Kali ini...

12 1 0
                                    

Kamariah duduk tenang menghadap Fahim. Ada getar - getar luar biasa bila mata mereka bertatapan tapi dia abaikan saja. Fahim membawanya makan di hotel yang pernah disebutnya sebelum ini. Segan betul Kamariah berjalan disebelah eksekutif kacak itu tadi tapi semakin lama, semakin dia rasa selesa. Fahim bijak mengawal suasana sehingga perasaan janggal yang menyarungi Kamariah, tertanggal sendiri.

"Siapa nak pilih menu?"

"Awaklah."

Fahim senyum. "Macam mana kalau... Im pilih untuk Mar dan Mar pula pilihkan untuk Im?"

"Kalau tak sedap atau tak kena dengan selera, macam mana?"

"Tak apa. Tapau. Bagi ayam makan. Kita pergi mamak, pekena roti bom!"

Kamariah ketawa kecil dengan seloroh Fahim. Bunga - bunga rasa yang indah serasa semakin bermekaran dalam hati.

"Okey! Awak mulakan."

Fahim senyum lagi. Selama ini mata Kamariah sangat terpesona dengan senyuman itu tapi hari ini, hatinya juga terpaut sama. Gema - gema suara entah dari mana mengingatkannya supaya jangan curang tapi kali ini... Semua itu tidak diendahkan.

"Mar pasti dengan pilihan tu? Masih ada masa untuk tukar fikiran." Usik Fahim. Kamariah geleng. Fahim angguk lalu angkat tangan dan melambai pelayan.

****

Khir duduk ditangga sambil mengipas badannya dengan sehelai baju lusuh. Hari ini dia melayan Hajar berkebun. Berkebun lebih baik dari melayan Hajar membeli - belah. Pusing - pusing sepuluh kali setiap kedai, yang dibawa balik cuma dua tiga barang saja. Berkebun, walaupun penat, nanti - nanti nampak jugalah hasilnya!

"Terima kasih, abang... Dah tolong cabutkan ubi, keledek. Dah tolong tanamkan mawar, anggerik dan pokok pelam tu..." Meleret manja suara Hajar sambil menghulur segelas air laici sejuk.

"Sama - sama. Tu ubi banyak - banyak tu nak jual ke?" Air laici yang dingin dihirup. Segat betul rasanya.

"Taklah. Nak bagi jiran, anak - anak. Hmm... Bagi bakal besan sekali."

Khir pandang Hajar. Senyum. "Tahun depan, bercucu barulah kita ya?"

Dua suami isteri itu ketawa. Bersyukur benar Hajar sebab Fahim menerima calon pilihannya dan tunggu masa saja untuk melestarikan hubungan dua keluarga.

****

Mahmud, Habsah dan Kamariah duduk semeja di ruang tamu. Makan malam sudah selesai, masa untuk berbincang pula. Habsah sudah siapkan seteko air coklat panas dan biskut kering.

"Mar tahu kan kenapa ayah ajak bincang ni?" Kamariah angguk. "Ayah dan mak cuma nak yang terbaik untuk Mar. Dah lama ayah perhatikan, dulu - dulu ajelah, bila jumpa Hadi, Mar nampak gembira tapi kebelakangan ni, bila sebut tentang Hadi, Mar nampak tertekan."

Kamariah pandang muka ayahnya. Rupanya ayah begitu teliti! Terharu pula dia rasa.

"Jadi orang tua, tak mudah. Cakap - cakap orang pasal kamu dengan Hadi sampai dah lali telinga ni. Kami tahankan telinga, tebalkan muka. Sampai orang nak bercakap pun dah tak lalu sebab benda tak pernah berhenti. Apa pun cakap orang, sebagai mak ayah, kami sentiasa doakan yang baik - baik untuk kamu. Alhamdulillah, datang keluarga Pak Khir ni. Berkenan ke Mar..."

"Kenal dirumah kenalan mak masa kenduri kahwin. Tengok Mar, dia terus berkenan nak jodohkan dengan anaknya."

"Mar berkenan tak si Fahim tu? Mak dan ayah suka. Elok nampak orangnya, budi bahasanya. Bukan setakat mengurat anak, mak dan ayah ni pun dia mengurat sekali." Kata Habsah, teringat Fahim pernah tiba - tiba datang sendirian, membelikan sebakul buah - buahan dan kain batik serta kain pelekat.

"Mar tak tau nak cakap apa... Baru kenal, keluar baru beberapa kali. Tapi dia macam... Macam okey. Rasanya... Kali ni, Mar ikut saja apa kata mak dan ayah."

Mahmud dan Habsah berpandangan. Lega.

****

Apalah yang Mar terburu - buru sangat nak jumpa ni agaknya? Dah berminggu senyap, tiba - tiba nak jumpa dan - dan ni juga. Haihhh... Jenuh juga dia mahu buat alasan untuk keluar tadi sebab Mastura sedang menyiapkan minum petang untuk mereka, kebetulan emaknya bermalam disana. Sambil memandu, otaknya diserbu berbagai pertanyaan.

Kamariah menanti Hadi, resah. Selalunya dia tidak begini, sekalipun ketika Hadi gagal muncul disaat - saat terakhir. Jam dipergelangan tangan dilihat, baru 10 minit dia duduk menunggu dan dia rasa seperti sudah sejam lamanya? Tenanglah, Kamariah. Masih ada masa. Dia pujuk hati sendiri.

Telefon berbunyi. Sangkanya Hadi, rupanya Fahim.

"Awak kat mana, Mar? Tadi nampak macam kereta awaklah, parking depan lot kedai hujung sana tu."

Berderau darah Kamariah. Alamak! Dia tak boleh terserempak aku nak jumpa dengan Hadi. Apa dia buat dekat sini?

"Awak nampak kereta saya? Awak ada dekat - dekat sini ke? Buat apa?"

"Saya nak ke rumah awak sebenarnya. Saja. Ni nak beli ole - ole untuk makcik dan pakcik. Ambil hati bakal mertua." Gelak nakal terhambur dihujung kata.

Kamariah tergelak sama. Aku kena batalkan jumpa Hadi. Dibuatnya Fahim cari... Naya!

"Saya saja menyinggah nak hilangkan bosan. Balik kerja, ke rumah. Keluar rumah, kerja. Jadi, ambil anginlah sekejap. Nak balik dah ni." Dalih Kamariah, spontan. Sambil itu, telefon dijauhkan dari telinga, dia masuk ke aplikasi pesanan lalu menaip mesej membatalkan pertemuan dengan Hadi.

"Eh, kalau macam tu, kita jumpalah sekejap, lepas tu balik rumah awak sama - sama." Suara Fahim kedengaran teruja.

"Errr... Jumpa kat rumah je tak boleh ke?"

"Awak tak sudi ya nak jumpa saya?"

Jam dilirik lagi, sempat lagi kalau mahu lari dari sini, fikirnya. Ah, kalau Hadi sampai dan kecewa, biarlah. Macamlah dia tak pernah buat aku macam tu! Tiba - tiba hatinya membisik jahat, rasa ingin membalas balik perbuatan Hadi.

"Hmm... Nak jumpa kat mana? Saya tengah berjalan ni, nak ke kereta."

"Kita jumpa dekat parking. Saya beli barang dulu."

Sebaik telefon diletakkan, Kamariah lajukan langkahnya sambil mata melingas - lingas mencari kelibat Fahim. 5 minit berjalan, dari jauh dia nampak Fahim disisi keretanya. Selamat! Kamariah menyeka peluh didahi.

Menanti Gerhana BerlaluWhere stories live. Discover now