akhirnya membuka mulut. Awalnya Kamariah tidak percaya tetapi setelah Habsah mengesahkan kedatangan Bakri mencari ayahnya, luruh jiwa gadis itu.
****
"Cikgu Kamariah, ada orang cari." Laung pembantunya. Bergegas Kamariah keluar dari kelas. Pembantunya pula masuk mengambil - alih sementara.
"Hadi..."
Dua merpati yang kini tidak lagi terbang beriringan itu, saling bertatapan. Ada rindu yang terpanggang dalam hati masing - masing tapi harus dipadamkan apinya.
"Tak sekolah?"
Hadi angguk.
"Keluar sekejap ajelah ni?"
Angguk lagi.
"Kamariah..."
Kamariah cuma menjawab dengan pandangan mata.
"Di sayang Mar. Bukan kehendak Di apa yang jadi ni. Maafkan keluarga Di."
Kamariah mula menitiskan airmata. Tiada benci dalam hatinya terhadap Hadi. Hadi pun mangsa, macam dia juga. Semua gara - gara ayah Hadi ada calon lain untuk anaknya.
"Mar faham, Di. Mar tetap sayang Di."
Hadi menyeka airmata jantan yang terbit dimatanya.
"Di balik dulu. Jumpa lagi."
"Insyaallah."
Melihat langkah Hadi yang longlai dan airmatanya yang sempat tumpah tadi, Kamariah yakin, Hadi memang tulus terhadapnya. Tapi mereka cuma anak - anak yang perlu patuh kepada orang tua.
YOU ARE READING
Menanti Gerhana Berlalu
RomanceKata orang, penantian itu satu penyiksaan... Dan dia telah menanti dan mencintai, terlalu lama.