Majlis perkahwinan yang meriah dalam kesederhanaan berlangsung juga dengan lancar dan sempurna. Pengantin lelaki segak berbaju melayu warna merah pulasan dan samping warna kekuningan. Pengantin perempuan pula berseri - seri dengan solekan sederhana dan berbaju kebaya labuh, bersulam kerawang benang emas. Warnanya sedondon si jejaka. Layah selabuh pinggang warna senada baju diserlahkan pula dengan tiara yang cantik terletak di kepala yang dilitupi selendang berwarna putih. Tiada kompang, tiada lagu alu - aluan. Sekadar diadakan marhaban sebelum acara nikah dan jamuan makan. Itu saja.
"Ramai juga, ya?" Kata Amnah kepada besannya.
"Biasalah, kak, kalau dah jemput adik beradik dua pihak mak bapaknya ni... Tu belum lagi jiran - jiran. Ha, dari sebelah akak pun ramai juga tu, kan?"
"A'ah. Betullah tu. Kalau dah kita ni adik beradik ramai, anak buah, sepupu... Cucu lagi. Penuh rumah!"
Dua besan hampir sebaya itu ketawa.
Amnah mencari - cari wajah anak menantu. Tadi mereka semua makan semeja tapi sebaik selesai makan, terus ditarik orang. Suruh bergambar.
Jelas dimatanya wajah Mastura begitu ceria. Senyumnya terpamer indah setiap kali disapa atau tiap kali diacu kamera. Tidak roman sugul Hadi, yang terpasang sejak dari awal dia ditunangkan dengan Mastura dulu. Amnah mengeluh. Sebuku rasa bimbang, tertanam dalam benaknya. Adakah nasib Mastura nanti, sama macam nasibnya? Tersisih dari cinta seorang suami?
****
"Sudah sudahlah tu, Mar. Menangis sampai terkeluar biji mata pun, benda tak boleh nak berpatah balik."
Kamariah menyeka airmata sambil tangannya lesu menyuap nasi kemulut. Dipaksa makan oleh Habsah yang sudah naik risau melihat anak daranya tidak lalu makan sudah beberapa hari. Dia tahu, anaknya tertekan dan kecewa teruk menjelang hari pernikahan Hadi.
"Lepas makan tu nanti, solat. Biar ALLAH yang pujuk hati kamu."
Kamariah angguk lemah. Meskipun bagai menelan pasir, dia gagahkan juga meneruskan suapan demi hati si emak. Dek siksa benar mahu menelan, sekali dia menyuap, sekali air diteguk. Kunyah ala kadar, tolak saja dengan air.
Habsah bangkit, menuju ke sinki dapur. Berkemas - kemas sedikit sambil menemankan anaknya makan. Sesekali dilirik anak gadis itu. Rasa hatinya turut terhiris bila anak itu makan dengan airmata berlinangan. Adakah ini balasan untuk aku sebenarnya? Sebeginikah kecewa yang menjeruk perasaan Bakri selepas aku menolaknya? Salah akukah sebenarnya ini, ya ALLAH?? Tidak semena - mena, seuntai air jernih turun dipipinya...
****
"Jom, berjemaah." Pelawa Mahmud kepada anak daranya. Sengaja diajak solat bersama supaya tidaklah asyik menyendiri saja di dalam biliknya.
Kamariah yang sedang menuju ke bilik hanya mengangguk. Dipakainya telekung lalu keluar berjemaah dengan orang tuanya.
Selesai solat dan berdoa, Kamariah menyalami orang tuanya sebelum pamit masuk ke bilik. Melihat pintu ditutup, Mahmud mendekati isterinya. Habsah yang sedang melipat telekung, sebaik melihat suaminya mendekat, dia terus memberi perhatian.
"Okey ke tak anak kita tu?"
"Nampak okey aje, tak adalah dia buat bukan - bukan. Cuma asyik sedih jelah dua tiga hari ni. Siang tadi saya paksa dia makan. Dia makan nasi sesenduk dengan sayur kobis goreng tu je. Lauk apa pun dia tak ambil."
Si bapa terangguk - angguk mendengar laporan dari orang kanannya.
"Abang nak tau? Dia makan tu... Sambil menangis, tau tak?"
Mahmud terbeliak, kemudian mengerutkan dahinya lalu tertunduk. Kasihan kepada anak sendiri. Dia tidak pernah kecewa. Tiada perempuan pernah membuat dia patah hati sementelah cintanya kepada Habsah selepas mereka berkahwin, adalah yang pertama. Insyaallah, juga yang terakhir. Kasihan Kamariah. Setelah 30 tahun, apakah sebenarnya balasan Tuhan itu, baru sekarang? Dada Mahmud ditampar debar.
****
Bakri berehat di kerusi panjang di depan televisyen yang sengaja tidak dipasang. Kakinya dilunjurkan. Lewat petang tadi baru dia dan Amnah balik dari rumah besan mereka. Sempatlah juga membawa sedikit bekal untuk makan malam dan sarapan pagi. Senyum nipis mekar dibibir tuanya yang lebam.
"Amnah! Amnah!"
Amnah bergegas ke luar. "Ada apa?"
"Nak kopi. Kopi tarik."
Amnah perlahan berpaling lalu beredar ke dapur.
Rumahnya sepi tapi Bakri seperti riang sekali. Hadi memulakan hidupnya sebagai suami, dirumah mertua. Anak - anak yang lain pula tidak bermalam. Selesai majlis siang tadi, seorang demi seorang pamit pulang. Sedang Bakri leka melayan angan, Amnah datang membawa secawan kopi tarik. Sepiring kuih juga ada. Pelawaan Amnah, menjentik benak sehingga bertaburan fikirannya tadi.
"Dah kenapa senyum seorang tu?"
"Dapat menantu, seronok le. Tahun depan, mungkin bercucu pula." Senyum Bakri bukan main lebar lagi.
Amnah mengepal - ngepal tangan mencari keberanian. Ada rasa tersumbat dalam setiap sarafnya selagi dia tidak meluahkan. Bakri acuh tidak acuh saja dengan sosok wanita di depannya itu.
"Saya nak tanya awak ni, bang..."
"Hmm... Apa?"
"Hadi tu..."
"Kenapa dengan dia?" Sambil menyisip kopi, matanya dilirik ke arah Amnah.
"Tak takut ke kalau dia abaikan Mastura tu?"
Bakri meletak cangkirnya. Posisi duduknya dan air mukanya, berubah. Senyumnya hilang. Matanya memaku ke wajah Amnah yang kegugupan.
"Pernah saya abaikan awak?"
Jantungnya bagai direntap! Amnah membalas tenungan tajam si suami dengan pandangan redup berkaca.
"Erm... saya nak bancuh cucur untuk sarapan esoklah."
Bakri menyambung minum walau rasa sedikit terganggu dengan reaksi Amnah tadi. Manakala Amnah pula, sambil menuju ke dapur, asyik menyeka airmatanya. Hatinya terusik dengan jawapan terakhir suaminya tadi. Ada sesuatu disebalik sebaris ayat itu yang menikam - nikam hatinya...
YOU ARE READING
Menanti Gerhana Berlalu
RomanceKata orang, penantian itu satu penyiksaan... Dan dia telah menanti dan mencintai, terlalu lama.