Bermekaran.

12 1 0
                                    

Hadi menghentak stereng kereta. Panas hatinya apabila dia tiba ditempat yang dijanjikan, Kamariah tiada. Dia bukannya lambat sangat. Baru lewat 10 minit saja, tidak mungkin Kamariah tidak betah menunggu. Cepat - cepat dibukanya mesej, mahu menanyakan kenapa Kamariah tidak menunggunya sebelum dia perasan, ada mesej dari Kamariah memberitahu dia terpaksa balik. Semakin panas hati Hadi. Apa juga yang penting sangat sampai tergesa - gesa balik sedangkan dia sendiri, tinggalkan emak dan anak isterinya kerana Kamariah yang beriya - iya mahu berjumpa! Hadi mula menggumam marahkan Kamariah. Stereng keretalah yang jadi tempat melampias emosinya, bertubi - tubi diketuk dan ditumbuk.

Puas meluahkan amarah didalam keretanya, dia lantas pulang. Kereta dipecut laju seolah - olah kelajuan itu mampu mencicirkan kemarahannya dimana - mana.

"Eh? Sekejap aje abang keluar? Jom, minum. Ada lagi ni cucur bilisnya...", pelawa Mastura sebaik sosok Hadi muncul.

"Hmm..." Hadi membalas, dingin.

Amnah perhati saja gerak - geri anaknya. Macam ada yang tidak kena. Dia menimbang - nimbang, perlukah bertanya? Keluar tadi, muka masam. Balik pun, masam juga. Heran aku! Getus hatinya.

Mastura menuangkan teh o panas ke cawan Hadi. "Budak - budak ni, ada neneknya, bukan main lagi, bang. Ikut - ikut minum teh. Ini, Mas dah bancuh kali kedua ni," kongsi Mastura tentang anak - anak mereka. Hadi tidak bersuara, matanya saja melirik ke arah anak - anaknya sambil mengunyah cucur bilis.

****

"Terima kasihlah, Im... Sudi datang kemari semata - mata nak bagi buah tangan. Ni, jumpa Mar ni, dekat mana?", riuh Habsah merai bakal menantu. Mahmud sekadar tersenyum - sengih saja.

"Masa lalu kat bandar tadi, tergerak nak berhenti beli buah tangan. Tengah cari parking, ternampak kereta Mar. Im telefonlah, tanya dia ada kat mana. Rupanya tengah mengurat Ali Karpet," sempat Fahim menggiat Kamariah.

Bulat mata Kamariah. "Mana ada? Ali Karpet? Entah siapa - siapalah yang disebutnya tu!", spontan Kamariah tergelak.

Mahmud dan Habsah, berpandangan. Jarang sekali Kamariah terlihat begitu girang. Rasa gembira menyelinap dalam hati dua orang tua itu.

Sambil menikmati juadah yang sekadar sempat dibuat, cucur bawang cicah sambal tumis, Fahim menjeling - jeling wajah ayu disebelahnya. Kamariah nampak manja dan caranya berbual dengan orang tua, membuat Fahim senang sekali.

"Makcik, pakcik... Mak dan babah nak datang meminang Mar tak lama lagi tapi... Tapi saya...", Fahim mengusap muka, airmukanya sedikit tegang. Habsah dan Mahmud berdebar menanti kata - kata seterusnya.

Fahim pandang pula mata kedua orang tua itu dan kemudian, Kamariah. Kamariah tunduk, dalam otaknya hanya memikirkan... Batal!

"Kalau tak jadi, tak apa, Im. Jodoh tak boleh dipaksa," kata Mahmud, mulai kecewa.

"Tapi pakcik..."

Sekali lagi, enam pasang mata tertumpu ke arah Fahim.

"Tapi... Saya tak nak bertunang, saya nak nikah terus. Boleh ke?"

Terlopong tiga beranak itu mendengarnya! Sejurus pecah tawa mereka, kecuali Kamariah yang terkidum - kidum menahan malu. Kuntuman kasih kian mekar!

****

Dua keluarga bertemu, sebenarnya sekadar basa - basi untuk memaniskan adat, sedangkan anak masing - masing sudah berkejar dengan urusan - urusan rasmi untuk mendirikan masjid.

"Lapang dada kita ni bila anak kita setuju," kata Hajar.

"Terima kasih sudi terima si Kamariah tu. Kak Hajar dah dengar kot cerita - cerita orang pasal dia tu." Habsah merendah diri.

Hajar berdehem. "Ya, lepas mereka kenal - kenal tu, ada akak dengar cerita tapi cerita orang, kan? Baik kita jangan terus telan. Rupanya, dia sendiri mengaku dengan si Im. Dekat situ, nampak dia jujur. Jadi akak pun serah pada Im. Dia pulak, tak ada masalah. Kata ayahnya memang awal - awal tengok gambar tu, Im dah berkenan dah." Hajar jawab dengan terus - terang.

"Dia tenung gambar tu macam nak tembus!" Khir pula mencelah. Terus besan berempat itu pecah ketawa.

"Setakat ni, alhamdulillah, urusan anak kita, dipermudahkanNYA. Tak ada yang tertunda," sela Mahmud pula.

"Samalah, anak kita pun." Khir menyambut kata - kata Mahmud. "Kalau semua berjalan lancar, bulan depan dah boleh langsung dah."

Mahmud dan Habsah berpandangan. "Tak cepat sangat? Tak sempat nak buat besar - besaran nanti."

"Eh, kami lupa pula kami pihak lelaki!" Khir tergelak, bahunya pula disenggol Hajar. "Maaflah, besan," kata Khir lagi setelah tawanya reda.

"Apa - apa pun kami tanya Mar dululah. Kalau si anak sendiri nak yang ringkas saja, kami turutkan." Balas Mahmud, Habsah mengangguk - angguk.

"Yang ringkas, lebih jimat, lebih mudah," ujar Hajar pula.

"Betul, betul, betul!", serentak Khir, Mahmud dan Habsah membalas. Berderai lagi tawa mereka berempat.

****

"Mar, nanti dah kahwin dengan Im, masih nak kerja ke?"

"Im nak Mar duduk rumah aje ke?"

"Kalau nak macam tu pun boleh. Im balik kerja, terus duduk lunjur kaki. Teh tarik dah siap segelas, tukang urut kaki pun dah ada... Uih! Bahagia! Lepas urut kaki, dimandikan, lulur badan... Lepas mandi, ada bidadari suapkan makan. Wah! Macam syurgalah!"

Kamariah berpaling, direnung wajah Fahim tajam. "Amboi!! Biar betul ni?"

Fahim ketawa, seronok melihat airmuka Kamariah yang masam, menahan geram! Ketawa Fahim bertukar pekikan 'adoi' bila cubitan Kamariah hinggap dilengannya. Pekikan itu mengundang pandangan orang sekeliling.

"Haa, kan orang dah pandang. Lain kali jangan cubit kat khalayak ramai," kata Fahim masih ketawa lagi.

"Im tu, kalau mengusik, bukan main gurau kasar. Geramlah Mar."

Fahim tersengih. Ada harapan ibu dapat kawan sama padan. Kuat merajuk!

"Mar dah sepuluh tahun mengajar di tadika. Dah sebati dengan budak - budak. Kalau ada rezeki, Mar nak ada tadika sendiri," tiba - tiba Kamariah bersuara, lembut saja nadanya. Cair hati Fahim!

Menanti Gerhana BerlaluWhere stories live. Discover now