Pergi...

13 1 2
                                    

Sudah beberapa hari Bakri dimasukkan ke ICU namun belum ada banyak perubahan. Masih lagi memerlukan tiub oksigen dan masih lagi belum sedar. Dari tingkap kaca, Hadi dan Amnah memandang sayu sekujur tubuh tua insan yang dulu garang, gagah dan sasa tapi kini semakin susut menampakkan tulang - temulang. Kembang - kuncup dadanya pun adakala tidak kelihatan menandakan pernafasannya lemah. Hati Amnah dipagut hiba. Walaupun Bakri selalu acuh tidak acuh melayannya, lelaki itu tetap suaminya... Yang dia sayang, yang dia cinta. Kata doktor, suaminya lemah kerana faktor usia dan kerana penyakitnya lambat dirawat. Kesan daripada batuk yang berpanjangan itu, menyebabkan paru - paru Bakri mengalami jangkitan.

"Ibu, jom duduk dihujung tu." Ajak Hadi. Wajah sugul ibunya dipandang.

Khayalan Amnah terburai disapa Hadi. Dia tidak menjawab cuma kepalanya ditolehkan ke arah jari Hadi menunjuk lalu perlahan kakinya melangkah ke situ. Mereka melabuhkan punggung di kerusi panjang di hujung wad, tidak jauh dari bilik Bakri. Sebaik saja duduk, Amnah melepaskan tangisannya. Puas menangis, dia mengesat airmata sambil tersedu - sedu. Hadi usap belakang ibunya. Sejenak, kebisuan membelenggu dua beranak itu.

"Ibu nak minum?" Hadi membuka topik.

Geleng.

"Lapar tak?"

Angguk.

"Nak makan?"

Geleng.

Hadi mati kata. Sudahnya dua beranak itu diam saja.

****

Mastura sibuk melayan anak - anaknya. Sejak beranak tiga, dia sudah memutuskan mahu menjadi surirumah sepenuh masa dan berjinak - jinak berniaga. Selain boleh pegang duit sendiri, hatinya selalu berbunga riang melihat anak - anak membesar dan keletah.

"Kenapa ni?" Tanya Mastura bila dua anak kecilnya bertarik - tarik barang, sebatang pensil warna.

"Acik ambil warna kakak!"

"Kakak tak bagi acik warna sama - sama!"

Mastura jeda mencari cara mahu meleraikan perebutan dua beradik yang saling tidak beralah itu.

"Hmm... Kalau tak ada yang mengalah, mari ibu patahkan saja pensil warna tu. Ambil seorang setengah batang." Mastura ambil pensil itu dari dua tangan yang saling bertarikan.

Dua anak kecil itu ternganga. Adik pandang kakak. Kakak pandang si emak. Muka si kakak tersebik - sebik.

"Ibu janganlah patahkan warna kakak." Ujar budak perempuan berambut ikal berikat satu itu dengan airmata berlinangan. Dia sayangkan set warna pemberian ayahnya itu. Si adik ikut menangis bila melihat kakaknya menangis.

"Sayang warna ni?"

Kakak dan acik, angguk.

"Tak nak ibu patahkan?"

Sekali lagi keduanya angguk.

"Kenapa acik angguk - angguk? Itu bukan warna aciklah!" Marah si kakak. Acik terkebil - kebil. Salahkah dia sayangkan warna kakaknya? Kekeliruan itu terpancar dimatanya yang bundar.

Mastura hampir tergelak. "Dah, dah. Sekarang, salam. Minta maaf, mewarna sama - sama. Kakak kena mengalah, acik kena hormat kakak."

Anak kecil yang comel dan hampir sebaya itu berpandangan sebelum terpandang renungan tajam si ibu. Lekas - lekas mereka bersalaman dan kembali mewarna seperti tadinya.

Mastura senyum melihat mereka seraya mencium ubun - ubun keduanya dan bergegas menyambung kerja rumah. Baru sekejap menyapu bilik, telefon pula berbunyi.

****

Amnah mengalirkan airmata tanpa esakan. Dia tidak tahu mahu bagaimana apabila sewaktu sedang duduk berehat tadi, dilihatnya beberapa kakitangan keluar masuk bilik Bakri. Masing - masing seperti dihambat sesuatu. Berjalan laju - laju, berteriak memanggil dan menyebut sesuatu yang Amnah tidak faham apa butir perkaranya, sehingga akhirnya seorang doktor datang kepadanya memaklumkan, Bakri sudah tiada. Hadi yang kemudiannya sampai, hanya mampu tertegun melihat ibunya duduk tegak mengalirkan airmata tanpa suara. Tangisan itu, seperti mampu difahaminya, kenapa.

"Di..." Sepatah Amnah bersuara, lantas dua beranak itu berpelukan. Saling menenangkan satu sama lain.

Hadi tiba - tiba sedih memikirkan pemergian ayahnya. Ya, hubungan mereka tidak seakrab mana sejak dia mencintai Kamariah tapi sebelum itu, mereka anak dengan bapa yang rapat dan sekepala. Sehinggalah dia beranak - pinak, anak - anak dan isterinya pula menjadi kesayangan ayahnya. Sudah pastilah sedikit sebanyak, kematian ayahnya memberi kesan.

"Bagitahu semua, Di, ayah dah tak ada." Kata Amnah dalam suara serak. Hadi angguk. Orang pertama dihubunginya, Mastura.

****

"Sabar ya, ibu. Sabar."

Amnah terpuruk dalam pelukan Mastura. Wajahnya sugul dan suram walaupun tidak kelihatan lagi airmatanya menitis. Saudara - mara dan para sahabat serta rakan - taulan yang berziarah, mendekatinya untuk mengucapkan takziah dan kata - kata semangat.

"Bolehlah kita selesaikan sekejap lagi. Kita asar dulu." Kata imam.

Jemaah akur saja seraya mengambil tempat masing - masing di belakang imam. Hadi di saf depan, bersama saudara dan iparnya.

****

Sudah tiga hari Amnah bergelar balu. Wajahnya masih sugul tapi selera makannya sudah pulih. Mastura dan seorang lagi menantunya, Lela, menemaninya sejak hari pertama sementelah dua orang itulah menantu yang tidak bekerja. Sedikit terubat kesedihannya bila melihat cucu - cucu yang nakal dan lincah, bermain sesama sendiri. Ada lapan orang semuanya. Lima anak Hadi dan tiga anak angah.

"Janganlah bising sangat. Nenek nak rehat." Tegur Lela kepada budak berlapan itu.

"Takpelah Lela... Esok - esok rumah ni, sunyi balik. Biarlah dia orang bising hari ni."

Lela terkelu. Dipandangnya Mastura yang sedang melipat kain. Mastura angkat bahu.

****

Hadi tidak senang berbaring tapi tidak betah berdiri. Dia mahu bercekang mata tapi sudah berkali - kali menguap. Kenapalah malam ini bagaikan terlalu panjang masanya? Disebelahnya, Mastura sudah lena. Letih dia seharian menghadap kerenah anak - anak dan urusan rumahtangga. Sesekali Hadi menoleh melihat isterinya. Sekejap - sekejap pula merenung siling. Ketara benar dia sedang memikirkan sesuatu yang memberati akal.

Sabarlah hati... Sekejap lagi, pagi. Pergi sekolah. Balik sekolah. Nah, sampailah masanya! Sabar. Tidur dulu.

Hadi menepuk - nepuk dadanya, memujuk diri sendiri. Beberapa ketika, dia menguap - nguap lagi dan akhirnya tertidur jua.

Menanti Gerhana BerlaluWhere stories live. Discover now