Mastura termenung. Jauh matanya memandang entah kemana, dibawa angan yang melekakan. Tapi anganan Mastura tidak semanis seindah anganan sang pengantin... Ada walang yang menjeruk rasa tapi tidak mampu dia luahkan kepada sesiapa. Kini dia meragui tindakan ayahnya dan dia keliru dengan kemahuannya tapi masihkah berupaya untuk berpatah kembali ke pangkal mula? Rasanya, tidak. 48 jam. Ya. Itu saja masa yang tinggal dan selepas itu dia bakal bergelar puan. Isteri orang. Keluhan berat terluncur jua dari ulas bibirnya. Namun, seandainya dia diberi peluang untuk berpatah balik, belum tentu keadaan akan jadi lebih baik. Dia telah melukai hati orang itu dan bagaimana dia fikir dia mampu merawatnya semula hanya dengan sepatah kata 'maaf'?
Perlahan Mastura menjauhi jendela. Lambat - lambat dia berjalan ke katil pula, merebahkan tubuhnya disitu dan berdiam. Lama.
"Maafkan saya sebab tak berapa layan awak. Saya... Saya janggal."
Mastura mengerdip mata beberapa kali. Wajah muram lelaki itu, tidak berubah sejak kali pertama mereka diperkenalkan sebagai tunang 4 bulan lalu.
"Janggal atau tak cinta?"
Hadi tunduk tidak menjawab. Kalau terlalu jujur pun, tidak baik juga jadi lebih baik diam saja.
"Saya datang ni pun, ayah yang suruh. Saya tak tau untuk apa saya kemari pun..." Hujung - hujung, keluhan saja yang dilepaskan.
Mastura ikut menghela nafas. Ada remuk dalam hatinya tapi dia kena pandai bawa diri. Dia cuma pilihan kedua. Eh, bukan! Dia sememangnya bukan pilihan Hadi. Matanya rasa berbinar dek air jernih yang semakin banyak bertakung dikolam mata. Sudahnya menitis juga tapi... Hadi tidak endah. Memandangnya sekilas pun tidak.
Agak lama kebisuan memeluk suasana sehingga memaksa Mastura menukar rentak. Kalau dia menunggu Hadi yang memujuk, memang sampai kucing bertanduk pun dia tidak akan buat.
"Minumlah. Dah sejuk dah air ni."
Hadi sekadar angguk tapi air itu tidak disentuh sampailah dia pulang.
"Dia terpaksa tapi dia kan lelaki, kenapa tak berkeras je kalau betul tak nak dengan aku?" Mastura bercakap sendiri.
Sejenak fikirannya lari ke cerita lain pula. Cerita dimana dia pernah melakar bahagia, merasakan apa itu cinta... Cerita antara si dia dengan dirinya...
"Mas, mahu tak kalau Lan masuk meminang?"
Mastura menoleh. Disela hujung tudung yang naik ke muka dibawa angin laut. Anggukan kecil dia berikan sebagai jawapan.
"Nanti Lan bincang dengan mak abah. Biar mereka datang jumpa orang tua Mas. Mak Lan mesti suka. Kita berkawan pun dah lama juga... Kahwin cepat pun tak apa."
Mastura senyum meleret. Memang hubungannya dengan Azlan sudah lama, sejak mereka sekolah menengah lagi. Berlanjutan sampai tamat tingkatan enam dan menyambung pula ke peringkat ijazah diuniversiti.
"Lama tapi kalau jodoh tak ada, macam mana?" Sengaja Mastura menggiat.
Roman Azlan berubah. Terus matanya membuang pandang ke tengah laut. Ya, dia lupa tentang itu. Tentang qada dan qadar.
"Lan tak tau nak jawab, Mas. Tapi mendengar soalan tu pun, Lan dah patah hati. Macam Mas dah betul - betul pergi."
Tanpa sedar, mengulang tayang babak itu mengundang airmata. Meleleh perlahan di kulit wajah Mastura yang bersih, perlahan dan semakin laju. Esakannya tidak dapat dibendung lagi. Rindunya pada Azlan tiba - tiba membuak - buak!
****
Azlan ialah lelaki yang dia cintai, yang dia harap akan menjadikannya seorang isteri. Sosok itu telah mendampinginya sejak usia belasan lagi. Cuma lelaki itu, bekerja biasa - biasa sebab telah berhenti belajar sewaktu tahun keduanya diuniversiti. Dia meninggalkan dunia ilmunya untuk berjasa kepada orang tuanya yang mana waktu itu bapanya terpaksa berkerusi roda setelah kemalangan motorsikal. Keadaan itu membuatkan bapanya tidak dapat lagi ke kebun atau menguruskan penternakan lembunya. Emaknya pula tidak larat mengambil - alih dek masalah kesihatan yang pelbagai. Mampunya cuma berjual nasi lemak diwaktu pagi saja. Ditambah dengan dua lagi adik yang sedang belajar, cara terbaik adalah Azlan harus beralah.
Sifat Azlan yang sanggup bertolak - ansur dan berkorban itu, menjadi kekaguman dalam hati Mastura. Tidak dikira lagi kesetiaan Azlan kepadanya. Walaupun setelah beberapa tahun menggembala lembu dan berkebun, menjadi antara usahawan tani muda yang boleh dikatakan berjaya, Azlan tidak berpaling darinya. Sayangnya, hasrat murni lelaki pujaan hatinya itu tidak kesampaian lantaran pinangan Hadi yang tiba dulu...
****
Azlan termenung. Sejenak dia lupa kewujudan Mastura disisi. Apa yang dilafazkan oleh gadis itu tadi, merobek hatinya. Meluluhkan jiwanya. Dia tidak sangka, benar - benar Mastura akan tinggalkannya... Untuk lelaki lain!
"Bukan kehendak Mas, Lan. Tiba - tiba je ayah cakap, ayah dah terima pinangan orang tu sebab bapanya kawan ayah."
"Mas tak beritahu ayah Mas ke hajat Lan nak meminang Mas?"
"Mas ada beritahu ayah, Mas berkawan dengan Lan. Mas cakap, nak kenalkan Lan dengan ayah tapi ayah tak jawab apa - apa. Lepas Mas bagitahu, ayah senyap dan terus angkat kaki. Tahu - tahu, lusanya ayah cakap ayah dah terima pinangan anak kawan dia tu. Apa lagi yang Mas boleh cakap, Lan?"
Azlan merengus. "Mas tak cakap yang Lan nak meminang Mas! Mas cuma cakap nak kenalkan. Mestilah dia sangka Lan tak bersungguh - sungguh. Kenapa tak terus bagitahu je hajat Lan tu? Sekurang - kurangnya..." Azlan termengkelan. Kata - kata seterusnya tidak terluah. Salah cakap, seolah - olah menolak takdir pula. Sedangkan jodoh, rahsia DIA!
Mastura sudah bercucuran airmata sedari tadi. Amarah dan kekecewaan Azlan umpama batu besar menghenyak hatinya yang sudah sedia terhempas pecah berderai.
"Jadi ini pertemuan terakhir?"
Mastura angguk, teresak - esak.
"Jangan jemput Lan. Jangan cari Lan lagi. Selamat bertunang, Mas."
Lan! Lan, jangan pergi!
Tapi jeritan itu hanya bergema dalam dirinya sendiri...
YOU ARE READING
Menanti Gerhana Berlalu
RomanceKata orang, penantian itu satu penyiksaan... Dan dia telah menanti dan mencintai, terlalu lama.