Bermula...

86 4 1
                                    

Kamariah kelam - kabut. Ini hari pertamanya mengajar dan dia gemuruh sekali. Beg tangannya terlucut. Kasutnya tercabut. Selendangnya melorot. Semua serba tidak betul!

Setibanya dipejabat sekolah, dia melontarkan salam. Suaranya yang gemersik membuatkan semua yang ada dalam ruang pejabat, menoleh. Kamariah tersipu - sipu. Seorang kerani melambai dari sebalik kaunter. Kamariah masuk mendekat dengan senyum - simpul.

"Cikgu baru?" Tanya si kerani dengan wajah ramah.

"Err... Iya. Kamariah. Kamariah Mahmud."

Kerani berkebaya hijau muda keluar dari sebalik kaunter lalu menggamit Kamariah supaya membuntutinya.

Pintu kayu berwarna coklat gelap diketuk sebelum si kerani membukanya lalu menjengah ke dalam.

"Cikgu, Cik Kamariah dah sampai."

Tanpa dapat melihat orangnya, Kamariah dapat dengar suaranya, "Suruh dia masuk."

Kerani manis, genit berkebaya hijau muda mempersilakan cikgu muda itu masuk. Sebaik tubuh Kamariah sepenuhnya berada di dalam ruang bilik itu, si kerani pun menutup pintu dan berlalu. Kembali ke sebalik kaunter, tempat asalnya.

Di dalam bilik guru besar...

Kamariah melirik plet nama yang terletak di atas meja, 'Haji Hamadi bin Shuib'. Kemudian dilirik pula roman lelaki itu, yang sedang tunduk membaca dan menandatangani sesuatu. Lelaki itu sepertinya sekitar usia 50an. Tidak boroi, tidak terlalu gemuk juga tidak banyak sangat kedutan. Ubannya kelihatan seperti lalang di padang. Berselang - seli dicelah - celah rambut yang hitam. Boleh dikatakan, segaklah juga!

"Emm-hemm."

Suara tenggorok Haji Hamadi bergema diruangan terbatas itu. Mengejutkan Kamariah yang leka membuat penilaian sendiri terhadap bakal ketuanya. Barangkali memang tekak Haji Hamadi tidak selesa atau... Sebenarnya sengaja menghindar perhatian Kamariah yang sedikit nakal itu!

Kamariah memasang roman ceria diwajah sebaik Haji Hamadi mengangkat muka.

"Maaf, lama menunggu. Laporan ni, kena disiapkan segera sebab ada mesyuarat nak dibuat petang nanti."

Penjelasan spontan itu dibalas Kamariah dengan anggukan. Haji Hamadi menekan satu punat dan tidak lama kemudian seorang lelaki muda masuk.

"Saya dah periksa, dah sign. Mintak Asmara tolong double check, kalau tak ada apa - apa masalah, terus beri kepada Puan Falah. Dia nak guna petang ni."

Lelaki muda itu angguk dan keluar tanpa berkata apa. Dia pasti sudah tahu tugasnya.

Raut tegas itu kembali berpaling kepada Kamariah.

"Hari ni, suai kenal saja dengan guru - guru, kakitangan sekolah dan kenal - kenal kawasan sekolah. Kalau ikutkan, cikgu akan mengajar darjah 3. Subjek Matematik. Jadual mengajar, boleh mintak dengan Asmara nanti. Cikgu bakal mengajar, 3 bulan, kan?"

Kamariah angguk.

"Baiklah. Lepas ni, ikut saya jumpa dengan Cikgu Hadi. Dia pun mengajar darjah 3 juga, subjek Bahasa Malaysia. Cikgu Hadi tengah lapang sekarang, bolehlah dia bantu Cik Kamariah."

Kamariah angguk lagi. Habis, sijil - sijil yang aku bawak ni, tak tengok ke? Susah - payah buat fail cantik - cantik.

"Oh, ya! Mana sijil - sijil cikgu? Boleh tunjukkan?"

Berderau darah Kamariah! Laju - laju dia hulurkan failnya.

Haji Hamadi meneliti sekadar sebagai satu formaliti saja tetapi dalam diam, dia kagum juga dengan gadis muda itu. Lulusan akaun rupanya!

"Nak sambung ijazah ke lepas ni?"

"Insyaallah, kalau ada rezeki."

"Bagus." Puji Haji Hamadi sepatah. "Nanti, salinan - salinan sijil ni, semua bagi pada Asmara. Yang asal awak boleh ambil semula." Haji Hamadi tolak fail ke arah Kamariah.

Haji Hamadi bangkit. "Mari ikut saya."

Di bilik guru...

"Assalamualaikum!"

"Waalaikumussalam!" Hadi menoleh. Melihat sosok ketuanya maju ke arahnya, dia bangkit, menyambut. Salam bertaut.

"Cikgu Hadi. Cikgu Kamariah." Haji Hamadi memperkenalkan.

Hadi dan Kamariah berpandangan, berbalas senyum dan angguk kepala.

"Ini cikgu sementara kita, ganti Kartini. 3 bulan saja."

"Oh, guru ganti! Ya, ya... Kartini berkursus sekarang."

"Cikgu Hadi kenalkanlah Kamariah ni kepada rakan guru yang lain dan bantulah dia serba sedikit kelas yang bakal dia mengajar nanti."

"Insyaallah. Rasanya Kartini pun ada tinggalkan nota hari tu. Tak apa, nanti kita bincang, ya?" Hadi mengalih mata ke arah Kamariah pula. Kamariah angguk saja. Apa lagi perlu dia kata, angguk sajalah!

"Saya pergi dulu." Haji Hamadi minta diri.

Hadi pula mempersilakan Kamariah ke tempat duduknya. Mereka duduk saling membelakangkan satu sama lain.

"Selesakanlah diri awak dengan meja tu. Kartini tu memang banyak barang. Itu pun ada sebahagian dia dah bawa balik tu."

Senyum Hadi mempamerkan giginya yang cantik tersusun, siap berlesung pipit dipipi kiri. Terpesona sekejap Kamariah memandang.

"Tak apa, nanti saya kemas - kemas sikit. Lagipun hari ni saya tak mengajar."

Lembutnya suara dia. Sedap betul didengar... Puji Hadi dalam hati.

Dan hari itu, bermulalah perkenalan sepasang manusia yang tidak pernah menyangka bahawa antara mereka akan wujud rasa cinta... Yang tak kesampaian.

Menanti Gerhana BerlaluWhere stories live. Discover now