Sembilu dihati...

12 1 0
                                    

Mastura mengejar anak kecilnya yang girang berlari tanpa baju. Terkedek - kedek langkahnya disulami tawa riang melihat ibunya cuba menangkapnya. Ketawa senang Mastura melihat tingkah si anak. Abang kakaknya bermain sesama sendiri diruang tamu.

"Ha! Ibu dapat dia!" Dipeluk tubuh mungil itu sambil dicium bertalu - talu. Si kecil itu mengekek suka. "Jom, pakai baju."

Selesai menyiapkan si bongsu, Mastura ke dapur pula menanak nasi untuk makan malam. Sambil memasak, panjang lehernya menjengah anak - anaknya. Lawang yang menghala ke dapur sudah disenggat dengan pagar kayu buatan Hadi. Jadi legalah sikit hatinya mahu membereskan apa - apa kerja baik di dapur mahupun di bilik air. Tidaklah si kecil itu memboloskan diri ke tempat - tempat yang berbahaya untuknya.

Bilik belakang yang bersebelahan dapur pula dijengah. Bilik itu, bilik kerja Hadi. Buku - buku murid, buku rujukan dan segala macam fail serta kertas penting ada disitu. Dia sekadar menjengah saja, tidak mahu mengganggu suaminya. Dilihat Hadi sedang menaip sesuatu, pintu ditutup kembali.

Lepas satu, satu, menu yang dimasak siap dan dihidangkan. Mereka biasanya makan malam selepas solat maghrib. Hadi di dalam bilik kerja, terhidu bau masakan yang enak mulai lapar.  Satu jam lagi menjelang maghrib. Hadi mengemas apa yang patut. Fail yang dibuka dalam komputer, disimpan cermat dalam pen pemacu. Itu soalan peperiksaan pertengahan tahun yang bakal dijalankan bulan depan. Siap. Hadi bergegas pula mandi. Diruang solat, Mastura dan dua anaknya sudah menanti.

****

Bakri terbatuk - batuk. Sudah lebih dua bulan dia batuk dan semakin teruk pula dalam seminggu ini. Malah, kahaknya sudah bercampur darah. Ubat singseh, ubat kampung, air kelapa, semua sudah ditelannya tapi tidak juga pulih batuknya. Puas Amnah memujuknya ke hospital tapi tidak diendahkan. Bukan dia takut ke hospital tapi sekadar batuk, ke hospital itu cuma buang masa. Dia yakin, dia cuma batuk biasa.

Amnah sudah memberitahu Along dan Angah, keadaan si ayah semakin melarat tapi mereka pun tidak dapat memujuk si bapa. Bagi Amnah, Bakri perlu dipaksa ke hospital kali ini.

Gelas berisi air lemon madu hangat disua kepada suaminya. Bersambut. Diteguk beberapa kali lalu diserah balik ke tangan Amnah.

"Bila Hadi nak balik?"

" Besok."

"Jangan tak dibawak Mastura dengan anak - anak, sudah. Aku ni rindu betul menantu dan cucu - cucu aku tu."

"Ish, abang ni... Tak eloklah pilih kasih dengan anak menantu. Sayang semua biar sama rata."

Bakri urut - urut dada. Sedikit sakit bila banyak bercakap. "Semua aku sayang tapi Mastura tu lain sikit."

Amnah memuncung. "Hmm..." Kemudian dilirik Bakri yang meringis menahan batuk yang ingin pecah dari tenggorok. "Awak sayang menantu seorang tu lebih dari awak sayangkan saya. Ke... Dengan saya memang tak sayang pun?" Entah kenapa malam ini Amnah rasa cemburu pula kepada Mastura.

Bakri menjegil matanya. Dia mahu bersuara tapi batuknya pula yang memecah suasana.

"Tak payahlah mengada - ngada. Dah tua dah." Itu jawapan Bakri setelah batuknya reda. Jawapan itu, melukakan lagi hati Amnah. Tidak pernah jawapan dari Bakri, menyamankan perasaannya.

Amnah perlahan bangkit. Sekeping tilam nipis dihamparkan tidak jauh dari katil. Amnah mahu tidur asing dari Bakri, membawa hati. Dua biji bantal diletakkan di atas tilam.

"Dah tua - tua pun nak merajuk." Kata Bakri seraya dia sendiri berbaring dikatilnya. Tanpa dia sedar, Amnah yang membelakanginya, sedang menangis.

****

Pengusung ditolak cepat menuju ke ruang kecemasan. Petugas - petugas yang menyambut bergegas melaksanakan bahagian masing - masing dengan cekap. Seorang dari petugas, kemudiannya mendatangi Hadi dan Amnah.

"Untuk kebaikan pakcik, kami akan tidurkan dia. Bagi dia berehat. Dalam masa sama, kami akan buat beberapa ujian untuk memastikan masalah dan rawatan yang sesuai. Pakcik ni tak pernah ke klinik atau hospital ke makcik?"

Amnah geleng. "Dia tak mahu sebab cuma batuk saja, katanya."

"Dah lama ke alami batuk ni?"

"Dah lebih dua bulan. Beberapa hari ni, makin teruk. Kadang - kadang keluar darah. Makan pun dah lama juga dah, tak berapa lalu."

Petugas itu angguk tanda faham. Kemudian dia meminta diri.

"Maafkan Di, ibu. Baru dapat balik hari ni."

"Ibu faham, kamu sibuk. Kamu dah balik ni pun, syukur dah."

"Ayah takut hospital ke, ibu?"

"Taklah. Setakat batuk, buat apa ke hospital, katanya. Tapi bila Mastura memujuk malam tadi, dia mahu pula."

"Ayah kan suka sangat si Mas tu. Sayangnya, bila dapat pujuk ayah, dah terlambat pula." Hadi mengeluh.

Amnah toleh. "Kau ni, cakap macam tu pula."

Hadi terkelu.

****

"Terima kasih tolong pujuk ayah saya." Ucap Hadi, lembut. Mastura balas dengan senyum.

Mata Hadi tunak memerhatikan anak - anaknya bersama beberapa budak lain bermain ditaman. Berkejaran, usik - mengusik. Tawa riang mereka bergema seluruh blok. Budak - budak. Hari - hari berseronok dan tiada yang marah. Untung sungguh!

"Baik - baik!" Laung Mastura bila dilihat salah seorang anaknya terjatuh diatas rumput tiruan yang seperti permaidani itu.

"Mungkin ayah sendiri dah tak tahan agaknya. Itu yang dia dengan mudah buat keputusan nak ke hospital tu." Mastura buat kesimpulan.

Hadi rasa, ada benar juga pendapat itu, "Tapi sebelum awak yang pujuk, ayah berdegil tak nak pergi. Along dan angah dah pujuk dah dua tiga kali, kata ibu. Tak jalan."

Mastura pandang muka Hadi. Ada rasa terharu dalam hatinya. Ya, dia tahu dan dapat rasakan yang bapa mertuanya sangat menyayanginya.

"Menantu pilihan, kan?" Kata Hadi dengan senyum kelat, matanya memandang lantai.

Mastura tergamam. Pujian atau sindiran?

Menanti Gerhana BerlaluWhere stories live. Discover now